Konflik Geopolitik: Mengapa WFH tidak menyelesaikan masalah kejutan minyak?
Realitinya, penggunaan tenaga bahan api tidak hilang begitu sahaja apabila orang berhenti berulang-alik kerja tetapi penggunaan tenaga mengalami perubahan.

DI tengah-tengah kejutan bekalan dan harga minyak global yang dicetuskan oleh konflik Amerika Syarikat (AS)-Israel-Iran, beberapa ekonomi Asia Tenggara (Vietnam, Thailand, Indonesia dan Filipina) telah beralih dasar kepada kerja dari rumah (WFH).
Dasar ini merupakan tindak balas pantas terhadap peningkatan kos bahan api dan ketidakamanan tenaga. Logiknya kelihatan mudah. Lebih sedikit orang yang berulang-alik bermakna kurang penggunaan bahan api. Lebih sedikit penggunaan bahan api membantu memelihara rizab tenaga negara.
Ia kedengaran masuk akal tetapi ia juga sangat mengelirukan kerana krisis semasa bukanlah pandemik. Ia adalah kejutan tenaga dan penggunaan penyelesaian era pandemik untuk masalah tenaga berisiko tersilap keterlihatan sebagai keberkesanan.
Dasar ini bertujuan sebagai penampan jangka pendek terhadap kejutan luaran (external shock), terutamanya memandangkan kebergantungan rantau Asia Tenggara ini terhadap tenaga import dan pendedahan kepada gangguan di sepanjang laluan utama seperti Selat Hormuz.
Sekilas pandang, WFH nampaknya mengurangkan penggunaan tenaga. Kajian 2024 oleh Wu, Chang dan Chen yang diterbit Jurnal Applied Energy menunjukkan bahawa kerja jarak jauh boleh mengurangkan pelepasan berkaitan perjalanan ulang-alik kerja dan juga mengurangkan jumlah output karbon harian sebanyak 29 peratus tetapi angka utama ini mengaburkan realiti yang lebih rumit.
Realitinya, penggunaan tenaga bahan api tidak hilang begitu sahaja apabila orang berhenti berulang-alik kerja tetapi penggunaan tenaga mengalami perubahan.
WFH meningkatkan penggunaan tenaga kediaman dengan ketara pula. Kajian 2023 oleh Shi, Sorrell dan Foxon yang diterbit Jurnal Energy & Buildings menunjukkan bahawa WFH sepenuh masa boleh meningkatkan permintaan tenaga isi rumah antara 16 peratus dan 117 peratus, bergantung pada keadaan hidup dan iklim.
Malah International Energy Agency (IEA) menyatakan bahawa sehari WFH boleh meningkatkan penggunaan tenaga isi rumah sebanyak 7 peratus hingga 23 peratus. Penggunaan tenga isi rumah ini mengimbal balik penjimatan tenaga bahan api daripada pengurangan perjalanan ulang-alik kerja.
Dalam beberapa kes, tenaga tambahan yang digunakan di rumah (contoh: untuk penyejukan, elektrik dan infrastruktur digital) boleh melebihi penggunaan bahan api daripada perjalanan ulang-alik kerja sama sekali.
Ini membawa kepada kesimpulan yang tidak selesa, WFH boleh mengurangkan penggunaan tenaga yang boleh dilihat tetapi tidak semestinya jumlah penggunaan tenaga secara keseluruhannya. Lebih penting lagi, WFH langsung tidak menangani sumber sebenar di mana penggunaan tenaga bahan api paling banyak.
Permintaan dan penggunaan bahan api terbesar dalam sesebuah ekonomi moden tidak datang daripada perjalanan ulang-alik kerja harian tetapi, ia datang daripada industri, logistik, pembuatan, dan rantaian bekalan. Malang sekali, sektor-sektor inilah yang tidak boleh beroperasi secara WFH.
Tiada jumlah mesyuarat Zoom, Google Meet yang boleh menggantikan pengoperasian kilang. Tiada platform maya yang boleh menggantikan rangkaian logistik atau pengeluaran perindustrian. Di sinilah dasar WFH demi pengurangan penggunaan bahan api negara mula terurai.
Menggalakkan WFH mungkin mewujudkan gambaran tindakan tegas tetapi ia hanya menyasarkan segmen penggunaan tenaga yang sempit. Dalam erti kata ini, ia adalah dasar yang jelas tetapi cetek dan terbatas dari segi struktur. Batasan dasar WFH ini menjadi lebih jelas apabila diperluaskan konteksnya.
Dari sektor pendidikan contohnya, sesetengah pembuat dasar telah mencadangkan idea untuk memperkenalkan semula pembelajaran dalam talian (Online Based Learning, ODL) sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan bahan api yang lebih luas. Di sinilah risiko menjadi lebih serius.
Apakah mereka sudah lupa akan kesan dan akibat ODL kepada pembelajaran anak-anak semasa pandemik COVID-19? Sehingga UNESCO memberi amaran bahawa generasi terkesan ini berisiko menjadi “the lost generation”, akibat keciciran pendidikan.
Anak-anak hilang struktur pembelajaran yang sebenar. ODL semasa era pandemik menunjukkan bahawa pendidikan bukan sekadar pemindahan maklumat tetapi satu proses yang berstruktur dan sosial. Apabila struktur itu rosak, pembelajaran juga akan rosak. Pelajar bukan sahaja kehilangan masa pengajaran, tetapi juga penglibatan, interaksi, pembinaan disiplin, perkembangan sosial, dan akses sama rata kepada pendidikan.
Kesannya ini lebih teruk dalam kalangan pelajar muda yang berasal dari isi rumah berpendapatan rendah. Di mana akses mereka kepada infrastruktur digital dan persekitaran pembelajaran adalah terbatas.
Oleh itu, memperkenalkan semula ODL sebagai langkah penjimatan tenaga, berisiko mengulangi hasil ini sekadar untuk keuntungan marginal yang sementara. Ini bukanlah satu perubahan dasar yang boleh dipandang enteng oleh mana-mana kerajaan.
Di luar pendidikan, terdapat akibat ekonomi yang lebih luas. WFH tidak boleh diakses secara sama rata merentasi sektor. Ia memberi manfaat yang tidak seimbang kepada profesional dalam kewangan, teknologi dan pentadbiran, sambil mengecualikan pekerja dalam pembuatan, pembinaan, runcit dan perkhidmatan.
Ini mewujudkan satu bentuk asimetri dasar.
Pekerja kolar putih diminta untuk WFH atas nama penjimatan tenaga negara, sementara pekerja kolar biru terus berulang-alik dan mengekalkan pengeluaran.
Pada masa yang sama, WFH yang berpanjangan boleh memecahbelahkan produktiviti. Kerjasama menjadi lemah, perpaduan organisasi merosot dan pembuatan keputusan menjadi perlahan, terutamanya dalam persekitaran di mana interaksi dan penyelarasan tidak formal adalah penting. Kesan negatif WFH tidak akan berlaku secara serta-merta tetapi ia adalah kesan yang terkumpul dan menghakis secara perlahan-lahan.
Lantaran itu, ini menimbulkan persoalan penting, jika kesan positif WFH adalah diketahui terhad, mengapa kerajaan terus mempromosikannya?
Sebahagian daripada jawapannya terletak pada ekonomi politik. WFH adalah satu dasar yang mudah dilaksanakan. Ia tidak memerlukan pelaburan infrastruktur yang besar, tiada pembaharuan struktur dan tiada pertukaran dasar yang sukar. Ia adalah tindakan dasar tanpa menuntut pengorbanan daripada sektor yang menggunakan tenaga paling banyak.
WFH hanyalah satu perubahan dasar yang mudah tetapi, ia tidak berkesan. Ia tidak boleh diangkat menjadi sebuah dasar pusat untuk bertindak balas terhadap krisis tenaga ini. Ia cuma boleh memberikan kelegaan serta fleksibiliti yang bersifat sederhana dan sementara.
WFH adalah tindakan dasar untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada beberapa soalan yang lebih sukar untuk dijawab oleh kerajaan.
Bagaimanakah kerajaan harus menguruskan subsidi bahan api dalam persekitaran harga yang tidak menentu?
Bagaimanakah kecekapan tenaga boleh ditingkatkan dalam industri dan sistem pengangkutan negara?
Apakah pelaburan yang diperlukan untuk mempercepatkan peralihan ke arah sumber tenaga yang lebih bersih?
Isu peningkatan kos bahan api dan ketidakamanan tenaga adalah merupakan satu cabaran struktur. Oleh itu, ia memerlukan penyelesaian yang berstruktur. Jadi, WFH bukanlah penyelesaiannya.
Dalam waktu krisis, dasar yang jelas dan telus adalah amat penting. Kerajaan perlu sedar bahawa tidak semua kejutan ekonomi adalah sama. Setiap kejutan memerlukan solusi yang berbeza.
Pandemik memerlukan penjarakan. Krisis tenaga memerlukan kecekapan, pelaburan dan pelarasan struktur.
Kekeliruan solusi akan dua krisis ini tampak bijak dari segi politik. Tetapi ia adalah salah dari segi ekonomi.

