Kuasa itu amanah, bukan kebanggaan

Kuasa bukan sekadar kedudukan tetapi ujian yang menuntut pertanggungjawaban atas setiap tindakan dan keputusan.

Feature Image (2)

KUASA dan pangkat sering dianggap oleh kebanyakan orang sebagai kemuncak kejayaan hidup. Namun di sebalik jawatan dan pengaruh, ia sebenarnya adalah cermin yang akan menyingkap siapa diri kita sebenar.

Tidak semua orang berubah apabila berkuasa tetapi hampir semua akan menzahirkan sisi dirinya yang paling jujur sama ada menjadi lebih matang, berhati-hati dan berlapang dada atau semakin keras, defensive dan sanggup mengorbankan nilai demi mempertahankan kedudukan.

Persoalannya bukan sama ada kuasa itu baik atau buruk. Persoalan sebenar ialah, apakah nilai yang memimpin diri kita sebelum kuasa itu berada di tangan?.

Dalam Islam, kuasa tidak pernah dianggap sebagai keistimewaan peribadi. Ia adalah sesuatu yang dipinjamkan dan akan dipersoalkan. Sebab itu kepimpinan dalam Islam sentiasa dikaitkan dengan keadilan, tanggungjawab dan ketakwaan, bukan kelebihan atau hak mutlak. Kuasa bukan untuk dimiliki, tetapi amanah yang perlu dilunaskan.

Rasulullah SAW mengingatkan dalam sebuah hadis riwayat Muslim yang bermaksud: “Sesungguhnya jawatan itu adalah amanah, dan pada hari kiamat ia akan menjadi kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi mereka yang menunaikannya dengan benar.”

Sejarah kepimpinan Islam memperlihatkan bahawa kuasa tidak semestinya melahirkan keangkuhan atau kesombongan. Saidina Abu Bakar as-Siddiq memulakan kepimpinannya dengan penuh kerendahan hati, meminta rakyat menegur jika beliau tersasar dan hidup sederhana walaupun memegang kuasa tertinggi.

Saidina Umar bin al-Khattab pula menjadi lebih takut kepada amanah apabila berkuasa, membuat rondaan pada waktu malam dan memikul tanggungjawab kebajikan rakyat seolah-olah kesalahan mereka adalah kesalahannya sendiri.

Saidina ‘Umar bin Abdul Aziz memisahkan dengan jelas urusan peribadi daripada harta negara, sehingga sanggup memadam lampu kerajaan demi menjaga amanah, manakala Saidina ‘Ali bin Abi Talib menegakkan keadilan walaupun terhadap dirinya sendiri, menerima keputusan mahkamah tanpa berlindung di sebalik jawatan.

Kesemua mereka membuktikan bahawa kuasa tidak menjadikan seseorang lebih baik atau lebih buruk secara tiba-tiba, sebaliknya menyingkap nilai dan prinsip yang telah lama berakar dalam diri.

Namun dunia mutakhir ini menyaksikan masalah mula timbul apabila kuasa dipisahkan daripada prinsip. Apabila keputusan dibuat bukan lagi atas dasar kebenaran dan kebajikan (maslahat) tetapi demi menjaga imej, mempertahankan ego atau mengekalkan kedudukan.

Apabila kritikan dianggap ancaman, bukan cermin untuk muhasabah diri. Di sinilah kuasa berubah menjadi ketagihan bukan kerana kuasa itu sendiri, tetapi kerana jiwa yang tidak pernah bersedia untuk menguruskannya.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, fenomena ‘gila kuasa’ jarang bermula secara mendadak tetapi ia tumbuh secara perlahan-lahan, bermula dengan justifikasi kecil, kononnya demi organisasi, demi kestabilan, demi kebaikan bersama. Tanpa prinsip yang jelas, alasan demi alasan akhirnya mula menghalalkan sikap menindas, menutup kebenaran dan meminggirkan suara yang tidak sehaluan.

Kuasa boleh menjadi alat yang kuat untuk melahirkan kebaikan jika digunakan dengan betul. Ia mampu menegakkan keadilan, melindungi yang lemah dan membaiki sistem yang rosak. Namun semua ini bergantung kepada kejelasan prinsip seseorang. Apabila jawatan dilihat sebagai amanah, bukan matlamat, kehilangan kuasa tidak lagi menjadi ketakutan. Islam mengajar bahawa setiap perbuatan sentiasa berada dalam pengawasan Allah SWT.

Kesedaran ini, yang dikenali sebagai muraqabah, membantu seseorang mengurus kuasa dengan lebih berhemah. Apabila seseorang sedar bahawa setiap keputusan akan dipersoalkan, dia akan lebih berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya menyalahgunakan pengaruh yang ada.

Kuasa juga menguji diri kita. Adakah kita bekerja kerana prinsip atau kerana pujian dan pengiktirafan? Masihkah kita berani berpegang pada nilai ketika mana ia tidak popular? Hakikatnya, kuasa tidak mengubah seseorang secara tiba-tiba, tetapi membuka topeng siapa diri kita yang sebenarnya dengan perlahan-lahan.

Kuasa juga akan menguatkan nilai sedia ada yang telah tertanam dalam diri. Ini bermaksud, jika masih wujud keikhlasan dalam diri, kuasa akan menguatkannya. Namun jika yang tertanam ialah kesombongan, kuasa hanya akan membesarkan ego, menyukarkan seseorang menerima kritikan dan nasihat, hingga akhirnya langkah menjadi semakin tersasar.

Oleh sebab itu, sebelum bercita-cita memegang jawatan atau pengaruh, persoalan yang lebih penting untuk ditanya pada diri ialah, apakah nilai yang sedang kita bina ketika tiada siapa melihat dan apakah prinsip yang kita pertahankan walaupun ia tidak menguntungkan diri?

Pada akhirnya, yang akan diingati bukanlah setinggi mana kuasa yang pernah kita miliki tetapi siapa kita ketika kuasa itu berada di tangan. Ketahuilah bahawa sejarah tidak pernah sunyi daripada kisah kejatuhan mereka yang memimpin dengan angkuh kerana kuasa yang tidak dipandu nilai akhirnya hanya akan memakan diri sendiri.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Hadis ini mengingatkan bahawa kuasa bukan sekadar kedudukan tetapi ujian yang menuntut pertanggungjawaban atas setiap tindakan dan keputusan.

Justeru, marilah kita menunaikan amanah dengan penuh integriti dan meletakkan takwa sebagai asas kepimpinan. Semoga kita menjadi pemimpin yang meninggalkan jejak kebaikan dalam sejarah kerana kuasa boleh berlalu tetapi nilai akan terus hidup serta menjadi ikutan, tatapan dan penilaian generasi demi generasi seterusnya.