Najib dipenjara 15 tahun, denda RM11.4 bilion

Mahkamah Tinggi Putrajaya menjatuhkan hukuman itu selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Feature Image (3)

PUTRAJAYA, 26 Disember 2025 – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Keputusan itu disampaikan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang sebelum ini mempengerusikan perbicaraan 1MDB di Mahkamah Tinggi sebelum dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan dan denda RM11.4 bilion atau dipenjara 40 tahun jika gagal membayarnya, manakala bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib dijatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan, namun tiada sebarang denda dikenakan.

Bekas perdana menteri berusia 72 tahun itu bagaimanapun hanya akan menjalani hukuman penjara 15 tahun kerana hakim memerintahkan semua hukuman penjara itu dijalankan secara serentak.

Hakim juga memutuskan bahawa hukuman itu hanya akan berkuat kuasa selepas Najib menamatkan tempoh penjara enam tahun bagi kes SRC International Sdn Bhd yang melibatkan penyalahgunaan RM42 juta, yang akan berakhir pada 23 Ogos 2028.

Hakim Sequerah menjatuhkan hukuman selepas mengambil kira faktor-faktor mitigasi yang dikemukakan pihak pembelaan, pendakwaan, tertuduh sendiri serta kepentingan awam.

“Saya juga telah mempertimbangkan dan mengambil kira latar belakang tertuduh, termasuk fakta dan tempoh perkhidmatan awam beliau serta faktor mitigasi lain yang dikemukakan berkaitan peruntukan hukuman di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Saya mendapati bahawa frasa ‘apabila disabitkan boleh dikenakan’, hendaklah ditafsirkan sebagai menjatuhkan hukuman penjara dan juga denda,” kata hakim.

Hakim Sequerah turut menyatakan bahawa semua hukuman penjara bagi 25 pertuduhan dijalankan serentak. Namun begitu, mengikut Seksyen 292 Kanun Prosedur Jenayah, hukuman ini hanya akan bermula selepas tertuduh menamatkan tempoh penjara yang dijatuhkan sebelum ini iaitu hukuman dalam kes SRC International.

Hakim Sequerah juga memerintahkan Najib membayar jumlah yang boleh dipulihkan sebanyak RM2,081,476,926 di bawah Seksyen 55(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan jika gagal, beliau akan berdepan penjara tambahan selama 270 bulan.

Prosiding hari ini bermula pada 9.15 pagi dan berakhir pada 9 malam itu berlangsung selama 11 jam 45 minit dengan satu hari yang penuh dengan hujahan, perbincangan dan pertimbangan di mahkamah.

Najib yang mengenakan sut biru, kelihatan tenang sepanjang prosiding. Turut hadir ialah ahli keluarga dan penyokongnya. – Bernama