Gunakan AI sebagai alat bantu pembelajaran, bukan jalan pintas
Apakah kita sedang melahirkan generasi yang cekap menggunakan mesin tetapi lumpuh dalam kemahiran hidup sebenar?

TUGASAN disiapkan dalam beberapa saat, bukan hasil pemikiran pelajar tetapi hasil salinan daripada teknologi kecerdasan buatan (AI).
Dalam keghairahan mendakap teknologi, kita terlupa bahawa pendidikan bukan sekadar mencari jawapan, tetapi membina insan. Apakah kita sedang melahirkan generasi yang cekap menggunakan mesin tetapi lumpuh dalam kemahiran hidup sebenar?
Kecanggihan teknologi AI semakin meluas dalam dunia pendidikan. AI seperti ChatGPT dan Copilot kini digunakan oleh pelajar untuk menyiapkan tugasan, mencari maklumat dan menulis laporan.
Walaupun ia berpotensi membantu pembelajaran, trend pelajar bergantung sepenuhnya kepada AI tanpa memahami kandungan yang dihasilkan semakin membimbangkan. Kebergantungan ini boleh menggagalkan pembentukan kemahiran insaniah yang penting dalam kehidupan dan kerjaya.
Salah satu isu utama ialah pelajar menggunakan AI bukan sebagai alat sokongan pembelajaran tetapi sebagai ‘mesin penyiap kerja’.
Mereka hanya memasukkan arahan atau soalan ke dalam AI, mendapatkan jawapan, dan seterusnya menyalin dan menampalnya ke dalam tugasan tanpa membuat sebarang penyesuaian atau pemahaman terhadap isi kandungan tersebut.
Sikap ini bukan sahaja mencerminkan kebergantungan melampau terhadap teknologi, malah menjejaskan proses pemikiran kritikal yang sepatutnya berkembang melalui aktiviti pembelajaran.
Apabila pelajar tidak berusaha memahami isi kandungan tugasan, mereka kehilangan peluang untuk belajar menganalisis, menilai dan menyusun maklumat dengan cara yang tersendiri.
Tugasan menjadi satu proses mekanikal semata-mata, bukan lagi sebagai satu proses pembelajaran yang membina kemahiran.
Lebih membimbangkan, sikap ini turut terbawa ke dalam kelas. Dalam sesi pembelajaran secara bersemuka atau dalam talian, pelajar dilihat gemar mendapatkan jawapan terus daripada AI bagi setiap soalan latihan atau aktiviti yang diberikan oleh pensyarah.
Ini menyebabkan mereka tidak lagi berfikir secara aktif, tidak berdiskusi bersama rakan sekelas dan kurang memberi perhatian terhadap penerangan guru.
Apabila pelajar hanya bergantung kepada AI untuk menjawab semua soalan, mereka terlepas peluang untuk membina kemahiran berfikir aras tinggi (HOTS) seperti menyelesaikan masalah, membuat keputusan dan menilai pelbagai sudut pandang.
Aktiviti kelas yang sepatutnya melibatkan interaksi dan pemikiran menjadi pasif dan tidak bermakna.
Dalam tugasan seperti laporan, slide presentation dan project proposal, penggunaan AI semakin ketara.
Pelajar hanya memasukkan arahan ringkas dan mendapatkan hasil dalam bentuk lengkap, kemudian menyerahkan hasil tersebut tanpa menyunting atau menyesuaikan mengikut kehendak tugasan atau pasukan.
Fenomena ini bukan sahaja menjejaskan proses pemahaman terhadap kandungan tetapi juga menghambat pembangunan kemahiran seperti pengambilan nota, meringkaskan maklumat dan kerja berpasukan.
Dalam konteks kerja berpasukan, AI telah menggantikan peranan interaksi antara ahli kumpulan. Pelajar tidak lagi berbincang, membahagikan tugas atau membuat keputusan bersama.
Sebaliknya, seorang ahli kumpulan boleh menyiapkan keseluruhan tugasan hanya dengan bantuan AI, lalu menyebabkan ahli lain tidak terlibat langsung. Ini amat merugikan dari sudut pembentukan kemahiran kepimpinan, komunikasi berkesan, dan rasa tanggungjawab.
Pendidik kini berdepan cabaran besar untuk memastikan nilai kemanusiaan kekal dalam pengajaran. Kemahiran insaniah seperti etika kerja, empati dan kepimpinan tidak boleh dibentuk dengan hanya bergantung kepada AI.
Oleh itu, pendidik perlu meninggalkan kaedah lama yang hanya mengejar hasil akhir. Mereka harus beralih kepada pendekatan yang lebih aktif dan reflektif, membimbing pelajar menggunakan AI secara beretika, dan menilai proses pembelajaran pelajar, bukan semata-mata produk akhir.
Perubahan ini menuntut anjakan minda dan keberanian untuk menyesuaikan diri dengan dunia teknologi yang terus berubah.
Kadangkala, untuk membina semula kemahiran asas yang terhakis akibat kebergantungan kepada AI, pelajar perlu kembali kepada kaedah tradisional dalam aspek tertentu.
Sebagai contoh, pelaksanaan tugasan bertulis tangan boleh menjadi satu langkah yang efektif. Dengan mewajibkan tugasan tertentu disiapkan secara tulisan tangan, pelajar akan dipaksa untuk membaca, memahami dan menulis semula isi kandungan dengan bahasa mereka sendiri.
Kaedah ini mampu mengurangkan sikap salin dan tampal tanpa berfikir serta melatih pelajar menyusun semula maklumat dalam bentuk yang difahami sendiri.
Di samping itu, ia juga membantu meningkatkan kemahiran penulisan dan fokus semasa menelaah bahan pembelajaran.
Pendekatan ini mungkin kelihatan lapuk, namun dalam konteks pendidikan hari ini, ia merupakan langkah ke belakang yang diperlukan untuk memastikan pelajar benar-benar belajar, bukan hanya menyiapkan kerja.
Mengatasi isu ini memerlukan pendekatan seimbang. AI tidak perlu dihapuskan sepenuhnya, tetapi perlu digunakan secara bertanggungjawab.
Pelajar wajar dididik untuk memanfaatkan AI sebagai pembantu, bukan penyelesai tugas mutlak. Guru pula boleh merancang penilaian yang berasaskan proses seperti pembentangan, perbincangan dan tugasan reflektif agar pelajar benar-benar memahami dan menguasai isi kandungan secara mendalam.
Tidak dinafikan masih terdapat segelintir pelajar yang menggunakan AI secara berhemah dan bertanggungjawab.
Namun, golongan ini semakin tenggelam dalam arus pelajar lain yang memilih jalan mudah. Tanpa usaha memupuk kesedaran dan membimbing penggunaan AI secara etikal, kita berisiko kehilangan pelajar yang benar-benar belajar.
AI ialah pencapaian teknologi hebat tetapi tanpa kawalan, ia boleh menjadi pisau bermata dua. Tugas kita bukan menolak kemajuan tetapi memastikan AI digunakan untuk memperkasa, bukan melemahkan.
Justeru, pendidik, pelajar dan institusi perlu berganding bahu agar kemahiran insaniah tidak terpinggir dalam era digital ini.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.