Penyerapan budaya asing: Kekuatan atau simptom krisis identiti nasional?
Kita perlu memastikan bahawa dalam kita menyambut dunia luar, kita tidak hilang arah dan identiti sendiri.

MALAYSIA sememangnya terkenal sebagai sebuah negara yang kaya dengan pelbagai budaya. Daripada nasi lemak ke tosai, daripada tarian singa ke bazar Ramadan, sedikit sebanyak ia menunjukkan betapa masyarakat Malaysia terbuka menerima kelainan.
Namun, timbul persoalan lebih mendalam: Adakah keterbukaan ini mencerminkan kekuatan kita sebagai bangsa atau sebaliknya menandakan kekaburan identiti kebangsaan?
Persoalan ini semakin ketara terutamanya dalam kalangan generasi muda, yang kelihatan lebih mesra menyebut ‘oppa’ berbanding ‘abang’ dan lebih arif tentang budaya Korea berbanding sejarah negara sendiri.
Tsunami Budaya Korea
Dalam tempoh sedekad lalu, pengaruh budaya popular Korea Selatan atau dikenali sebagai ‘Gelombang Hallyu’ telah membanjiri Malaysia.
K-pop, drama Korea, makanan, fesyen dan produk penjagaan kulit Korea bukan sahaja popular, malah telah menjadi sebahagian daripada gaya hidup anak muda Malaysia.
Antara contoh ketara termasuk:
1. Pelajar sekolah dan mahasiswa memakai pakaian ala Korea yang oversized, berlapis dan berwarna pastel meniru idola seperti BTS, BLACKPINK atau NewJeans.
2. Kafe berkonsep Korea seperti Chun Yang Tea, K-Fry dan Seoul Garden sentiasa penuh dengan anak muda menikmati tteokbokki, bingsu atau ayam goreng Korea.
3. Di media sosial, semakin ramai menggunakan frasa Korea seperti ‘aigoo’, ‘saranghae’ atau emotikon seperti ‘ㅠㅠ’ serta menyertai cabaran tarian K-pop di TikTok.
Malah, semakin ramai yang meniru gaya sopan Korea seperti tunduk ketika mengucapkan terima kasih atau menggunakan gaya percakapan yang halus seperti dalam drama Korea.
Pengaruh Luar: Satu Tanda Globalisasi atau Kelemahan Identiti?
Ada yang berpendapat ini hanyalah kesan globalisasi, fenomena biasa di seluruh dunia. Namun, tahap penyerapan budaya asing di Malaysia, khususnya dari Korea Selatan, menimbulkan persoalan sejauh mana generasi muda menghargai budaya sendiri.
Prof. Madya Dr. Nor Faridah Abdul Manaf dari UIAM pernah menyatakan: “Masyarakat Malaysia sangat terbuka kepada budaya global tetapi keyakinan terhadap budaya sendiri semakin pudar. Kita mungkin membesarkan generasi yang kenal nama-nama ahli BTS, tetapi tidak tahu siapa Tunku Abdul Rahman.”
Peninggalan Penjajahan: Asal-Usul Pecahan Identiti
Sejarawan berpendapat bahawa struktur masyarakat pascakolonial memainkan peranan besar dalam hal ini. Polisi ‘pecah dan perintah’ oleh British yang memisahkan kaum dan pekerjaan menyebabkan masyarakat selepas merdeka gagal membentuk identiti kebangsaan yang kukuh.
Dr. Sharmani P. Gabriel dalam kajiannya menyebut: “Penjajahan bukan sekadar memisahkan kita secara fizikal, malah memecahkan kesedaran emosi dan psikologi untuk berkongsi naratif kebangsaan.”
Akibatnya, ramai anak muda lebih tertarik kepada budaya asing seperti Korea yang mempamerkan identiti nasional yang kuat dan konsisten dalam kandungan media mereka.
Pendidikan: Lemah dalam Membina Jati Diri
Sistem pendidikan negara juga wajar dikritik. Kurikulum yang terlalu menekankan hafalan, kurang pemikiran kritikal dan naratif sejarah yang sempit menyumbang kepada rasa terasing dalam kalangan pelajar. Penuh dengan kaedah hafalan tarikh-tarikh peristiwa sahaja.
Di Sabah, aktivis warisan Lai King Hang menegaskan bahawa ramai pelajar tidak mengetahui peranan sebenar Sabah dalam pembentukan Malaysia. “Kalau pelajar pun tak tahu kenapa Sabah masuk Malaysia, bagaimana mereka nak rasa bangga jadi rakyat Malaysia?”
Tambahan pula, subjek Pendidikan Moral yang diwajibkan kepada pelajar bukan Islam sering dikritik. Sekali lagi, kerana kaedah hafalan nilai-nilai yang tidak menggalakkan pemahaman mendalam tentang masyarakat dan negara.
Bahasa dan Dasar Budaya: Penyatuan atau Penghapusan?
Bahasa Melayu dijadikan bahasa perpaduan, namun dalam praktiknya, sesetengah kaum merasa terpinggir apabila bahasa ibunda mereka kurang diberi tempat.
Kajian terhadap papan iklan di Malaysia menunjukkan bahawa walaupun Bahasa Melayu digunakan secara meluas, kekurangan representasi bahasa lain melemahkan semangat masyarakat majmuk yang inklusif.
Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 pernah menekankan asimilasi kaum bukan Melayu ke dalam budaya Melayu. Namun, semasa era Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1990-an, pendekatan ini ditolak melalui gagasan Bangsa Malaysia yang menekankan identiti nasional bersama, bukan berdasarkan satu kaum sahaja.
Apa di Hadapan?
Penyerapan budaya asing bukanlah satu kelemahan mutlak. Ia menunjukkan keterbukaan dan fleksibiliti masyarakat tetapi apabila anak muda lebih fasih menggunakan bahasa Korea berbanding bahasa ibunda sendiri, ia menandakan kelemahan dalam pembentukan jati diri.
Langkah-langkah penting yang boleh diambil termasuk:
1. Pembaharuan pendidikan yang memberi ruang kepada naratif sejarah yang inklusif dan menarik.
2. Dasar media dan seni yang memupuk kebanggaan terhadap budaya tempatan tanpa menafikan keindahan budaya luar.
3. Penghasilan kandungan tempatan yang menarik minat anak muda, seiring dengan nilai moden dan identiti Malaysia.
Kita boleh makan tteokbokki, pakai hanbok dan dengar K-pop tetapi kita mesti tahu asal usul dan siapa diri kita sebagai orang Malaysia.
Budaya Malaysia yang menyerap pelbagai pengaruh adalah sesuatu yang unik dan membanggakan. Namun, kita perlu memastikan bahawa dalam kita menyambut dunia luar, kita tidak hilang arah dan identiti sendiri.
Cabaran utama bukan untuk menolak budaya asing tetapi untuk memperkuatkan jati diri agar generasi Malaysia akan datang tahu siapa mereka, dan bangga menjadi sebahagian daripada negara yang pelbagai tetapi bersatu.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.