Dilahir dan dibesarkan di Kajang, Selangor, gadis berusia 21 tahun ini jelas menunjukkan aura ketabahan dan kecekalan diri tatkala berbual dengannya.
Laila Wardina Jefri merupakan anak sulung daripada dua adik-beradik dan kini sedang melanjutkan pengajiannya pada tahun pertama UniKL MESTECH dalam jurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
“Pertama kali menjejakkan kaki ke bandaraya Kuala Lumpur dahulu, ada juga terdetik perasaan yang tidak menentu; bercampur baur antara kegembiraan menyambung pengajian dan kegusaran jika tidak mampu memenuhi harapan ibu bapa.
Namun saya percaya, berkat doa mereka jugalah yang menjadikan saya semakin kuat menempuhi kehidupan baharu di tengah kotaraya ini, biarpun jauh dari mereka yang tersayang,” kata Laila memulakan perbualan.
Selain menumpukan perhatiannya kepada bidang akademik, Laila banyak menghabiskan masanya bersukarelawan, sama ada di program anjuran universiti mahu pun badan bukan kerajaan (NGO).
“Minat saya terhadap kerja sukarelawan sebenarnya bermula sejak kecil lagi. Semasa di bangku sekolah, saya telah terdidik dengan rasa puas setiap kali meluangkan masa berbakti kepada masyarakat.
“Seiring dengan peredaran masa, saya akui minat ini semakin berkembang dan mendorong saya untuk mengambil peranan yang lebih mencabar dalam bersukarelawan,” terangnya lagi.
Melalui penglibatan aktifnya bersukarelawan di dalam Team Selangor, sebuah inisiatif di bawah Sekretariat Kesedaran Kenegaraan dan Kesukarelaan Negeri Selangor, Laila telah dilantik sebagai Ketua Zon.
Lantikan ini telah membuka ruang untuknya meneroka dan mengasah bakat kepimpinan yang ada di dalam diri.
“Walaupun diberi tanggungjawab yang agak berat, terutamanya dalam menunjukkan contoh dan sifat kepimpinan yang baik kepada sukarelawan di bawah seliaan saya.
“Namun saya pasti ini akan melatih saya untuk peranan yang lebih besar pada masa akan datang,” kata bekas pengawas SMK Cheras Jaya ini, bersunggguh-sungguh.
Mendepani cabaran
Pencapaian Laila tidak hanya terhad kepada kerja-kerja sukarelawan.
Di universiti, beliau memikul pelbagai tanggungjawab, daripada jawatan-jawatan penting di peringkat kelab, sehinggalah mewakili UniKL MESTECH dalam acara futsal.
“Tiada siapa yang memaksa saya untuk menghabiskan masa melakukan kesemua aktiviti ini. Kesemuanya saya lakukan demi memenuhi perasaan mencabar diri sendiri yang sentiasa membara,” kata Laila sambil tersenyum.
Menariknya, doktor pernah melarangnya dari aktif bersukan atau beraktiviti lasak disebabkan masalah penglihatan yang dihadapinya.
“Saya akui terdapat risiko dalam saya aktif bersukan sebegini, namun pada masa yang sama saya akan sentiasa memastikan tahapnya dikurangkan seminimum mungkin.
Tambahan pula, melalui bersukanlah saya boleh menguji tahap kemampuan diri, dan pada masa yang sama membuktikan bahawa saya mampu mengetepikan apa juga persepsi kekurangan yang ada pada diri ini,” terangnya bersemangat.
Ditanya mengenai cita-citanya kini, Laila yang sedang melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) ini menjelaskan yang dirinya ingin berjaya sebagai seorang pegawai OSH yang memastikan persekitaran kerja yang lebih selamat.
“Berbekalkan keinginan untuk menyumbang kepada masyarakat sejak kecil, ditambah dengan kemahiran teknikal yang saya timba di UniKL MESTECH, saya pasti akan mampu memperoleh ‘Green Book’ dalam tempoh lima tahun.
“Pensijilan ini akan mengiktiraf saya sebagai seorang profesional keselamatan yang bertauliah dan mendekatkan saya dengan impian untuk memastikan keselamatan kesemua yang berada di sekeliling saya, walau di mana mereka bertugas,” jelasnya.
Sebagai anak muda, Laila mempunyai kaedah tersendiri dalam menangani tekanan kehidupan sebagai seorang mahasiswa yang aktif. “Bila mana sahaja saya mempunyai waktu terluang, saya akan mengambil peluang untuk memasak, baik lauk-pauk mahu pun kek dan manisan.
Malah saya sebenarnya turut menyimpan cita-cita untuk membuka sebuah kafe bakeri satu hari nanti,” katanya sambil tersenyum kecil.
Sifat berdikarinya ini sememangnya telah tertanam sejak di bangku sekolah lagi.
Semasa di Tingkatan Enam, ketika kebanyakan pelajar hanya memberi tumpuan kepada pelajaran, Laila turut memenuhi masa lapangnya bekerja sambilan.
“Walaupun mengimbangi kerja, sekolah, dan aktiviti kokurikulum bukanlah sesuatu yang mudah tetapi ia mengajar saya tentang pengurusan masa dan sifat tabah.
“Kedua-dua elemen inilah yang banyak membina jati diri, dan menjadi tulang belakang saya menghadapi apa juga cabaran yang dihadapi,” kata alumni SMK Tinggi Kajang ini lagi.
Satu lagi sikapnya yang jelas kelihatan dari butir perbualan bersamanya ialah kecekapannya merebut peluang yang mendatang.
“Saya memang tidak takut mengambil risiko, terutamanya jika keputusan yang dibuat mampu menjadikan diri saya lebih kuat dari sebelumnya. Saya percaya yang setiap peluang yang datang itu tidak akan hadir sekali lagi dalam bentuk yang serupa,” jelasnya.
Falsafah ini terbukti dalam pelbagai peranan kepimpinan yang disandangnya, dari menjadi fasilitator untuk program MyCatalyz di bawah Team Selangor, hinggalah sebagai pengarah pelbagai program di universiti.
Kelebihan Laila dalam merancang, menyelaras dan melaksanakan program telah memberinya reputasi sebagai individu yang boleh diharapkan oleh mereka yang berada di sekelilingnya .
Jiwa positif
Seperkara yang membezakan Laila dengan rakan seusianya ialah semangat optimis dan sifat peramah yang dimilikinya.
Beliau menggambarkan dirinya sebagai seorang yang periang dan mudah bergaul dengan sesiapa sahaja, dari kanak-kanak sehinggalah kepada golongan yang lebih berusia.
“Saya sentiasa berusaha untuk memudahkan proses komunikasi di dalam apa jua keadaan, baik di dewan kuliah mahu pun di lapangan ketika bersukarelawan, walaupun dengan hanya melemparkan senyuman.
“Saya percaya apabila kita mula berkomunikasi, bercerita mengenai kisah hidup kita, walaupun dengan orang yang baru sahaja dikenali, di sinilah sebenarnya kita membina sebuah hubungan.
“Percayalah, hubungan yang baik antara dua individu inilah yang sangat membantu dalam kita meneruskan setiap cabaran hidup yang dihadapi,” kata Laila mengakhiri temubual.
Perbualan ringkas bersama Laila ini jelas membuktikan bahawa tidak kira di mana sahaja kita bermula atau apa juga cabaran yang dihadapi, kita sentiasa mempunyai ruang untuk membina masa depan yang lebih cerah, dan mendekatkan diri dengan impian yang dibina.