Jangan peduli dan terus menonton, nasihat kepada diri sendiri
Seseorang individu itu mempunyai pendirian atau kemampuan untuk menidakkan kata-kata yang bakal mempengaruhi tontonan.

BARU-BARU ini, penulis berkesempatan untuk bertemu rakan-rakan di sebuah warung kopi di pinggir bandar. Banyak perkara yang diperbualkan memandangkan sudah agak lama tidak bersua muka maka berderet-deretlah tajuk silih berganti dan setiap satunya hadir rancak diperbahaskan.
Sedang asyik duduk berbual, terlirik pemandangan ke arah sebuah peti televisyen berhampiran yang sedang menayangkan drama tempatan.
Penulis bersama rakan beralih tumpuan seketika kerana babak yang tersiar yang menarik perhatian. Tidak lama daripada itu, tercetuslah dialog salah seorang rakan yang berbunyi ‘cerita ni aku dah tengok, tak best pun’. Kata-kata itu terus merentap perhatian yang lain daripada meneruskan tontonan dan kembali pada perbualan yang terhenti tadi.
Begitulah penghakiman yang dilontarkan yang membuatkan penulis tertanya di dalam hati tentang sebab lahirnya tanggapan sebegitu sehinggakan berjaya menamatkan perhatian yang lain daripada terus menonton.
Dalam hal ini, mungkin situasi di atas tidak timbul sekiranya seseorang individu itu mempunyai pendirian atau kemampuan untuk menidakkan kata-kata yang bakal mempengaruhi tontonan. Dengan kata lain, minat dan pandangan manusia adalah tidak seragam. Antara individu dengan individu yang lain sudah pasti mempunyai tahap pemahaman berbeza walaupun membicarakan pokok perbincangan yang sama.
Disokong pula dengan sebab menonton yang berbeza seperti mengisi masa lapang atau kerana minat tersendiri terhadap sesuatu genre. Begitu juga dengan suasana tontonan seperti terdapat gangguan penumpuan, dalam keadaan letih atau suasana tertentu yang mempengaruhi kualiti tontonan.
Persoalannya, perlukah kita sebagai individu yang berkeinginan menonton buat kali pertama terus menerima pandangan atau kritikan individu lain sebelum menonton? Tanpa menafikan bahawa mendapatkan pandangan itu perlu sebelum menonton namun penilaian haruslah berlandaskan aspek kriteria tertentu dan bukannya secara kesimpulan pendek. Maka dalam menerima pandangan, bakal penonton juga harus mempunyai ungkapan sendiri tanpa mendahului pengalaman menonton.
Tidak terlalu ambil peduli apa yang orang kata pada kandungan yang ditonton adalah satu langkah terbaik dalam memulakan pemilihan rancangan. Setiap rancangan yang hendak ditonton sebolehnya tidak perlu terlalu dipengaruhi dengan pendapat pihak lain dalam mewajarkan tontonan.
Individu seharusnya membuat pemilihan sendiri berdasarkan minat dan keperluan berbanding mendengar tanggapan daripada pihak lain yang boleh menyebabkan individu tersebut hilang minat untuk meneruskan menonton.
Dengan penyampaian yang mudah, membuat pilihan untuk menonton adalah seperti proses membuat keputusan dalam kehidupan seharian. Individu harus tahu membezakan antara keputusan yang diambil berdasarkan kemahuan diri dan tanggapan orang lain terhadap keputusan yang dilakukan.
Pertentangan ini seharusnya tidak diambil peduli kerana individu harus memastikan bahawa keputusan yang dibuat adalah atas sebab berlandaskan sesuatu kepentingan dan bukannya kewajaran dari pihak lain.
Di sisi lain, pemilihan kandungan rancangan yang hendak ditonton haruslah berdasarkan penilaian pengalaman sendiri. Seseorang individu sudah pasti mempunyai pengalaman menonton tersendiri. Seperti contoh, apabila seseorang individu yang gemar menonton filem maka individu tersebut dengan mudah mampu membuat jangkaan awal terhadap sesuatu filem baharu yang bakal menjengah dipawagam.
Jangkaan awal yang selalunya mendasari pengalaman sebelum ini kebiasaannya seperti barisan pelakon yang biasa terlibat, nama pengarah atau produksi filem yang tidak asing dalam dunia perfileman.
Dengan hanya berpandukan pengalaman ini, individu berkemampuan untuk membuat jangkaan samada filem baharu tersebut mampu untuk menarik minat dalam menawarkah naskah kreatif yang bermutu dan sesuai dengan selera tontonan mereka.
Hal ini terjadi dengan alasan bahawa berdasarkan kebolehan pengarah tersebut atau barisan pelakon yang membintangi filem sebelum ini, filem baharu juga turut dijangka menawarkan hasil yang setanding dan melepasi jangkaan serta berpotensi untuk memberikan naratif yang lebih baik kepada penonton.
Suka atau tidak sesuatu rancangan ditelevisyen bukanlah sesuatu yang baharu diperkatakan dalam kalangan penonton. Terdapat banyak perkongsian yang lahir di media sosial yang turut membincangkan tentang kualiti sesebuah rancangan yang disajikan.
Ini adalah perkara normal yang sering berlaku apabila penonton secara terbuka menyatakan pandangan peribadi atas justifikasi yang menurut firasat mereka adalah betul dalam konteks perbicaraannya.
Secara moleknya, perdebatan ini tidak harus berlangsung secara terbuka tanpa fakta sokongan yang nyata kerana kemungkinan individu melontarkan idea secara tidak adil atau tidak diletakkan ditempat yang betul.
Wajar atau tidak sesebuah istilah yang dilontarkan pada sesuatu rancangan adalah tertumpu pada niat dan matlamat. Pelabelan terhadap sesuatu rancangan sepatutnya menjadi sesuatu yang berguna dan mempunyai tujuan serta tanggungjawab yang terarah demi menjamin kelangsungannya.
Penggunaan istilah seperti ‘tak best’ pada sesuatu rancangan adalah perkara terakhir yang dialu-alukan. Ulasan boleh dilakukan pada kadarnya hanya untuk berkongsi dan bukan untuk menghukum bakal penonton. Dengan kata lain, perlu ditangani dengan cermat dan berhemah.
Sebaiknya penonton perbaiki gaya tontonan sendiri sebelum tanggapan dilontarkan dan bukan kepada kritikan pada rancangan tersebut semata secara terburu-buru. Penonton seharusnya tidak terus berasa selesa dengan satu-satu genre rancangan atau sukar untuk menerima kelemahan yang ada.
Lebih-lebih lagi dalam menimba pengalaman tontonan, individu harus keluar daripada zon selesa dengan mempelbagaikan lagi corak rancangan walaupun tidak berdasarkan minat dengan format persembahan pada awalnya.
Seperti contoh, rancangan yang memperkasakan ilmu pengetahuan seperti dokumentari. Mungkin pada sifat penyampaiannya yang kemas dengan suapan maklumat dirasakan agak berat namun natijahnya pengisian yang mengungkap pengetahuan harus diungkap secara matang dan tertib. Matang dan tertib dalam memberikan pengalaman dan bukannya cita rasa.
Seterusnya, jika seseorang itu merupakan peminat atau penyokong setia filem tempatan misalnya, maka individu tersebut selalunya akan menghargai setiap filem yang dihasilkan.
Sikap menghargai naskah seni dengan menyokong penerbitannya adalah suatu langkah terpuji. Antara cara terbaik untuk menghargai filem adalah melalui tindakan sokongan peribadi dengan keluar menonton dipawagam.
Begitu juga keadaannya jika membicarakan tentang rancangan di televisyen. Sokongan diberikan melalui tontonan secara tetap atau mengikuti di setiap episod, melanggan saluran tertentu dan menyokong rancangan seterusnya sebagai tanda peminat setia. Jangan mamatikan langkah dengan hanya satu atau dua pengalaman yang tidak sepertimana diharapkan.
Jika ia menepati cita rasa maka berkatalah sesuatu yang positif jika sebaliknya, jadikan ia suatu pengalaman seperti mana kehidupan realiti iaitu tidak semua memenuhi jangkaan yang diharapkan. Menilai berdasarkan pengalaman dan paling mudah ambil yang positif dan asingkan yang negatif. Teruskan menonton untuk merasai segala kemungkinan dan berdepan dengan segala kepelbagaian.
Tanamkan difikiran bahawa cita rasa adalah kepelbagaian dalam karya seni dan tidak semua bakal memenuhi harapan yang disandar. Paling pasti, menonton mampu membuka sempadan pemahaman dalam menimba pengalaman serta menjelajah ke dunia lain yang penuh kelainan.

