Chartered Banker berwibawa terajui era transformasi

Bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan Sektor Kewangan’, majlis penganugerahan itu menekankan kepentingan melahirkan profesional perbankan dan kewangan yang beretika

Poster Terkini (1)

KUALA LUMPUR, 26 Mei 2025 – Institut Chartered Banker Asia (AICB) baru-baru ini menganjurkan Majlis Penganugerahan Chartered Banker kali ke-8 bagi meraikan komitmen para profesional perbankan dalam menegakkan standard tertinggi kecemerlangan profesional dan pembelajaran sepanjang hayat, seiring landskap kewangan yang semakin kompleks dan pesat berubah.

Bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan Sektor Kewangan’, majlis tersebut menekankan kepentingan melahirkan profesional perbankan dan kewangan yang beretika dan bersedia menghadapi cabaran masa depan, termasuk isu keselamatan siber, privasi data, kewangan mampan serta kemajuan transformasi digital dan teknologi kewangan (fintech).

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour dalam ucapan khasnya berkata, Malaysia telah banyak melabur dalam membangunkan bakat sektor kewangan menerusi ekosistem komprehensif merangkumi latihan, pensijilan dan panduan berwawasan masa depan.

“Saya juga ingin menekankan betapa pentingnya peranan institusi kewangan dalam menyokong usaha ini melalui akademi pembelajaran dan pembangunan masing-masing. Meskipun industri perkhidmatan kewangan telah mendapat manfaat daripada ekosistem pembangunan bakat yang kukuh, tindakan kolektif yang lebih menyeluruh diperlukan untuk memastikan daya tahan tenaga kerja masa depan,” katanya.

Antara sorotan utama majlis tersebut ialah penganugerahan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat oleh Presiden Chartered Banker Institute (CBI), Paul Denton kepada Pengerusi AICB, Tan Sri Azman Hashim. Pengiktirafan berprestij ini merupakan yang pertama dianugerahkan oleh CBI dalam tempoh lebih sedekad.

Azman dalam ucapannya berkata, anugerah itu merupakan cerminan kemajuan kolektif industri perbankan dalam memartabatkan profesionalisme beretika.

“Perbankan bukan sekadar angka, ia tentang amanah, tadbir urus dan matlamat. Saya berharap anugerah ini dapat menginspirasikan lebih ramai profesional untuk mengutamakan pembelajaran berterusan dan memimpin dengan integriti,” katanya.

Majlis tersebut turut mengiktiraf sumbangan Gabenor Bangko Sentral ng Pilipinas, Gabenor Eli M. Remolona, Jr., menerusi Anugerah Fellowship Kehormat AICB, salah satu pengiktirafan tertinggi institusi itu, atas peranannya dalam memperkukuh integrasi perbankan ASEAN dan pembangunan bakat serantau.

Ketua Eksekutif AICB, Edward Ling berkata, AICB kekal komited dalam memperkasakan tenaga kerja sektor kewangan melalui pendidikan profesional yang relevan dan berkualiti.

“Profesionalisme dan peningkatan kemahiran dalam bidang perbankan bukan satu pilihan, malah satu keperluan. Kami komited memperluaskan komuniti Chartered Banker yang kini melebihi 800 ahli dalam tempoh dua tahun,” katanya.

Beliau berkata, melalui program pendidikan, Rangka Kerja Kemahiran Masa Depan dan inisiatif kepimpinan dalam bidang seperti inovasi digital dan kewangan mampan, AICB berusaha melengkapkan ahli dengan kemahiran penting untuk menghadapi cabaran masa depan.

Majlis itu turut menyaksikan penganugerahan status Fellow Chartered Banker (FCB) kepada 14 tokoh industri termasuk Ahli Majlis AICB, Datuk Mohd Rashid Mohamad, Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Bank Berhad.

Sebanyak 71 ahli AICB dianugerah status Chartered Banker (CB), manakala lebih 500 lagi menerima status Associate Chartered Banker. Turut diraikan ialah para penerima Anugerah Kecemerlangan dan Anugerah Korporat.

Disaksikan lebih 480 tetamu termasuk barisan eksekutif kanan industri dan ahli majlis AICB, penganjuran edisi kelapan majlis itu mengukuhkan lagi peranan AICB dalam membina tenaga kerja perbankan yang berdaya tahan, beretika dan bersedia untuk masa hadapan, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau ini.