Acara larian Ecotrail Putrajaya saji pengalaman berbeza

Acara ini turut dikategorikan bertaraf ‘ultra’ apabila menawarkan larian jarak jauh sejauh 50 kilometer (KM) dan 80KM, selain dua lagi jarak sederhana iaitu 10KM dan 30KM.

Gambar15

PENGANJURAN acara larian denai, Ecotrail Putrajaya 2025 yang diadakan di sekitar pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan baru-baru ini berjaya menarik penyertaan lebih dari 1,200 orang dari pelbagai negara.

Penganjurannya di negara ini yang sudah memasuki edisi ke-4 itu sekali lagi membuktikan acara larian denai terus menjadi tumpuan para penggemar aktiviti larian tempatan.

Malah, acara berkenaan turut dikategorikan sebagai acara larian bertaraf ‘ultra’ apabila menawarkan larian jarak jauh sejauh 50 kilometer (KM) dan 80KM, selain dua lagi jarak sederhana iaitu 10KM dan 30KM.

Berbeza dengan acara larian denai yang kerap dianjurkan di seluruh negara, Ecotrail Putrajaya anjuran syarikat 10 Sense (M) Sdn. Bhd., itu menerapkan konsep kitar semula terhadap kesemua peserta selain menggalakkan peserta untuk ‘menghormati’ sesama peserta dan alam sekitar.

Pengarah Urusan 10 Sense, Mohd. Bukhari Ismail berkata, pihaknya berpuas hati dengan sambutan yang diberikan dalam kalangan penggemar acara larian denai tempatan memandangkan penyertaannya semakin meningkat saban tahun.

DUA peserta meraikan kejayaan mereka selepas berjaya tiba di garisan penamat pada acara larian Eco Trail Putrajaya 2025 yang berlangsung baru-baru ini.

“Acara larian Ecotrail Putrajaya ini diinspirasikan daripada acara larian Ecotrail yang telah lama bertapak di Paris, Perancis sejak tahun 2008.

“Sejak itu, telah dilaksanakan di pelbagai destinasi di beberapa buah negara di Eropah dan telah menjadi antara acara larian denai terkemuka di benua tersebut.

“Malaysia menjadi negara pertama di Asia yang diberi kebenaran yang melaksanakan acara larian ini sejak tahun 2019 dan syarikat 10 Sense telah diberi kepercayaan untuk menganjurkannya setiap tahun.

“Lebih menarik, pada tahun ini, wakil dari Ecotrail International iaitu Jules Danis turut hadir bagi menyertai acara larian yang diadakan di Putrajaya ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Pada acara tersebut, kategori 80KM dimenangi oleh Zulkarnain Mat Nor bagi kategori lelaki, Lee Yee Shi (kategori wanita), Yih Huan Sua (kategori lelaki veteran) dan Nurazlina ML bagi kategori wanita veteran.

ANTARA laluan mencabar yang perlu dilalui peserta acara larian Ecotrail Putrajaya pada edisi tahun ini.

Bagi jarak larian 50KM pula, kategori lelaki diungguli oleh Mohd. Azrin Alias, manakala tiga lagi kategori masing-masing dimenangi oleh Justine Smith (kategori wanita), Shamsul Kamal Aznann (kategori lelaki veretan dan Azlin Zainal Abidin (kategori wanita veteran).

Pelari Pierre Algret pula berjaya mengungguli kategori lelaki bagi jarak larian 30KM, manakala Ritzy Amor Ectin memenangi kategori wanita, selain Mohd Hasrul Hisham Hasim dan Agustina Verawati masing-masing menjuarai kategori lelaki dan wanita veteran.

Acara 10KM pula menyaksikan Muhammad Afiq Saniy dinobatkan sebagai juara kategori lelaki, selain turut diungguli Noor Haneem Mohamad Bokhri (kategori wanita), Ardhi Ismail (kategori lelak veteran) dan Farhana Ezura Zainal (kategori wanita veteran).

Turut hadir pada majlis penyampaian hadiah tersebut ialah Penolong Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya cawangan Kuala Lumpur/Putrajaya, Mohd Farids Saime dan Timbalan Presiden Perbadanan Putrajaya, Shamsul Joehari Zainal Mokhtar.

SALAH seorang peserta berlari merentasi laluan di Taman Wetland Putrajaya.

Selain Putrajaya, acara larian Ecotrail pada tahun ini turut dilaksanakan di beberapa destinasi di benua Eropah seperti Wicklow (Ireland), Funchal – Madeira Island (Portugal).

Manakala Oslo (Norway), Paris (Perancis), Stockholm (Sweden) dan Geneva (Switzerland) akan menjadi destinasi acara berkenaan bagi penganjuran tahun 2026.

Dalam pada itu, menurut Mohd. Bukhari lagi, antara cabaran pada acara kali ini ialah kesemua peserta terpaksa berhadapan dengan keadaan cuaca panas terik melebihi 35 OC lebih awal iaitu sekitar pukul 10 pagi.

Selain itu katanya, para peserta juga perlu melalui pelbagai laluan merangkumi kawasan berbukit, curam, hutan, denai dan kawasan bandar yang menghidangkan pelbagai pemandangan indah.

Ujarnya, antara laluan yang perlu dilalui peserta termasuklah Taman Wetland, Taman Rimba dan Jambatan Seri Bestari sebelum kesemua peserta menamatkan larian di perkarangan bangunan Perbadanan Putrajaya.

“Itulah keunikan acara larian Ecotrail Putrajaya di mana peserta bukan sahaja dihidangkan dengan kehijauan kawasan hutan dan denai yang masih terpelihara, tetapi turut berpeluang menikmati keindahan persekitan Putrajaya dari sisi yang berbeza,” katanya.

ANTARA laluan mencabar yang perlu dilalui peserta acara larian Ecotrail Putrajaya pada tahun ini.