UM bantu PMKS berkembang dengan integrasi digital

Bengkel pendigitalan PMKS telah dijalankan pada 1 hingga 4 Julai 2025 di bawah geran penyelidikan yang dibiayai UMCares dan Wanita Perak.

Gambar Hiasan (1)

RAMAI pemilik perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kini semakin bijak memanfaatkan peralatan dan aplikasi digital untuk memudahkan urusan harian dan mengembangkan perniagaan.

Apabila semua peralatan digital ini digabungkan dengan cara yang betul, ia bukan sahaja membantu dari segi komunikasi dengan pelanggan, malah memberi kesan besar terhadap cara pengurusan kewangan sama ada untuk perniagaan mahupun secara peribadi.

Apa yang paling ketara sekarang, pemilik perniagaan telah mula menggunakan beberapa platform digital terutamanya media sosial secara serentak.

Untuk menarik pelanggan dan tujuan promosi, platform TikTok menjadi alat yang penting, bukan sekadar tempat hiburan tetapi juga ruang untuk menjana pelanggan berpotensi.

Selepas itu, apabila pelanggan mula menunjukkan minat, WhatsApp Perniagaan pula menjadi alat utama untuk mengurus jualan dan menjaga hubungan pelanggan. Gabungan kedua-dua ini terbukti dapat melancarkan urusan jual beli dan meningkatkan kepuasan pelanggan.

Pada masa sama, semakin ramai usahawan mula sedar tentang kepentingan pendigitalan dalam pengurusan kewangan dalaman. Ramai yang sudah biasa menggunakan aplikasi seperti Wally untuk merekod perbelanjaan peribadi, namun untuk perniagaan kekal mampan, mereka perlu mula memisahkan kewangan peribadi daripada kewangan perniagaan.

Di sinilah aplikasi perakaunan perniagaan seperti Zoho Books memainkan peranan penting bagi merekod semua transaksi kewangan perniagaan secara teratur, termasuk jualan, pembelian dan perbelanjaan operasi.

Peralihan daripada buku kira-kira secara manual kepada sistem kewangan digital seperti ini sangat penting supaya usahawan lebih jelas tentang hala tuju perniagaan dan memastikan daya saing kekal terpelihara.

Apabila kewangan perniagaan dan kewangan peribadi diasingkan, barulah kita boleh mengurus aliran tunai dengan lebih jelas dan menyara kehidupan keluarga dengan baik.

Di samping itu, pengusaha PMKS juga harus mengambil peduli tentang aspek keselamatan, kebersihan dan kelestarian alam dalam menjalankan perniagaan.

Ketiga-tiga aspek ini saling berkait dan hanya boleh diperkukuhkan apabila pendapatan perniagaan adalah konsisten dan menikmati keuntungan.

Situasi ini hanya akan dinikmati apabila para pengusaha menggunakan sepenuhnya platform media sosial dan aplikasi digital untuk perniagaan.

Amalan-amalan yang menitikberatkan keselamatan produk dan perkhidmatan seperti penggunaan peralatan penyediaan makanan yang bersih, serta penggunaan bahan yang boleh dikitar semula dapat membantu usaha global ke arah kelestarian di samping membantu pengurangan kos dalam jangka masa panjang.

Atas sebab ini, Pusat Komuniti dan Kelestarian (UMCares), Universiti Malaya dengan kerjasama Wanita Perak dan Pertubuhan Prihatin Wanita Perak telah membuat inisiatif pemerkasaan kewangan secara pendigitalan khusus untuk usahawan wanita mikro di Ipoh dan Taiping.

Bengkel pendigitalan PMKS telah dijalankan pada 1 hingga 4 Julai 2025 di bawah geran penyelidikan yang dibiayai UMCares dan Wanita Perak.

Memang diakui, ramai juga usahawan, terutama golongan wanita, mungkin berasa bimbang terhadap cabaran seperti isu teknikal, kekangan masa, atau kesukaran memahami perkara baharu.

Namun, dengan latihan yang menyeluruh dan sokongan susulan yang berterusan, keyakinan dalam menggunakan alat pemasaran digital, komunikasi, dan pengurusan kewangan boleh dibina.

Penggunaan aplikasi-aplikasi ini selepas sesi latihan juga memerlukan bimbingan lanjut untuk memastikan ia digunakan dengan betul dalam urus niaga sebenar.