Rancangan bual bicara pencetus gaya berfikir, kandungan memenuhi keperluan
Televisyen sebagai contoh terdapat pelbagai rancangan yang disusun bagi memenuhi kehendak masyarakat.
ABDUL GHALIM
DALAM kehidupan seharian, masyarakat tidak dapat lari daripada terdedah kepada media massa yang pelbagai dan mampu menarik perhatian atau menjadi tumpuan masyarakat.
Sudah tentu, sebagai masyarakat yang aktif, kebiasaannya akan membuat pemilihan berteraskan minat, kepentingan kandungan dan kesesuaian masa berdasarkan keperluan kehidupan.
Dari sudut media pula, pengisian kandungan yang dibawakan perlu ada keupayaan dalam menarik minat masyarakat berpandukan kehendak dan pemuasan serta pendekatan yang sesuai dengan perkara yang ingin disampaikan bagi menimbulkan kesan kepada masyarakat.
Berpandukan dengan fungsinya yang pelbagai, media akan sentiasa menjadi landasan penyampaian ilmu pengetahuan kepada masyarakat melalui rancangan-rancangan yang dititipkan mengikut kesesuaian konteks yang dibawa.
Dengan mengambil televisyen sebagai contoh terdapat pelbagai rancangan yang disusun bagi memenuhi kehendak masyarakat. Kandungan rancangan secara umumnya mengalami perubahan yang ketara saban tahun bagi mengimbangai keperluan yang pelbagai dari sudut konteks dan kaedah penyampaian.
Ternyata kaedah penyampaian dan isi kandungan senantiasa tidak bersifat statik malah semakin diperbaharui bersesuaian dengan zaman dan kepesatan teknologi.
Dalam memperkatakan tentang peranan dan fungsi media massa dalam menyampaikan ilmu pengetahuan untuk mendidik masyarakat maka seharusnya ia diberi perhatian dan penelitian terutama tentang keupayaannya memberikan kebaikan dan manfaat dalam mendefinisikan masyarakat berilmu.
Menyentuh berkenaan bentuk rancangan yang memberikan maklumat berupa ilmu pengetahuan kepada masyarakat sudah tentunya banyak untuk disenaraikan.
Antaranya ialah slot berita, rancangan bual bicara, dokumentari, rancangan majalah dan pelbagai lagi menyantuni pemikiran masyarakat bersesuaian dengan golongan sasaran.
Namun, kupasan yang hendak dibawa adalah bagaimana sesuatu rancangan itu berperanan untuk membantu masyarakat mendapatkan ilmu dalam memahami sesuatu keadaan dan bakal membuat penilaian yang betul berpandukan perkongsian yang diterima.
Adakah jika terdapat hubungkait yang mendasari antara kandungan rancangan dan kehidupan sebenar masyarakat, maka segala yang diperkatakan melalui rancangan tersebut akan dijadikan sandaran dalam menghadapi situasi sama atau dengan kata mudah menjadi dorongan tingkah pada masa hadapan.
Kesemua persoalan tersebut hanya mampu dipertahankan jika kita mengerti berkenaan perkaitan awal antara bentuk rancangan dan pilihan masyarakat iaitu sejauh mana masyarakat penonton menganggap perkaitan antara isi kandungan media dan keperluan memenuhi keinginan mereka.
Dengan kata mudah, masyarakat bertindak untuk memilih kandungan yang diperlukan dan mentafsirkan keperluannya dalam menjalani kehidupan seharian mereka.
Pemilihan rancangan berteraskan format, topik dan kepentingan terhadap seseorang individu itu adalah jawapan dalam memenuhi keupayaan menerima, tahap berfikir dan gaya tindak balas selaras dengan situasi.
Tentu sekali jika hendak mendapat gambaran yang jelas dalam membicarakan hubungan positif antara jenis kandungan media dan manfaat kepada masyarakat maka perlu ada sandaran program sebagai contoh pentafsiran.
Dalam hal ini, dimensi perbincangan akan terarah kepada rancangan bual bicara sebagai pegangan yang menggerakkan pemikiran penonton ke arah kelangsungan ilmu pengetahuan.
Bagaimana keistimewaan rancangan ini mampu untuk menjelmakan pengetahuan berteraskan keinginan penonton dan memungkinkan perubahan pemikiran berlaku untuk keperluan masa hadapan.
Ringkasnya, umum mengetahui bahawa rancangan bual bicara adalah sebuah program yang membincangkan topik yang membina pemikiran masyarakat melalui penghuraian yang teliti bersumberkan pendapat pakar.
Perbincangan secara tuntas dirasakan mampu untuk menjelmakan mesej yang jelas dan tersusun melalui kawalan pendapat moderator yang berwibawa.
Kearifan perbincangan berkenaan sesuatu topik bakal menjelma apabila panel digandingkan secara teratur darisegi latar belakang pendidikan, skop kerjaya mahupun bidang kepakaran yang sudah tentunya menuntut pengalaman yang luas.
Pemilihan untuk turut terlibat sebagai penonton bagi rancangan bual bicara rata-ratanya adalah berdasarkan minat dan keperluan untuk memahami sesuatu konteks yang diutarakan.
Kebiasaannya ia bersifat terkini dan masih perlu dibahaskan dari segenap sudut. Minat dan keperluan membuatkan individu akan mencari atau mendedahkan dirinya kepada rancangan bual bicara bagi memenuhi keinginan mereka.
Penghuraian daripada panel undangan yang mempunyai kepakaran tentang topik yang dibawa akan diambil peduli dan dianalisis berdasarkan pendirian penonton tersebut.
Sama ada ia akan menjadi pengukuhan pendapat atau perubahan pandangan bergantung dengan tahap kupasan dan jalinan pemikiran penonton memandangkan penonton adalah individu yang bersifat tidak seragam.
Namun, penonton dirasakan berupaya mengasah pemikiran mereka dalam pertimbangan terbaik apabila mendengar pendapat daripada mereka yang pakar.
Menonton rancangan bual bicara juga mampu memenuhi keperluan untuk mendalami pengetahuan sedia ada malah dapat mengikuti perkembangan semasa. Pemilihan topik perbincangan juga merupakan perkara penting sebelum memulakan tontonan.
Kebiasaannya rancangan bual bicara akan memilih kupasan tajuk yang popular dari sudut kepentingan umum dan masih diperbualkan oleh masyarakat.
Dengan ini, ia dapat menarik minat penonton untuk mengetahui sesuatu tajuk itu dengan lebih mendalam malah para panel undangan juga kebiasaannya terdiri daripada mereka yang tidak asing dalam membuat penampilan di media massa dan teruji tahap keintelektualan dalam sesuatu bidang.
Masyarakat dirasakan akan lebih tertumpu jika terdapat nama besar dalam bidang pengkhususan yang membarisi barisan panel dalam mengupas sesuatu tajuk.
Dengan kepakaran dan pengalaman panel undangan mampu menyumbang pengetahuan tambahan kepada penonton. Ini akan mempengaruhi perhatian penonton dalam setiap ungkapan yang lahir dari sudut pandang mereka yang pakar berbanding ulasan biasa yang mampu diperolehi daripada individu lain.
Hampir pasti bahawa ilmu yang bermanfaat itu haruslah dikongsi bagi memastikan kelangsungan yang setara. Bermaksud dengan pendedahan pengalaman menonton rancangan bual bicara akan turut mempengaruhi penonton kepada proses interaksi pada masa hadapan.
Ini penting kerana keperluan maklumat semasa berupaya mempengaruhi pemikiran dan membantu untuk interaksi sosial dengan kenalan, rakan sekerja mahupun dalam kalangan ahli keluarga.
Dengan ilmu pengetahuan yang diperolehi, individu mampu untuk menjadikan topik perbualan yang membina diantara rakan-rakan mahupun keluarga.
Perkongsian bermanfaat ini membolehkan individu berkenaan mewujudkan konteks interaksi yang positif dalam memahami dan merancakkan aliran pemikiran dikalangan rakan-rakan berkenaan sesuatu ilmu yang diperoleh.
Ternyata, kandungan media massa jika dinilai, dirangkum, difahami dan dijalinkan dengan kehidupan maka ia bakal mendatangkan kebaikan kepada diri sendiri, ahli keluarga dan anggota masyarakat.
Justeru, jika ada usaha untuk mempelbagaikan rancangan bual bicara adalah amat digalakkan terutamanya dalam mencipta keunikan penyampaian agar kelangsungannya bakal mendatangkan hasil positif yang diharapkan.
Segala yang bermanfaat telah tersedia dan terpulang kepada anda untuk menggunakannya dipelbagai sudut kehidupan.
