Kurangkan gajet, tambah aktiviti bermakna semasa cuti sekolah
Cuti sekolah bukan lagi sekadar masa berehat tetapi peluang penting untuk memulihkan interaksi keluarga dan mengurangkan kebergantungan anak pada skrin.

CUTI akhir persekolahan yang bermula 19 Disember 2025 datang dengan satu misi penting buat ibu bapa iaitu menyahut seruan kerajaan untuk membendung pengaruh negatif gajet, permainan video dan media sosial terhadap kanak-kanak.
Dalam suasana digital serba mencabar, cuti sekolah bukan lagi sekadar masa berehat tetapi peluang penting untuk memulihkan interaksi keluarga dan mengurangkan kebergantungan anak pada skrin.
Kebimbangan ini bukan tanpa sebab. Malaysia dikejutkan dengan dua insiden tragis pada Oktober 2025 melibatkan seorang pelajar 14 tahun yang terpengaruh dengan permainan video dan kandungan media sosial tertentu mungkin menjadi antara faktor mendorong tindakan kejam beliau membunuh rakan sekolahnya di Petaling Jaya.
Di Johor pula, seorang kanak-kanak enam tahun parah dikelar abangnya yang berumur 9 tahun akibat mengalami halusinasi dan kemarahan akibat permainan video. Fenomena ini menunjukkan bagaimana dunia maya boleh mempengaruhi emosi dan tingkah laku kanak-kanak secara drastik.
Lebih membimbangkan, kes seperti ini turut berlaku di Amerika Syarikat, Indonesia dan Rusia, menjadikan isu ini bukan satu fenomena lokal, malah global. Ketagihan permainan video dan pendedahan tanpa kawalan kepada media sosial terbukti menjejaskan perkembangan mental, fokus serta kematangan emosi kanak-kanak.
Melihat situasi yang semakin membimbangkan, kerajaan Malaysia kini memperhalusi pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian, mengikuti jejak Australia yang baru-baru ini melarang penggunaan media sosial kepada individu bawah 16 tahun. Malaysia turut bersedia mengenakan syarat pengesahan identiti digital untuk menghalang pembukaan akaun media sosial oleh kanak-kanak.
Di sekolah pula, larangan membawa telefon pintar bagi murid bawah 16 tahun dicadangkan sebagai salah satu langkah mengekang pengaruh negatif permainan dalam talian, buli siber dan salah laku disiplin. Namun pakar menegaskan, segala dasar kerajaan tidak akan memberi kesan maksimum tanpa penglibatan ibu bapa.
Peranan ibu bapa
Pakar pendidikan mengingatkan bahawa pelajar hanya berada sekitar tujuh jam di sekolah manakala selebihnya iaitu 17 jam berada di rumah. Tanpa pengawasan ibu bapa, akses kepada permainan video dan media sosial akan berterusan walaupun larangan dikuatkuasakan di sekolah. Maka cuti sekolah inilah masa terbaik untuk ibu bapa mengambil alih kawalan, bukan dengan melarang 100 peratus tetapi dengan memantau, menetapkan had masa dan menyediakan alternatif aktiviti yang lebih sihat dan bermakna.
Untuk memudahkan ibu bapa merancang, berikut beberapa aktiviti ringkas tetapi menyeronokkan boleh dilakukan sewaktu cuti sekolah antaranya:
1. Projek penceritaan tanpa skrin: anak berlakon sebagai pengacara TV menggunakan cermin sebagai ‘kamera’.
2. Jurnal cuti sekolah: menulis atau melukis aktiviti harian.
3. DIY dan seni: membuat slime, origami atau dekorasi kemeja-T lama.
4. Masak bersama: kuih mudah atau sarapan ringkas.
5. ‘Treasure hunt’ dalam rumah: mencari objek berpandukan petunjuk.
6. Berkebun mini: melakukan aktiviti berkebun contohnya menanam sayur menggunakan botol terpakai.
Aktiviti-aktiviti seperti ini bukan sahaja dapat mengurangkan ketagihan gajet, malah menggalakkan interaksi keluarga, kreativiti dan kemahiran hidup. Cuti sekolah adalah peluang mengembalikan anak-anak kepada dunia sebenar, yakni dunia yang membina emosi, sosial dan akhlak mereka. Anak adalah amanah yang perlu dijaga oleh ibu bapa dan masa, perhatian serta bimbingan ibu bapa merupakan pertahanan paling kuat terhadap ancaman digital.
Melalui kerjasama kerajaan, sekolah dan keluarga, negara mampu melindungi generasi muda daripada bahaya ketagihan skrin dan pengaruh permainan video yang semakin membimbangkan. Letakkan telefon, buka pintu rumah dan mulakan cuti sekolah dengan aktiviti bersama yang lebih selamat dan bermakna.

