Ancaman dadah berubah, bagaimana dengan dasar kita?

Ancaman dadah menuntut pendekatan menyeluruh melibatkan penguatkuasaan, rawatan, pemulihan, keselamatan sempadan dan penilaian semula dasar negara.

Feature Image (1)

PADA 3 November 2026, isu penyeludupan dadah dan barangan terlarang melalui pintu masuk negara sekali lagi mendapat perhatian Dewan Rakyat. Ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Arau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan bahawa kaedah penyeludupan semakin canggih dan memerlukan teknologi pengesanan yang lebih berkesan.

Perbincangan tersebut turut menyentuh aspek keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Subang dan penyelarasan antara agensi penguatkuasaan.

Enam belas hari kemudian, Dewan Rakyat kembali membincangkan masalah dadah. Kali ini, tumpuan diberikan kepada bilangan banduan yang menjalani hukuman bagi kesalahan berkaitan dadah serta keperluan memperkukuh pendekatan rawatan dan pemulihan.

Kedua-dua perbincangan ini memperlihatkan bahawa masalah dadah tidak boleh ditangani sebagai persoalan jenayah atau penagihan semata-mata. Ia turut melibatkan kesihatan rakyat, kesejahteraan keluarga, pembangunan modal insan dan keupayaan negara mempertahankan keselamatan sempadannya.

Persoalannya, sejauh manakah pendekatan yang digunakan oleh Malaysia hari ini sepadan dengan sifat dan keseriusan ancaman dadah yang semakin berubah?

Memahami skala masalah

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, dalam kenyataan yang dilaporkan pada 29 Mac 2026, sebanyak 73,340 kes berkaitan bekalan dan pemilikan dadah direkodkan pada 2023. Jumlah ini meningkat kepada 81,090 kes pada 2024 dan 87,645 kes pada 2025.

Bilangan tangkapan juga meningkat daripada 94,799 pada 2023 kepada 102,201 pada 2024, sebelum mencapai 109,230 pada 2025.

Perkembangan penguatkuasaan tersebut berterusan sepanjang 2026. Pada 21 Oktober lalu, JSJN melaporkan rampasan dadah dan racun bernilai RM2.85 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2026.

Angka-angka ini menunjukkan besarnya kegiatan penguatkuasaan yang perlu dilaksanakan oleh pihak berkuasa.

Namun, peningkatan tangkapan dan rampasan tidak semestinya membuktikan bahawa ancaman dadah semakin meningkat. Ia juga boleh mencerminkan keberkesanan risikan dan operasi penguatkuasaan. Oleh itu, statistik tersebut perlu dibaca secara berhati-hati.

Kita bukan sahaja perlu mengetahui berapa banyak dadah dirampas atau berapa ramai individu ditangkap, tetapi juga memikirkan sama ada tindakan yang diambil ini berjaya mengurangkan ancaman dan kemudaratan yang dihadapi.

Perubahan landskap dadah sintetik

Malaysia turut berhadapan dengan perubahan ketara dalam jenis dadah yang direkodkan. Menurut Maklumat Dadah 2024 yang diterbitkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), seramai 104,122 individu dikaitkan dengan dadah jenis perangsang amfetamin (ATS) pada 2023. Jumlah itu meningkat kepada 139,909 pada 2024, mewakili kira-kira 72.5 peratus daripada keseluruhan 192,857 individu yang direkodkan pada tahun tersebut.

Dominasi ATS, khususnya metamfetamin atau syabu, menunjukkan bahawa cabaran berkaitan dadah sintetik memerlukan perhatian khusus. Ini tidak bermakna dadah jenis lain tidak lagi menjadi masalah. Sebaliknya, pendekatan penguatkuasaan dan rawatan perlu mengambil kira perbezaan antara jenis dadah.

Kegiatan pengeluaran dadah sintetik juga memperlihatkan kemampuan sindiket menjalankan operasi berskala besar. Pada 15 Ogos 2026, PDRM membongkar sebuah makmal haram di Puncak Alam, Selangor, menerusi Op Eumenes. Menurut kenyataan PDRM pada 9 September 2026, operasi tersebut membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah sintetik, termasuk MDMA, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM2.4 bilion.

Berbeza daripada dadah yang bergantung kepada sumber tanaman, pengeluaran dadah sintetik melibatkan penggunaan bahan kimia tertentu dan kemudahan pemprosesan. Rangkaian pembekalan bahan serta pengedarannya juga boleh merentasi sempadan negara.

Keadaan ini menuntut penguatkuasaan yang lebih berselaras. Selain risikan dan operasi polis, kawalan terhadap penyeludupan bahan kimia, transaksi kewangan dan rangkaian jenayah rentas negara juga perlu diberikan perhatian.

Kesihatan dan kesejahteraan masyarakat

Walau bagaimanapun, melihat masalah dadah melalui aspek jenayah dan penguatkuasaan sahaja akan memberikan gambaran yang tidak lengkap.

Penyalahgunaan dan penagihan dadah boleh menjejaskan kesihatan fizikal dan mental seseorang. Kesannya juga boleh melibatkan keluarga yang terpaksa menanggung tekanan emosi, kewangan dan tanggungjawab penjagaan.

Perkara ini dapat dilihat melalui dapatan satu kajian yang melibatkan 120 pesakit dengan gangguan penggunaan metamfetamin dan 120 penjaga keluarga di Lembah Klang yang diterbitkan dalam jurnal Scientific Reports pada 2026. Kajian ini mendapati bahawa 84.2 peratus penjaga yang terlibat melaporkan beban penjagaan pada pelbagai tahap.

Walaupun dapatan ini tidak mewakili keseluruhan keluarga di Malaysia, ia menunjukkan bahawa kesan kebergantungan dadah boleh melangkaui individu yang menggunakannya.

Dalam hal ini, pendekatan terhadap pengedar yang terlibat dalam jenayah terancang tidak sewajarnya disamakan dengan pendekatan terhadap individu yang mengalami kebergantungan dan memerlukan rawatan.

Persoalan tentang hukuman juga wajar diberikan perhatian

Pada 19 November 2026, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa seramai 64,356 banduan sabitan berkaitan dadah berada di penjara. Jumlah itu mewakili 67.9 peratus daripada keseluruhan 94,780 banduan sabitan yang dilaporkan.

Angka ini menimbulkan persoalan tentang keberkesanan bentuk hukuman yang digunakan. Sejauh manakah hukuman yang diperuntukkan mampu mencegah masyarakat daripada terlibat dalam kegiatan dadah? Adakah hukuman tersebut juga berkesan menghalang pesalah daripada mengulangi kesalahan?

Penyelidikan mengenai pencegahan jenayah menunjukkan bahawa berat hukuman yang dikenakan bukan satu-satunya faktor yang mempengaruhi tingkah laku pesalah. Kebarangkalian mereka dikesan dan dikenakan tindakan undang-undang juga perlu diambil kira.

Bagi individu yang mengalami kebergantungan pula, kerajaan perlu menilai sejauh mana rawatan dan pemulihan yang digunakan membantu mereka kembali menjalani kehidupan yang stabil.

Satu kajian di Malaysia mengenai keberkesanan program rawatan metadon (MyTOS) yang diterbitkan pada 2018 menunjukkan peningkatan dalam beberapa aspek kualiti hidup serta pengurangan penggunaan opioid dalam kalangan peserta yang dianalisis.

Namun, kaedah rawatan bagi kebergantungan opioid yang digunakan ini tidak semestinya sesuai untuk gangguan penggunaan dadah perangsang seperti syabu.

Justeru, perubahan pola penggunaan dadah turut menuntut penilaian terhadap kesesuaian dan keberkesanan program rawatan negara.

Melindungi modal insan negara

Masalah dadah juga mempunyai hubungan dengan pembangunan modal insan, khususnya apabila sebahagian besar individu yang direkodkan oleh AADK terdiri daripada golongan muda dan usia bekerja.

Satu kajian nasional yang diterbitkan pada 2022 menganggarkan bahawa 3.5 peratus belia Malaysia berumur 15 hingga 40 tahun telah menggunakan dadah dalam tempoh 30 hari sebelum tinjauan dijalankan. Kajian tersebut menggunakan data yang dikumpulkan antara Januari 2020 hingga Julai 2021.

Walaupun angka ini bukan anggaran terkini bagi 2026, ia menunjukkan kepentingan memberikan perhatian kepada masalah penggunaan dadah dalam kalangan golongan yang sedang mengikuti pendidikan, membina kerjaya dan membentuk keluarga.

Pada masa yang sama, Malaysia sedang melalui perubahan demografi. Menurut Anggaran Penduduk Semasa 2026 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, peratusan penduduk berusia 65 tahun ke atas meningkat daripada 8.0 peratus pada 2025 kepada 8.4 peratus pada 2026.

Dalam keadaan negara semakin menua, usaha melindungi kesihatan dan keupayaan bekerja rakyat menjadi semakin penting.

Kebergantungan dadah yang tidak dirawat boleh menjejaskan pekerjaan, pendapatan dan kestabilan kehidupan seseorang. Namun, kita masih memerlukan penyelidikan yang lebih terperinci untuk menentukan besarnya kesan tersebut terhadap produktiviti negara.

Apa yang penting, rawatan dan pemulihan perlu dilihat bukan sahaja sebagai usaha menjaga kesihatan individu, tetapi juga sebagai peluang membantu mereka kembali menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan ekonomi.

Keselamatan sempadan dan ketahanan negara

Dari sudut keselamatan negara, ancaman dadah turut melibatkan kegiatan jenayah terancang rentas sempadan. Sindiket-sindiket dadah ini boleh mengeksploitasi laluan penerbangan, perdagangan dan pintu masuk negara untuk menjalankan kegiatan penyeludupan mereka.

Kepentingan penjagaan keselamatan sempadan menjadi semakin jelas melalui perkembangan yang berlaku di KLIA baru-baru ini. Menurut kenyataan JSJN Bukit Aman yang dilaporkan pada 1 Ogos 2026, sebanyak 108 kes berkaitan dadah dikesan di lapangan terbang tersebut sepanjang Januari hingga Julai 2026, berbanding 54 kes dalam tempoh yang sama pada 2025. Bilangan tangkapan pula meningkat daripada 57 kepada 121 orang.

Pada Julai 2026, penahanan seorang juruterbang Malaysia di Indonesia atas dakwaan penyeludupan dadah turut menimbulkan persoalan tentang keberkesanan pemeriksaan keselamatan. Pada 3 Ogos 2026, Ketua Pengarah AKPS mengesahkan bahawa individu berkenaan telah melalui pemeriksaan keselamatan di KLIA sebelum berlepas ke Indonesia.

Kes ini tidak semestinya membuktikan kegagalan keseluruhan sistem keselamatan atau penglibatan kakitangan lapangan terbang. Namun, ia menunjukkan pentingnya menilai sama ada prosedur pemeriksaan dan teknologi pengesanan masih berkesan dalam menghadapi taktik penyeludupan yang kian berubah.

Dalam hal ini, kerajaan telah mengambil beberapa langkah susulan. Pada 20 Ogos 2026, Jemaah Menteri meluluskan 17 syor penambahbaikan keselamatan di KLIA dan pintu masuk antarabangsa negara.

Langkah yang diambil ini perlu diiktiraf. Namun, pelaksanaannya juga perlu dinilai. Persoalannya bukan sekadar sama ada prosedur baharu telah diperkenalkan, tetapi sejauh mana ia benar-benar meningkatkan keupayaan negara mengesan dan mencegah penyeludupan.

Kepercayaan masyarakat terhadap institusi keselamatan juga penting. Keyakinan tersebut perlu dipelihara melalui tindakan yang berkesan, penyiasatan yang telus dan kesediaan pihak berkuasa menjelaskan langkah pembetulan yang dilaksanakan.

Dalam konteks ini, keselamatan negara bukan sahaja berkaitan keupayaan mengawal sempadan. Ia juga melibatkan kekuatan institusi, kesiapsiagaan menghadapi ancaman dan keselamatan insan, iaitu perlindungan terhadap kehidupan serta kesejahteraan rakyat.

Menilai semula keberkesanan dasar

Sejak dadah diisytiharkan sebagai Musuh Nombor Satu Negara pada 19 Februari 1983, Malaysia telah melaksanakan pelbagai langkah untuk membanteras ancaman tersebut. Usaha ini merangkumi penguatkuasaan undang-undang, pencegahan, rawatan dan pemulihan.

Kerajaan juga telah mengambil langkah untuk menyesuaikan pendekatannya dengan perkembangan semasa. Antaranya ialah pindaan kepada Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283) yang berkuat kuasa pada 22 Ogos 2025. Pada November 2026 pula, kerajaan menyatakan kesediaan meneliti cadangan mengkaji semula Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi memperkukuh pendekatan rawatan dan pemulihan.

Namun, setelah lebih empat dekad usaha membanteras dadah dilaksanakan, sudah tiba masanya kita memberikan perhatian yang lebih besar kepada hasil yang dicapai.

Penilaian keberkesanan dasar tidak boleh bergantung pada jumlah tangkapan, rampasan dan hukuman semata-mata. Kita juga perlu mengetahui sejauh mana kegiatan pengedaran dapat dikurangkan, kesalahan dapat dicegah, individu yang menjalani rawatan berjaya dipulihkan dan keselamatan sempadan dapat diperkukuh.

Penilaian ini juga perlu mengambil kira aspek kesihatan rakyat, kesejahteraan keluarga, pembangunan modal insan serta keyakinan masyarakat terhadap institusi negara. Kesemua aspek ini penting memandangkan kesan masalah dadah tidak terbatas kepada persoalan jenayah dan penagihan sahaja.

Justeru, penilaian semula Dasar Dadah Negara secara menyeluruh dan berdasarkan bukti wajar diberikan perhatian. Melalui penilaian ini, kerajaan dapat mengenal pasti pendekatan yang masih berkesan, kelemahan yang perlu diperbaiki serta pembaharuan yang diperlukan dalam menghadapi perubahan ancaman dadah.

Akhirnya, kejayaan dasar negara dalam menangani masalah dadah perlu dilihat daripada sejauh mana dasar tersebut mampu menjadikan Malaysia lebih selamat, rakyatnya lebih sejahtera dan negara lebih bersedia menghadapi ancaman pada masa hadapan.