Merealisasi transformasi digital RPM 2026-2035
Transformasi digital bukan lagi tentang memperkenalkan penggunaan alatan teknologi maklumat dan komunikasi ke dalam bilik darjah.

RANCANGAN Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 meletakkan transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI) sebagai pemacu utama pembaharuan pendidikan untuk menyediakan pelajar bagi memenuhi tuntutan Revolusi Perindustrian Keempat.
Rancangan ini menunjukkan bahawa proses pengajaran dan pembelajaran serta penilaian berbentuk tradisional tidak lagi relevan dalam ekonomi berasaskan pengetahuan yang dipacu oleh perkembangan teknologi.
Ia juga menjelaskan bahawa semua institusi perlu dilengkapi dengan internet berkelajuan tinggi, peranti digital dan sistem maklumat pintar untuk menyokong pedagogi interaktif dan inovatif.
Untuk memastikan generasi akan datang bukan sekadar pengguna teknologi tetapi sebagai pereka bentuk teknologi yang mempunyai kemahiran pemikir kritis maka, sistem pendidikan perlu berubah dan berkembang seiring dengan perkembangan teknologi.
Transformasi digital bukan lagi tentang memperkenalkan penggunaan alatan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) ke dalam bilik darjah, namun penggunaannya adalah tentang bagaimana untuk mereka bentuk pembaharuan keseluruhan ekosistem pembelajaran dari aspek kandungan kurikulum, pedagogi, penilaian, infrastruktur dan tadbir urus berdasarkan penggunaan teknologi secara pintar.
Oleh itu, transformasi digital dikonseptualisasikan sebagai perubahan sistemik yang perlu melibatkan kurikulum, pedagogi, penilaian, pembangunan profesional guru, tadbir urus dan ekosistem pembelajaran yang bukan hanya sekadar penggunaan alatan TMK.
Pengintegrasian AI adalah merupakan sebagai pemangkin untuk pembelajaran peribadi, penilaian adaptif, analitik pembelajaran dan pembuatan keputusan berasaskan data yang mana perkembangan ini sejajar dengan prinsip Pendidikan 4.0.
Rancangan ini juga menekankan inovasi pedagogi melalui pembelajaran campuran dan hibrid yang disokong oleh platform digital dan ketersambungan berkelajuan tinggi.
Sistem yang didayakan AI boleh menganalisis data pelajar untuk menyesuaikan kandungan pengajaran yang sekali gus mampu untuk menangani kebolehan yang pelbagai, mengurangkan jurang pencapaian dan meningkatkan ekuiti dalam pendidikan khususnya antara konteks bandar dan luar bandar.
Transformasi digital bukan sahaja memerlukan infrastruktur tetapi juga kapasiti inovatif pedagogi. Ini adalah kerana RPM menekankan keperluan untuk memperkukuh kecekapan guru bagi menangani perubahan teknologi dan tuntutan IR4.0.
Oleh itu, peranan guru perlu ditakrifkan semula daripada pemberi kandungan kepada fasilitator dan pereka bentuk pengajaran yang menggunakan analitik pembelajaran untuk menyokong pengajaran yang berbeza dan memupuk pemikiran aras tinggi, kreativiti dan kemahiran sosio-emosi untuk disampaikan kepada pelajar.
Pengukuhan kecekapan pedagogi digital dan peranan guru dikenal pasti sebagai keutamaan kritikal untuk pelaksanaan yang berjaya berdasarkan pelan ini.
Walau bagaimanapun, kejayaan merealisasikan visi ini bergantung pada pelaksanaan dasar yang teratur, infrastruktur digital yang mantap, pembangunan profesional yang berterusan dan tadbir urus etika yang kukuh. Menangani isu akses, jurang digital, privasi data dan kesediaan guru adalah penting untuk memastikan kemajuan teknologi menyumbang kepada pembangunan pendidikan yang inklusif dan mampan.
Ini adalah kerana integrasi transformasi digital dan AI dalam pendidikan Malaysia mewakili peluang dan cabaran. Pemegang taruh pendidikan perlu menawarkan alat yang mampan untuk memperibadikan pembelajaran, meningkatkan penilaian dan meningkatkan kecekapan sistem yang sekali gus membolehkan hasil pendidikan yang lebih saksama dan berkesan.
Malah memerlukan perubahan budaya, pedagogi dan organisasi yang ketara dalam kalangan pendidik, pelajar dan institusi. Teknologi sahaja tidak dapat mengubah pendidikan memandangkan kesannya bergantung pada sejauh mana ia selaras dengan matlamat kurikulum, amalan pengajaran dan nilai-nilai kemanusiaan.
Daripada perspektif reflektif, Pelan Pendidikan Malaysia 2026–2035 menunjukkan komitmen dasar yang kukuh terhadap pendidikan yang bersedia untuk masa hadapan, namun kejayaannya bergantung pada pelaburan yang berterusan, pemerkasaan guru dan pengawasan beretika AI.
Ini adalah kerana transformasi digital bukan sahaja perlu memberi manfaat kepada daya saing ekonomi tetapi juga pembangunan holistik pelajar sebagai warganegara yang kritis, bertanggungjawab dan inovatif dalam masyarakat digital yang pesat berkembang.
Di luar sekolah dan universiti, transformasi digital dalam pendidikan berkait rapat dengan aspirasi ekonomi negara. Memandangkan Malaysia berhasrat untuk membina tenaga kerja yang dilengkapi dengan literasi digital, oleh itu literasi AI perlu menjadi asas seperti asas kemahiran membaca, menulis dan mengira agar membolehkan rakyat mengambil bahagian secara berkesan dalam ekonomi yang dipacu teknologi.
Integrasi kemahiran digital merentasi kurikulum iaitu daripada pengekodan di sekolah rendah hinggalah analisis data dalam pendidikan tinggi perlu mencerminkan penjajaran strategik ini. Kerjasama dengan industri yang didokong melalui platform digital dan latihan amali secara maya dapat mendedahkan pelajar kepada aplikasi dunia sebenar dan laluan kerjaya yang baru muncul.
Dalam konteks ini, pendidikan menjadi pemangkin untuk inovasi, keusahawanan dan pembangunan mampan. Secara kesimpulannya, transformasi digital dan kecerdasan buatan dalam pengajaran dan pendidikan merupakan topik teras dalam semangat dan hala tuju strategik RPM 2026–2035.
Teknologi pendidikan berfungsi sebagai penggerak utama untuk merealisasikan visi ini dengan menyokong pembelajaran peribadi, pembuatan keputusan berasaskan data, pedagogi inovatif, ekosistem pembelajaran fleksibel dan penggunaan teknologi yang beretika.
Integrasi AI dan alatan digital canggih bukan sahaja meningkatkan kualiti pengajaran dan kecekapan sistem tetapi juga menggalakkan keterangkuman, ekuiti dan kesediaan masa depan yang merupakan objektif utama agenda pendidikan negara.

