Kunci sinergi generasi dalam organisasi moden

Dua generasi yang paling dominan di tempat kerja hari ini ialah Generasi Y dan Generasi Z.

Poster Terkini (8)


DALAM landskap pekerjaan moden, dua generasi yang paling dominan di tempat kerja hari ini ialah Generasi Y (Gen Y) dan Generasi Z (Gen Z).

Walaupun kedua-duanya lahir dalam era digital dan dianggap celik teknologi, hakikatnya mereka memiliki gaya kerja, keutamaan komunikasi dan sikap terhadap tugasan yang berbeza.

Perbezaan ini jika tidak diurus dengan berkesan boleh menjadi punca salah faham, kerenggangan pasukan dan penurunan produktiviti.

Sebaliknya, jika digarap dengan baik, ia berpotensi menjadi aset utama dalam membina pasukan kerja yang dinamik, seimbang dan berprestasi tinggi.

Gen Y atau lebih dikenali sebagai Milenial, merangkumi individu yang lahir antara tahun 1981 hingga 1996. Mereka menghargai keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi, gemar bekerjasama dalam pasukan dan sering mencari makna atau impak dalam pekerjaan mereka.

Mereka juga lebih cenderung menghargai struktur organisasi, maklum balas yang membina serta gaya kepimpinan yang mesra tetapi jelas.

Sebaliknya, Gen Z yang lahir selepas tahun 1997, merupakan generasi yang membesar dalam dunia serba pantas dan teknologi tinggi. Mereka lebih gemar pendekatan kerja yang fleksibel, menggunakan pelbagai platform digital untuk komunikasi dan cenderung menyuarakan pendapat mereka secara terbuka, termasuk kepada pihak pengurusan.

Perbezaan ini mencetuskan cabaran dalam membina komunikasi berkesan dan penyelarasan kerja harian, terutama apabila nilai, harapan dan cara bekerja antara kedua-dua generasi tidak selari.

Menurut Kajian Global Gen Z dan Milenial oleh Deloitte (2023), walaupun Gen Y dan Gen Z berkongsi aspirasi terhadap keadilan sosial dan kesejahteraan mental, mereka mempunyai jangkaan berbeza terhadap pengurusan, maklum balas dan kaedah penyampaian tugasan.

Tanpa pemahaman silang generasi, ini boleh membawa kepada rasa tidak puas hati, salah tafsir dan penglibatan kerja yang rendah.

Dalam konteks organisasi, pembentukan sinergi antara Gen Y dan Gen Z amat penting bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan tugasan, pencapaian matlamat strategik dan suasana kerja yang kondusif.

Untuk itu, pendekatan pengurusan yang inklusif dan progresif perlu dilaksanakan. Kepimpinan organisasi perlu memainkan peranan dalam menyatukan kedua-dua generasi ini melalui komunikasi dua hala yang terbuka, penyusunan tugasan yang kolaboratif dan pengiktirafan terhadap kekuatan unik setiap generasi.

Nilai teras seperti integriti dan kualiti juga harus dijadikan panduan utama dalam pelaksanaan tugas. Integriti bukan sahaja merujuk kepada kejujuran dalam tindakan tetapi juga kepada ketekunan dan kesungguhan dalam melaksanakan tugasan tanpa pengawasan berlebihan.

Gen Y dan Gen Z, apabila diberi kepercayaan dan tanggungjawab yang jelas, mampu menunjukkan prestasi luar biasa. Dalam masa yang sama, kualiti pelaksanaan kerja menuntut kefahaman terhadap standard yang ditetapkan organisasi dan kesediaan untuk memperbaiki diri secara berterusan.

Apabila integriti dijadikan tunjang dan kualiti dijadikan sasaran, kedua-dua generasi ini dapat bergerak seiring mencapai objektif organisasi dengan lebih mantap.

Beberapa pendekatan boleh dilaksanakan bagi merapatkan jurang antara Gen Y dan Gen Z. Antaranya termasuklah pelaksanaan program mentor silang generasi, di mana Gen Y dapat berkongsi pengalaman serta kefahaman terhadap struktur organisasi, manakala Gen Z dapat membimbing rakan sekerja dalam aspek penggunaan teknologi dan aliran digital semasa.

Selain itu, sesi refleksi berkala juga boleh dianjurkan bagi memberi ruang kepada kakitangan berkongsi cabaran dan cadangan penambahbaikan secara terbuka.

Pihak pengurusan juga boleh mempertimbangkan sistem pengiktirafan yang meraikan pencapaian dalam pelbagai bentuk, sama ada kreativiti, inovasi teknologi atau kepimpinan berkesan supaya semua generasi merasa dihargai dan diberi peluang yang sama.

Komunikasi yang terbuka dan saling menghormati merupakan asas penting dalam menjayakan kerjasama ini. Gen Y perlu dilatih untuk bersikap terbuka terhadap idea baharu serta gaya pantas Gen Z, manakala Gen Z pula perlu diberi pendedahan tentang pentingnya struktur kerja, etika profesional dan kesabaran dalam membuat keputusan.

Pendidikan silang generasi seperti ini bukan sahaja memperkukuh kefahaman tetapi juga mewujudkan suasana kerja yang lebih harmoni dan produktif.

Kesimpulannya, sinergi antara Gen Y dan Gen Z bukan sesuatu yang berlaku secara automatik tetapi perlu dipupuk melalui usaha bersama yang berterusan.

Kepimpinan yang beretika, komunikasi yang inklusif, serta penerapan nilai integriti dan kualiti dalam setiap aspek kerja akan menjadi asas kepada kejayaan organisasi dalam era pelbagai generasi ini.

Apabila setiap individu dihargai atas kekuatannya dan diberi ruang untuk berkembang, maka organisasi akan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan dengan lebih mantap dan progresif.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.