Jangan biar masalah gigi ganggu kemeriahan Aidilfitri
Sisa makanan ini sukar dibersihkan hanya dengan air liur dan boleh menjadi sumber nutrien kepada bakteria dalam mulut untuk tempoh yang lebih lama.

MUSIM perayaan Aidilfitri sinonim dengan hidangan pelbagai kuih-muih tradisional, makanan istimewa serta minuman berperisa yang manis.
Walaupun juadah tersebut menjadi simbol kemeriahan dan budaya kunjung-mengunjung, pengambilan makanan tinggi gula secara berlebihan boleh memberi kesan terhadap kesihatan pergigian.
Daripada perspektif sains kesihatan, kandungan gula yang tinggi dalam makanan dan minuman boleh mencetuskan proses biologi dalam mulut yang membawa kepada kerosakan gigi sekiranya langkah penjagaan yang sesuai tidak diamalkan.
Secara saintifik, kerosakan gigi berlaku melalui proses yang dikenali sebagai demineralisasi enamel. Apabila seseorang mengambil makanan atau minuman yang mengandungi gula, bakteria ini akan memetabolismekan gula tersebut dan menghasilkan asid.
Asid ini seterusnya akan menurunkan pH dalam mulut dan melarutkan mineral penting seperti kalsium dan fosfat daripada enamel gigi. Sekiranya proses ini berlaku secara berterusan tanpa penjagaan kebersihan mulut yang baik, enamel akan menjadi lemah dan akhirnya terbentuk kaviti atau gigi berlubang.
Ketika Hari Raya Aidilfitri, pelbagai kuih-muih tradisional seperti tart nenas, dodol, kuih kapit, semperit dan biskut raya menjadi hidangan utama.
Kebanyakan kuih ini bukan sahaja mengandungi kandungan gula yang tinggi, malah sebahagiannya mempunyai tekstur yang melekit. Dari sudut sains pergigian, makanan yang melekit lebih mudah melekat pada permukaan gigi dan celah-celah gigi.
Sisa makanan ini sukar dibersihkan hanya dengan air liur dan boleh menjadi sumber nutrien kepada bakteria dalam mulut untuk tempoh yang lebih lama.
Selain itu, minuman berperisa seperti air berkarbonat, minuman sirap, minuman coklat atau kopi berperisa juga boleh memberi kesan kepada kesihatan gigi.
Minuman jenis ini biasanya mengandungi gula tambahan serta tahap keasidan yang tinggi. Kombinasi gula dan asid boleh mempercepatkan proses hakisan enamel gigi. Jika minuman manis diambil secara kerap sepanjang hari, gigi akan terdedah kepada persekitaran berasid secara berterusan, sekali gus meningkatkan risiko kerosakan gigi.
Tabiat makan secara berulang kali ketika berkunjung ke rumah terbuka juga boleh memberi kesan kepada kesihatan pergigian. Dari sudut fisiologi mulut, air liur berfungsi sebagai mekanisme semula jadi untuk meneutralkan asid dan membantu proses remineralisasi enamel.
Namun, jika seseorang makan atau minum makanan manis secara berulang dalam tempoh masa yang singkat, air liur tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk memulihkan keseimbangan pH dalam rongga mulut.
Bagi mengurangkan risiko ini, beberapa langkah pencegahan boleh diamalkan. Antaranya mengawal pengambilan makanan manis dan mengambilnya dalam kuantiti sederhana. Minum air kosong selepas makan dapat membantu menyingkirkan sisa makanan serta menstabilkan pH dalam mulut.
Pengambilan makanan berserat seperti buah-buahan juga boleh membantu merangsang penghasilan air liur yang berfungsi membersihkan permukaan gigi secara semula jadi.
Amalan memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dengan ubat gigi berfluorida juga amat penting. Fluorida berfungsi menguatkan enamel gigi dengan meningkatkan proses remineralisasi serta menjadikan enamel lebih tahan terhadap serangan asid.
Pada masa sama, ibu bapa perlu memantau pengambilan gula dalam kalangan kanak-kanak sepanjang musim perayaan. Kanak-kanak lebih mudah terdedah kepada kerosakan gigi kerana enamel gigi susu lebih nipis dan kurang tahan terhadap asid berbanding gigi kekal.
Masyarakat digalakkan untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan pergigian secara berkala sebagai langkah penting dalam menjaga kesihatan gigi. Pemeriksaan pergigian sekurang-kurangnya sekali setiap enam bulan dapat membantu mengesan tanda awal kaviti, radang gusi atau masalah kesihatan mulut yang lain.
Rawatan awal bukan sahaja dapat mencegah kerosakan yang lebih serius, malah membantu mengekalkan kesihatan gigi dalam jangka masa panjang.
Kemeriahan Aidilfitri tidak semestinya membawa kepada masalah kesihatan pergigian jika masyarakat memahami asas sains kesihatan mulut dan mengamalkan langkah pencegahan yang betul.
Dengan kawalan pengambilan gula, penjagaan kebersihan mulut yang konsisten serta pemeriksaan pergigian secara berkala, masyarakat dapat menikmati juadah perayaan sambil mengekalkan kesihatan gigi yang baik.

