Program Mobiliti Antarabangsa UniMAP angkat agenda SDG di Medan
Program itu bertujuan menggabungkan elemen pendidikan, teknologi TVET, khidmat komuniti dan pertukaran budaya.

PROGRAM Mobiliti Antarabangsa anjuran Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik (FKTEN), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperkukuh peranan universiti tempatan Malaysia dalam pendidikan serantau apabila seramai enam pensyarah dan 12 mahasiswa menyertai jelajah kemasyarakatan dan pendidikan di Medan, Indonesia bermula 15 sehingga 19 Mei 2025.
Program selama lima hari itu merangkumi lawatan rasmi akademik ke dua buah institusi pendidikan tinggi terkemuka di wilayah Sumatera Utara iaitu Universitas Harapan (UNHAR) pada dan Universitas Al-Azhar Medan (UNAZ), selain turut menjalankan aktiviti berdampak berbentuk kemasyarakatan bersama komuniti tempatan disekitar Medan.
Delegasi UniMAP disambut mesra oleh pengurusan bagai kedua-dua universiti tuan rumah, UNHAR dan UNAZ yang menyifatkan lawatan itu sebagai langkah penting untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dalam pendidikan tinggi serta membuka ruang kolaborasi penyelidikan rentas negara.
Ketua program, Prof. Madya Ir. Ts Dr. Razaidi Husin, Dekan FKTEN UniMAP berkata, program itu bertujuan menggabungkan elemen pendidikan, teknologi TVET, khidmat komuniti dan pertukaran budaya sebagai usaha menyokong agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi serta memupuk semangat ASEAN dalam kalangan pelajar.
Ini sejajar dengan semangat ASEAN semasa dimana Malaysia bertindak sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025.
Beliau juga berkata, “kita bukan hanya menyampaikan ilmu dan berkongsi teknologi tetapi juga membina jalinan hati dengan komuniti serta memperkukuh hubungan serantau selari dengan aspirasi ASEAN untuk mewujudkan masyarakat yang inklusif, harmoni dan berdaya saing.”
Mohd Farhan selaku Ketua Pelajar mewakili Persatuan Pelajar FKTEN menyifatkan pengalaman itu sebagai pendedahan berharga yang mengajar mereka bukan sahaja ilmu kejuruteraan, malah nilai empati dan semangat perpaduan serantau.
“Kami belajar bagaimana menjadi jurutera yang bukan sekadar mahir teknologi tetapi juga prihatin terhadap masyarakat dan persekitaran,” katanya.
Sesuai sasaran Sustainable Development Goal (SDG) dalam mencapat kelestarian alam, mahasiswa FKTEN dan UNAZ mengembleng tenaga dalam melaksanakan program penanaman pokok bakau di Desa Pasar Rawa.
Ketua Projek Jelajah Komuniti dan Pendidikan FKTEN, PM Ir Ts Dr Muzammil Bin Jusoh berkata, inisiatif ini bertujuan untuk membantu mengelakkan hakisan laut serta mampu memperkaya ekosistem fauna sekiranya kawasan paya dilestarikan sekaligus meningkatkan pendapatan komuniti setempat yang bergantung kepada hasil dari laut.
Dengan pelaksanaan program seumpama ini, UniMAP terus membuktikan komitmennya dalam melahirkan graduan global yang berpaksikan nilai serantau, sejajar dengan wawasan ASEAN 2025 untuk membina komuniti yang aman makmur dan berpadu.