Menjaga warga emas bukan sekadar isu kekeluargaan
Penjagaan warga emas di Malaysia masih banyak bergantung kepada penjagaan informal iaitu apabila ahli keluarga, terutamanya anak-anak.

RAKYAT Malaysia kini semakin berdepan satu realiti yang sukar untuk diabaikan. Semakin ramai antara kita sedang memikul tanggungjawab menjaga ibu dan ayah yang uzur, dalam masa yang sama berusaha menyeimbangkan tuntutan kerjaya, kewangan dan kehidupan peribadi.
Situasi ini semakin ketara apabila negara sedang menuju ke arah status negara tua. Jumlah warga emas meningkat dengan pantas dan perubahan demografi ini memberi kesan besar bukan sahaja kepada sistem kesihatan dan kebajikan sosial tetapi juga kepada kesejahteraan isi rumah serta kestabilan ekonomi negara secara keseluruhan.
Apa yang tidak ramai sedar, penjagaan warga emas di Malaysia masih banyak bergantung kepada penjagaan informal iaitu apabila ahli keluarga, terutamanya anak-anak, menjaga ibu bapa yang semakin lemah tanpa bantuan profesional dan tanpa sebarang bayaran.
Kita melakukannya kerana tanggungjawab dan kasih sayang. Namun lama-kelamaan, tanggungjawab ini boleh membawa tekanan berat dari segi fizikal, mental dan kewangan.
Ramai penjaga kini bukan sahaja mengurus makan minum dan ubat-ubatan ibu bapa, malah terpaksa mengorbankan kerjaya dan kesihatan sendiri.
Ada yang terpaksa berhenti kerja, menangguh impian dan berdepan tekanan emosi serta beban kewangan yang berpanjangan. Di Malaysia, realiti ini semakin dirasai, walaupun belum banyak dikaji secara menyeluruh.
Situasi ini bukan lagi perkara asing. Ramai antara kita pernah melihat ahli keluarga yang mengambil cuti panjang untuk menjaga orang tua.
Ada yang berkongsi pengalaman di media sosial seperti menukar lampin, menunggu lama di hospital atau berjaga malam kerana ibu tidak boleh tidur.
Semua ini menuntut ketahanan fizikal dan emosi yang luar biasa. Jika ia berterusan tanpa intervensi, kesannya bukan sahaja dirasai di peringkat isi rumah, malah memberi tempias kepada ekonomi negara.
Bila ramai yang berhenti kerja atau mengurangkan waktu bekerja untuk menjaga ibu bapa, negara kehilangan tenaga kerja produktif. Apabila simpanan mereka habis untuk menampung kos penjagaan, mereka sendiri tiada jaminan masa depan.
Lebih membimbangkan, tekanan menjaga orang tua yang uzur boleh menjejaskan kesihatan penjaga itu sendiri. Tanpa kita sedar, penjaga yang keletihan dan tertekan ini akhirnya boleh menjadi individu yang turut memerlukan penjagaan.
Antara kesan yang bakal berlaku sekiranya isu ini terus diabaikan termasuklah kemerosotan kadar tenaga kerja, terutama dalam kalangan wanita yang sering menjadi penjaga utama.
Selain itu, perbelanjaan kesihatan akan meningkat bukan hanya kerana warga emas yang semakin uzur, tetapi juga penjaga yang keletihan dan tertekan.
Simpanan isi rumah juga semakin susut apabila kos rawatan dan penjagaan ditanggung sendiri. Jurang sosial turut melebar apabila hanya golongan mampu boleh membayar penjagaan profesional, sementara golongan lain terpaksa ‘berkorban apa sahaja’.
Apa yang boleh dilakukan
Sudah tiba masanya kita memandang isu ini dengan lebih serius. Penjagaan warga emas bukan lagi urusan peribadi keluarga semata-mata, tetapi satu isu sosial dan ekonomi yang memerlukan pendekatan bersepadu.
Antara langkah yang boleh dipertimbangkan termasuklah menyediakan sokongan kewangan kepada penjaga dalam bentuk elaun khas, potongan cukai atau bantuan kepada penjaga sepenuh masa.
Kita juga perlukan lebih banyak pusat jagaan harian yang mampu milik dan mesra komuniti, supaya penjaga boleh bekerja atau sekurang-kurangnya berehat seketika.
Pendidikan dan latihan kepada penjaga juga penting, agar mereka tahu cara penjagaan yang betul dan tidak mengabaikan kesihatan diri sendiri. Negara yang matang adalah negara yang menghargai dan menyokong penjaga, bukan membiarkan mereka berjuang dalam diam.
Majikan juga memainkan peranan yang penting. Tempat kerja perlu lebih fleksibel dan memahami keperluan penjaga, misalnya dengan menyediakan cuti khas, waktu kerja yang boleh diubah suai dan sokongan emosi. Ini sangat membantu terutamanya bagi mereka yang masih bekerja sepenuh masa sambil menjaga ahli keluarga yang uzur.
Sektor swasta dan NGO juga boleh digalakkan untuk sama-sama membina sistem sokongan melalui perkhidmatan penjagaan, bantuan komuniti atau aktiviti sokongan psikososial bagi penjaga.
Penjagaan warga emas bukan lagi sekadar isu kekeluargaan. Ia kini menjadi isu kemasyarakatan dan kebangsaan. Jika kita benar-benar mahu menjadi negara penyayang dan inklusif, maka ini antara cabaran terbesar yang perlu kita hadapi bersama.
Kita semua akan menua, dan sebelum tiba ke tahap itu, mungkin kita akan menjadi penjaga terlebih dahulu. Jika tiada tindakan dimulakan hari ini, generasi akan datang bakal mewarisi beban yang lebih besar.
Sudah tiba masanya kita berbincang secara terbuka. Mulakan dari rumah dengan berbincang bersama ahli keluarga. Luaskan perbincangan ke tempat kerja dan suarakan keperluan penjaga.
Sokong rakan-rakan yang sedang memikul tugas ini kerana apabila penjaga diberi ruang untuk bernafas, barulah mereka mampu terus memberi dengan ikhlas dan dalam keadaan yang lebih kuat serta berdaya tahan.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.