Menilai sempadan autoriti wali dalam pengurusan duit raya
Bagaimana Maqasid Syari’ah bertindak sebagai “brek” kepada penyalahgunaan kuasa wali dalam keluarga?

FENOMENA “duit raya” di dunia Melayu bukan sekadar tradisi budaya tetapi ia melibatkan perpindahan hak milik harta yang signifikan dalam ekosistem kewangan keluarga Muslim. Sering kali, timbul polemik apabila bapa atau ibu menggunakan duit raya anak untuk menampung kos hari raya, membayar bil atau komitmen peribadi.
Adakah bapa mempunyai kuasa mutlak ke atas harta anak atas dasar “pengorbanan” membesarkan mereka atau adakah Islam menetapkan sempadan yang tegas? Artikel ini akan mengupas sisi kritikal pengurusan harta anak dan bagaimana Maqasid Syari’ah bertindak sebagai “brek” kepada penyalahgunaan kuasa wali dalam keluarga.
Senario duit berlegar dalam tangan ibu bapa
Setelah sambutan syawal melabuhkan tirainya, ibu bapa akan sibuk dengan menguruskan duit raya anak-anak. Dalam situasi tertentu, amalan mengambil duit raya anak telah menjadi kebiasaan yang diterima tanpa soal.
Lebih membimbangkan, ia sering dibungkus dengan alasan yang kedengaran seolah-olah sah “untuk keluarga”, “bapa yang tanggung” atau “anak belum pandai urus duit”. Namun, hakikatnya alasan-alasan ini tidak cukup untuk mengubah sesuatu yang jelas pada asasnya.
Dalam banyak keadaan, duit itu tidak sempat pun “milik” anak dalam erti kata sebenar. Ia sering diambil, dikumpul atau “diuruskan” oleh ibu bapa, khususnya bapa atas pelbagai alasan. Ada yang menyebut keperluan keluarga, ada yang menganggap anak belum tahu mengurus wang, dan ada juga yang melihatnya sebagai hak bapa selaku ketua keluarga lebih-lebih lagi tuntutan kos keluarga semasa semakin mencabar.
Hak bapa dan hak anak: Antara penjaga harta dan milk al-tam
Persoalan duit raya anak ini masih berkisar antara hak milik, amanah dan batas kuasa dalam Islam.
Dalam ekosistem perundangan Islam, kanak-kanak bukan sekadar subjek jagaan tetapi mereka adalah entiti hukum yang memiliki kedaulatan harta secara mandiri (ahliyyat al-wujub).
Fenomena “duit raya” sering kali menguji sejauh mana batas autoriti seorang bapa sebagai wali al-mal (penjaga harta) terhadap hak milik mutlak (milk al-tam) si anak. Adakah kedudukan bapa sebagai ketua keluarga memberi keabsahan automatik untuk mencairkan aset anak demi liabiliti keluarga? Hal ini perlu kepada perbahasan secara kritikal, titik pertemuan antara hak asasi material kanak-kanak dengan mandat perwalian bapa menurut perspektif mazhab dan falsafah Maqasid Syariah.
Doktrin Milk al-Tam: Status Perundangan Harta Kanak-Kanak
Secara prinsipnya, setiap pemberian (hibah) yang diterima oleh kanak-kanak, termasuk duit raya, dikategorikan sebagai milk al-tam atau pemilikan sempurna. Kanak-kanak tersebut memiliki hak eksklusif ke atas aset itu meskipun mereka belum mempunyai kelayakan mengurus (ahliyyat al-ada’).
Di bawah kerangka perundangan Islam, harta anak adalah entiti yang terpisah sepenuhnya daripada liabiliti ibu bapa. Maka, sebarang anggapan bahawa duit raya adalah “dana pampasan” bagi kos sambutan raya ibu bapa adalah satu kekeliruan konsep yang bertentangan dengan prinsip kebebasan pemilikan dalam Islam.
2. Mandat Perwalian: Antara Pemeliharaan dan Pencerobohan
Bapa memegang mandat sebagai wali mal yang berfungsi sebagai pengurus, bukannya pemilik. Dalam perspektif hukum, setiap tindakan wali terhadap harta anak mestilah didasari oleh prinsip Maslahat al-Qasir (kepentingan kanak-kanak di bawah umur). Kaedah fiqh menetapkan bahawa “Tindakan penjaga ke atas tanggungan mestilah terikat dengan maslahah.”
Justeru, autoriti bapa adalah untuk memastikan harta tersebut berkembang atau sekurang-kurangnya terpelihara. Menggunakan dana tersebut untuk melunaskan komitmen peribadi bapa (seperti bil atau ansuran kenderaan) tanpa keperluan mendesak anak dikira sebagai pencerobohan (ta’addi) yang mencacatkan integriti perwalian tersebut.
Kedudukan Harta Anak dalam Mazhab Syafi’i: Prinsip Pemisahan Liabiliti
Dalam Mazhab Syafi’i, yang menjadi pegangan utama di Malaysia, prinsip asalnya ialah pemisahan harta secara total antara bapa dan anak. Apabila seorang anak menerima duit raya, ia dikira sebagai hibah (pemberian) yang sempurna. Sebaik sahaja duit itu beralih tangan, ia menjadi milk al-tam (milik penuh) anak tersebut.
Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, menegaskan bahawa seorang anak yang belum baligh tetap mempunyai kelayakan memiliki harta (ahliyyat al-wujub), namun belum mempunyai kelayakan menguruskannya (ahliyyat al-ada’). Oleh itu, bapa hanya bertindak sebagai wali mal (penjaga harta). Tugas bapa adalah sebagai muhafiz (pelindung), bukannya pemilik.
Justeru, bapa dipertanggungjawabkan untuk memastikan harta anak itu kekal selamat dan jika boleh, dikembangkan melalui pelaburan yang selamat seperti Tabung Haji atau ASB. Sebarang tindakan bapa menggunakan harta tersebut untuk kepentingan peribadi tanpa sebab yang syarie dianggap sebagai pencerobohan (ta’addi) ke atas hak anak.
Mazhab Hanbali memberi ruang lebih Luas terhadap hak pemilikan harta anak
Berbeza dengan Mazhab Syafi’i, Mazhab Hanbali memberikan ruang yang lebih luas kepada bapa untuk mengambil harta anak. Pendapat ini bersandarkan kepada zahir hadis “Engkau dan hartamu milik bapamu”.
Menurut Imam Ahmad bin Hanbal, bapa mempunyai hak untuk memiliki atau mengambil harta anaknya walaupun bapa tidak berada dalam keadaan fakir atau terdesak. Namun, Mazhab Hanbali meletakkan tiga syarat tertentu bagi mengelakkan kezaliman:
i-Tiada Mudarat: Pengambilan tersebut tidak boleh menyebabkan anak jatuh miskin atau kehilangan barang yang sangat diperlukan oleh anak.
ii-Bukan untuk Orang Lain: Bapa tidak boleh mengambil harta anak A untuk diberikan kepada anak B (saudara yang lain).
iii-Bukan Semasa Sakit Maut: Bapa tidak boleh mengambil harta itu ketika anak sedang dalam keadaan sakit yang membawa kepada kematian (untuk mengelakkan gangguan pada hukum faraid).
Rigit Syafi’i dan Akomodatif Hanbali
Wujud perbezaan metodologi antara mazhab dalam isu ini. Mazhab Syafi’i mengambil pendekatan perlindungan maksimum dengan mengharamkan bapa menyentuh harta anak kecuali jika bapa berada dalam kefakiran yang ekstrem.
Sebaliknya, Mazhab Hanbali kelihatan lebih akomodatif berdasarkan literal hadis, namun tetap mengikatnya dengan syarat ketiadaan mudarat (darar). Perbezaan ini menunjukkan syariat menyediakan mekanisme imbangi; bapa diberikan penghormatan, namun hak material anak diletakkan di bawah pengawasan yang sangat ketat bagi mengelakkan eksploitasi ekonomi domestik.
Walaupun Mazhab Hanbali lebih “longgar”, mereka tetap menekankan bahawa hak ini adalah keistimewaan bapa sahaja, tidak termasuk ibu atau penjaga yang lain, sebagai penghormatan kepada ketua keluarga.
Dekonstruksi Hadis ‘Anta wa Maluka li Abik’
Sering kali, hadis “Engkau dan hartamu milik bapamu” disalahgunakan sebagai instrumen untuk menguasai kewangan anak secara total. Walau bagaimanapun, ulama muktabar melakukan dekonstruksi terhadap teks ini dengan menyatakan bahawa huruf ‘lam’ dalam hadis tersebut merujuk kepada keharusan penggunaan (ibahah) dalam situasi mendesak, bukannya pemilikan mutlak.
Buktinya, dalam hukum faraid bapa tidak mewarisi keseluruhan harta anak secara automatik. Ini mengukuhkan fakta bahawa secara perundangan, harta anak adalah berdaulat dan tidak boleh dileburkan ke dalam harta bapa tanpa alasan syarie.
Dimensi Maqasid: Hifz al-Mal dan Keadilan Generasi
Dari sudut Maqasid Syariah, penjagaan harta (hifz al-mal) bagi golongan lemah adalah objektif utama. Dengan menetapkan sempadan yang jelas, Islam sedang membina sistem keadilan antara generasi. Harta anak tidak seharusnya menjadi “mangsa” kepada kegagalan pengurusan kewangan ibu bapa.
Perlindungan harta raya ini sebenarnya bertujuan menjamin simpanan masa depan anak (pendidikan/modal hidup), sekali gus memastikan kitaran ekonomi keluarga tidak bersifat menindas golongan yang belum mampu bersuara.
Autoriti Ulama Klasik: Pasak Hukum yang Kukuh
Imam Al-Mawardi dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah menjelaskan bahawa wali hanya dibenarkan menggunakan harta anak sekiranya terdapat keperluan atau maslahat yang jelas, bukan untuk kepentingan peribadi semata-mata.
Ia diperkuatkan lagi dengan pandangan Imam al-Nawawi iaitu bapa hanya boleh mengambil harta anak jika bapa miskin dan anak pula mempunyai lebihan. Senada dengan itu, Imam al-Khatib al-Syirbini dalam Mughni al-Muhtaj meletakkan syarat faqir sebagai ‘pintu masuk’ tunggal untuk bapa menggunakan dana anak tanpa izin.
Teks-teks klasik para ulama Syafi’i ini berfungsi sebagai benteng yang menghalang bapa daripada sewenang-wenangnya mencairkan aset anak demi kemahuan peribadi, sekali gus meletakkan amanah di atas segala kepentingan. Ha ini menunjukkan penegasan mutlak bahawa amanah bukan ruang untuk manipulasi.
Peranan Penjaga: Ibu sebagai Pemantau Amanah
Meskipun bapa adalah wali utama, ibu memainkan peranan krusial sebagai pemantau harian. Walaupun ibu tidak memiliki autoriti wilayah yang sama seperti bapa, ibu wajib memastikan maslahah harta anak terjaga. Jika bapa cuba menyalahgunakan duit raya anak untuk tujuan yang tidak syarie, ibu mempunyai hak moral dan undang-undang untuk menghalangnya.
Hubungan ini mestilah berasaskan kerjasama dalam memelihara amanah, bukannya bersekongkol dalam menipiskan simpanan masa depan anak.
Garis Merah: Situasi Darurat dan Liabiliti Hutang
Bolehkah bapa menyentuh harta ini? Secara hukumnya, ia adalah harus bersyarat. Jika keluarga berada dalam tahap darurat (ketiadaan makanan asasi), harta anak boleh digunakan atas dasar menyelamatkan nyawa (hifz al-nafs).
Namun, jika bapa menggunakan dana tersebut dalam keadaan bapa masih berkemampuan, perbuatan itu dikira sebagai hutang yang wajib dilunaskan. Kegagalan memulangkan semula harta yang diambil secara tidak sah akan menjadi bebanan liabiliti di akhirat kelak bagi seorang wali.
Integriti Perwalian dalam Hadis Sahih
Rasulullah SAW mengingatkan dalam hadis riwayat al-Bukhari bahawa setiap pemimpin (termasuk bapa) akan dipersoal tentang amanah jagaannya. Menjaga duit raya anak adalah ujian kecil bagi integriti yang besar.
Sebagaimana harta sesama Muslim adalah haram dicerobohi (hr. Muslim), maka harta anak sendiri mempunyai tahap kesucian yang lebih tinggi kerana ia melibatkan unsur amanah perwalian. Seorang wali yang cemerlang adalah wali yang menyerahkan semula harta kepada anaknya dalam keadaan yang lebih baik daripada asalnya.
Tuntasnya, kedaulatan harta kanak-kanak dalam Islam adalah prinsip yang tidak boleh dikompromi tanpa alasan syarie yang mendesak. Maqasid Syariah mengajar kita bahawa hubungan bapa dan anak bukan sekadar hubungan ‘tuan dan hamba’ tetapi hubungan amanah dan kasih sayang.
Duit raya anak adalah amanah Allah yang diletakkan di bahu bapa untuk disimpan bagi kegunaan masa depan mereka sama ada untuk pendidikan, kesihatan atau modal memulakan hidup.
Sebagai wali, tanggungjawab bapa adalah memelihara pertumbuhan aset anak, bukannya menjadi punca kepada defisit harta mereka. Menghormati sempadan perundangan ini adalah langkah awal dalam membina ekosistem keluarga yang adil, telus dan diberkati Allah SWT. Wa Allah a’lam.

