UiTM Kampus Rembau anjur ‘Treasure Hunt’ sempena penutup Bulan Kemerdekaan

Warga UiTM Kampus Rembau mengambil inisiatif menganjurkan Program Treasure Hunt sebagai penutup sambutan Bulan Kemerdekaan dengan kerjasama Unit Sukan kampus berkenaan.

Feature Image (2)

REMBAU, 24 September 2025 – Program Treasure Hunt bertemakan Hari Malaysia dan Hari Kebangsaan 2025 yang diadakan di UiTM Kampus Rembau hari ini bertujuan mewujudkan suasana kerja yang harmoni dan segar, selain menekankan kepentingan otak yang cerdas dan pekerja yang cergas sebagai nadi organisasi cemerlang.

Sejahtera, sihat dan cergas merupakan anugerah paling berharga dalam kehidupan seseorang dan organisasi.

Namun, mencapai tahap kesihatan dan kecergasan diri yang baik bukanlah sesuatu yang mudah, justeru warga UiTM Kampus Rembau mengambil inisiatif menganjurkan program itu sebagai penutup sambutan Bulan Kemerdekaan dengan kerjasama Unit Sukan kampus berkenaan.

Unit Sukan UiTM Kampus Rembau berfungsi sebagai penggerak dan penyelaras dalam merancang serta melaksanakan kegiatan sukan untuk pelajar dan staf universiti.

Ia bertujuan mengekalkan kecergasan fizikal pelajar di samping membentuk sahsiah dan personaliti mantap sebagai mahasiswa.

Melalui aktiviti sukan dan rekreasi yang dirancang, Unit Sukan menyasarkan penglibatan 100 peratus warga kampus dalam kegiatan sukan.

Penolong Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau, Prof Madya Dr Masitah Ahmad berkata, program berkenaan meningkatkan kesedaran warga kampus tentang kepelbagaian budaya dan sejarah negara, selain memupuk semangat perpaduan.

“Melalui aktiviti interaktif ini, warga kampus dapat bekerjasama dalam kumpulan, mengasah kemahiran penyelesaian masalah, meningkatkan keterampilan fizikal serta menanam rasa bangga dan cinta kepada negara.

“Ia juga membina kenangan manis sepanjang hayat, di samping memberi pengajaran mengenai nilai keharmonian dan kerjasama masyarakat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata kejayaan penganjuran program itu direalisasikan hasil kerjasama semua warga UiTM Kampus Rembau daripada pelbagai pusat tanggungjawab.

Kesempurnaan dari aspek fizikal, mental dan sosial warga kampus adalah konsep kesihatan menyeluruh yang memberikan kesan positif dalam kehidupan. Konsep kesihatan dan kecergasan masa kini perlu dilihat secara dinamik dan sentiasa berubah mengikut gaya hidup semasa.

Dengan adanya program anjuran Unit Sukan UiTM Kampus Rembau, warga kampus diharap lebih peka terhadap aktiviti fizikal bagi meningkatkan kesihatan dan kecergasan diri. Kesihatan dan kecergasan merupakan pilihan, bukan kebetulan.

“Bagi mencapai kesihatan dan kecergasan menyeluruh, seseorang perlu mengamalkan gaya hidup sihat merangkumi aspek fizikal, rohani, emosi, intelektual dan sosial. Warga kampus yang sihat dan harmoni akhirnya akan menjadi tunggak organisasi cemerlang,” katanya.