Menelusuri hikmah dasar ekonomi Islam dalam surah al-Kahfi
Al-Quran menegaskan bahawa para rasul diutus bersama kitab dan neraca keadilan ‘agar manusia menegakkan keadilan’ .

SETIAP hari Jumaat, umat Islam di seluruh dunia dianjurkan membaca surah al-Kahfi sebagai benteng kekuatan rohani dan perlindungan akidah. Namun di sebalik fungsinya yang bersifat spiritual, surah ini sebenarnya mengandungi kerangka nilai yang sangat signifikan untuk pembinaan dasar ekonomi dan tadbir urus awam.
Al-Quran menegaskan bahawa para rasul diutus bersama kitab dan neraca keadilan ‘agar manusia menegakkan keadilan’ sebagaimana disebut dalam surah al-Hadid ayat 25. Ini menunjukkan bahawa keadilan bukan sekadar tuntutan moral peribadi tetapi asas kepada sistem sosial dan ekonomi menurut Islam.
Antara episod paling penting dalam surah al-Kahfi ialah kisah pertemuan Nabi Musa AS dengan Nabi Khidr AS, yang memperlihatkan dialog antara ilmu hukum yang bersifat zahir dengan hikmah pengurusan maslahat yang mendalam. Tiga peristiwa utama yang berlaku iaitu melubangkan perahu, membunuh seorang anak dan membaiki tembok tanpa meminta upah. Pada pandangan awal tampak bercanggah dengan keadilan dan logik moral biasa.
Namun Hakikatnya, setiap tindakan tersebut mencerminkan prinsip teras ekonomi Islam yang berasaskan pencegahan kemudaratan, keadilan distributif dan pemeliharaan kepentingan awam, sebagaimana ditekankan dalam kerangka maqasid al-shariah oleh para sarjana seperti Ibn ‘Ashur.
Peristiwa pertama melibatkan tindakan Nabi Khidr melubangkan perahu milik sekumpulan nelayan miskin. Nabi Musa segera mempersoalkan perbuatan tersebut kerana ia kelihatan seperti merosakkan harta orang yang tidak bersalah.
Namun penjelasan Khidr kemudian membongkar hikmah di sebaliknya, perahu itu akan dirampas oleh seorang raja zalim sekiranya ia kekal dalam keadaan sempurna, sebagaimana dirakamkan dalam Surah al-Kahfi ayat 79. Kerosakan kecil itu sebenarnya menjadi strategi untuk menyelamatkan sumber rezeki golongan miskin.
Prinsip ini sejajar dengan kaedah syariah yang menegaskan bahawa pencegahan kerosakan perlu didahulukan daripada meraih manfaat. Dalam konteks ekonomi moden, pendekatan ini menyerupai intervensi kerajaan untuk melindungi golongan rentan, seperti penguatkuasaan undang-undang antimonopoli, pencegahan pencatutan dan perlindungan pengguna. Al-Quran sendiri melarang keras kezaliman ekonomi apabila menyebut, “Dan janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan cara yang batil.” (Surah al-Baqarah, 2:188).
Rasulullah SAW turut menegaskan prinsip keadilan pasaran apabila bersabda, “Sesiapa yang menipu, maka dia bukan daripada kalangan kami.” (Riwayat Muslim). Ini menggambarkan bahawa pasaran yang dibiarkan tanpa kawalan moral dan institusi berisiko menindas golongan lemah, sesuatu yang ditolak oleh ekonomi Islam.
Peristiwa kedua pula memaparkan tindakan Nabi Khidr membunuh seorang anak kecil, yang menimbulkan kejutan moral kepada Nabi Musa. Namun Khidr menjelaskan bahawa sekiranya anak itu dibiarkan hidup, ia akan menjerumuskan ibu bapanya yang soleh ke dalam kerosakan dan penderitaan yang lebih besar, lalu Allah SWT menggantikannya dengan anak lain yang lebih baik (Surah al-Kahfi, 18:80–81).
Episod ini mencerminkan pendekatan ekonomi Islam yang menekankan pengurusan risiko dan pencegahan kemudaratan jangka panjang. Al-Quran mengingatkan, “Dan janganlah kamu menjatuhkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” (Surah al-Baqarah, 2:195), satu prinsip yang relevan dalam penggubalan dasar ekonomi seperti kawalan hutang isi rumah, pengharaman riba, pengawasan institusi kewangan dan pencegahan krisis sistemik.
Rasulullah SAW sendiri sering memohon perlindungan daripada beban hutang kerana hutang yang tidak terkawal boleh merosakkan kestabilan keluarga dan masyarakat. Ini menunjukkan bahawa keputusan yang tidak popular pada peringkat awal kadangkala perlu diambil demi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar pada masa hadapan.
Peristiwa ketiga memperlihatkan Nabi Khidr membaiki sebuah tembok yang hampir runtuh tanpa menuntut sebarang upah. Di bawah tembok itu tersimpan harta milik dua anak yatim dan Khidr bertindak memastikan harta tersebut kekal selamat sehingga mereka dewasa, sebagaimana dijelaskan dalam Surah al-Kahfi ayat 82.
Episod ini menggambarkan prinsip tadbir urus aset berasaskan amanah dan keadilan antara generasi. Al-Quran memberi amaran keras terhadap pengkhianatan harta anak yatim apabila menyebut bahawa mereka yang memakannya secara zalim sebenarnya menelan api ke dalam perut mereka (Surah al-Nisa’, 4:10)
Prinsip ini menjadi asas kepada pengurusan zakat, wakaf dan baitulmal, yang menuntut ketelusan, integriti penjawat awam dan pengurusan aset sosial yang berkesan. Tembok yang ditegakkan Khidr boleh dilihat sebagai simbol kepada infrastruktur sosial negara seperti pendidikan, kesihatan, perumahan mampu milik, keselamatan makanan dan infrastruktur digital, yang perlu dipelihara demi kesejahteraan generasi akan datang dan tidak boleh dikorbankan demi keuntungan jangka pendek.
Keseluruhannya, kisah Nabi Musa dan Nabi Khidr adalah satu naratif strategik mengenai tadbir urus, keadilan dan pembangunan manusia secara holistik. Surah al-Kahfi mengingatkan para pembuat dasar bahawa tidak semua keputusan ekonomi boleh dinilai melalui angka dan pulangan jangka pendek semata-mata. Perlindungan golongan rentan mesti menjadi teras kepada setiap dasar negara, manakala aset sosial perlu diurus sebagai amanah yang berpanjangan.
Dalam dunia yang semakin berdepan ketidaktentuan ekonomi global, Surah al-Kahfi membawa peringatan mendalam bahawa ekonomi menurut Islam bukan sekadar sistem pengagihan sumber tetapi satu amanah ilahi yang menuntut hikmah, keadilan dan keberanian membuat keputusan yang berpihak kepada mereka yang paling memerlukan.

