Belia tulang belakang sukarelawan insiden tragedi

Belia merupakan golongan yang berada pada kemuncak tenaga, idea dan semangat. Ciri-ciri ini menjadikan mereka kelompok yang paling dinamik dalam masyarakat.

Poster Terkini (1)


NEGARA memerlukan golongan belia yang aktif, progresif dan berdaya saing untuk memacu kemajuan serta memimpin negara ke arah masa depan yang lebih cemerlang.

Menurut takrifan semasa, belia merujuk kepada individu berumur antara 15 hingga 40 tahun. Golongan ini tidak wajar dipandang enteng kerana mereka mewakili sebahagian besar daripada struktur demografi masyarakat. Belia yang aktif, idealistik dan berfikiran holistik mampu menjadi pemacu pembangunan negara secara menyeluruh dan berkesan.

Belia merupakan golongan yang berada pada kemuncak tenaga, idea dan semangat. Ciri-ciri ini menjadikan mereka kelompok yang paling dinamik dalam masyarakat.

Mereka tidak gentar untuk melakukan perubahan, menyampaikan mesej positif dan memberi manfaat kepada masyarakat. Golongan ini turut membuktikan bahawa mereka bukan sekadar penerima manfaat pembangunan, malah agen perubahan yang aktif, berani dan idealistik.

Penglibatan aktif belia dalam bidang keusahawanan, sukan, kebajikan sosial dan kesukarelawanan memberi gambaran jelas bahawa mereka bukanlah golongan pasif yang hanya bergantung kepada bantuan orang lain.

Sebaliknya, belia masa kini mampu berdikari dan sentiasa mencari inisiatif untuk menyumbang nilai serta manfaat kepada masyarakat. Hal ini dapat dilihat melalui penglibatan mereka dalam persatuan sosial, gerakan kesukarelawanan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), malah secara individu.

Tahap aktif belia ini mencerminkan tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan belia terhadap tanggungjawab dan peranan sebenar mereka dalam pembangunan negara.

Dalam menghadapi tragedi yang datang tanpa amaran, kekuatan sesebuah masyarakat sering kali teruji. Namun, di sebalik detik-detik getir inilah terserlah satu hakikat yang membanggakan iaitu golongan belia adalah tulang belakang yang menyokong dan memperkukuh daya tahan komuniti.

Kebanyakan tragedi seperti banjir kilat, kebakaran, tanah runtuh mahupun kemalangan besar memerlukan tindakan pantas, tenaga fizikal yang kuat, serta keupayaan membuat keputusan dalam tekanan.

Di sinilah belia memainkan peranan yang luar biasa. Mereka tidak hanya menjadi pemerhati, tetapi terus turun ke lapangan, membantu mangsa, menguruskan logistik dan menyampaikan maklumat melalui rangkaian digital yang mereka kuasai.

Sebagai contoh, ketika berlakunya insiden kebakaran mengejut di Putra Heights baru-baru ini, golongan belia tampil secara sukarela, menghulurkan bantuan melalui platform rasmi seperti Selangor Volunteers (SERVE) dan Team Selangor.

Mereka telah menyertai operasi pembersihan kawasan Putra Heights. Seramai 1000 sukarelawan mahasiswa di bawah Team Selangor telah turun ke lapangan untuk membantu operasi pembersihan di kawasan terjejas dengan kebakaran gas paip itu.

Selain itu, terdapat juga belia dan mahasiswa yang membantu urusan pihak berkuasa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights. Ini secara tidak langsung telah membantu meringankan beban pihak berkuasa dan pihak mangsa kebakaran itu.

Situasi ini merupakan bukti jelas bahawa golongan belia berperanan sebagai tulang belakang negara dan bukan hanya di dalam institusi akademik tetapi juga di lapangan sebenar bersama masyarakat, sama ada ketika krisis mahupun dalam kehidupan seharian.

Semangat kesukarelawanan belia dalam operasi pembersihan di Putra Heights memperlihatkan keprihatinan dan daya tahan tinggi generasi muda. Mereka bukan sahaja membantu secara fizikal, malah menjadi penggerak utama dalam memulihkan kawasan terjejas dengan cekap dan sistematik.

Penglibatan aktif ini membuktikan bahawa belia mampu memimpin dan membantu ketika krisis, di samping membina jaringan kerjasama erat antara komuniti dan agensi berkaitan.

Justeru, sudah tiba masanya semua pihak berganding bahu memperkasakan belia melalui sokongan, latihan dan peluang pembangunan yang menyeluruh. Belia bukan sekadar harapan masa depan, malah kekuatan masa kini yang wajar diiktiraf.

Dengan membina belia yang berdaya tahan, negara akan terus melangkah ke hadapan dalam menghadapi cabaran mendatang.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.