OKU dan keadilan syariah dalam sebuah masyarakat Madani yang inklusif
Kerajaan telah meletakkan pemerkasaan institusi Islam sebagai teras kesejahteraan ummah.

PENGUMUMAN Belanjawan 2026 oleh Kerajaan Madani sekali lagi menunjukkan tanggungjawab dan komitmen kerajaan dalam memperkasakan akses keadilan syariah kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Di bawah Tekad Sembilan: Membina Jati Diri, Membangun Nilai Insani, kerajaan telah meletakkan pemerkasaan institusi Islam sebagai teras kesejahteraan ummah. Pendekatan ini menegaskan bahawa martabat syiar Islam tidak dapat dipisahkan daripada prinsip keadilan, kesaksamaan dan penghormatan terhadap maruah insan.
Melalui peruntukan dana sebanyak RM4 juta dalam Belanjawan 2026, kerajaan menunjukkan komitmen yang jelas untuk memastikan institusi Islam berfungsi secara inklusif dan responsif terhadap keperluan semua lapisan masyarakat, termasuk golongan OKU. Peruntukan ini mencerminkan kesedaran bahawa tanggungjawab negara perlu disokong dengan dasar dan sumber kewangan yang mencukupi.
Sejajar dengan hasrat kerajaan, Pelan Tindakan Khas Syariah Inklusif Orang Kurang Upaya (OKU) 2026-2030 akan dirangka dengan segera oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia bagi memastikan perkhidmatan syariah benar-benar menyantuni keperluan komuniti OKU secara sistematik dan berkesan.
Pembangunan SOP mesra OKU
Salah satu cabaran utama yang dihadapi OKU dalam mengakses keadilan syariah ialah ketiadaan prosedur yang jelas dan seragam untuk menangani keperluan khusus mereka. Justeru, pembangunan Prosedur Operasi Standard (SOP) mesra OKU merupakan langkah kritikal dalam memastikan sistem kehakiman syariah benar-benar inklusif.
SOP ini merangkumi garis panduan pengendalian kes yang mengambil kira aspek komunikasi, masa, sokongan dan adaptasi prosedur mengikut jenis ketidakupayaan. Dari sudut akademik, pendekatan ini selari dengan prinsip procedural justice, iaitu keadilan bukan hanya dinilai melalui keputusan akhir tetapi juga melalui proses yang adil, telus dan menghormati hak individu sepanjang perjalanan perundangan.
Akses keadilan tidak akan dapat direalisasikan tanpa prasarana yang sesuai. Bangunan mahkamah dan institusi Islam yang tidak mesra OKU secara tidak langsung mewujudkan diskriminasi struktur yang menafikan hak golongan ini. Oleh itu, Belanjawan 2026 memberi penekanan kepada penambahbaikan infrastruktur fizikal dan digital termasuk laluan khas, kemudahan sokongan, sistem bantuan pendengaran, bahan maklumat dalam format alternatif serta penggunaan teknologi sokongan.
Daripada perspektif hak asasi dan keadilan sosial, penyediaan infrastruktur mesra OKU bukan satu keistimewaan tetapi satu keperluan asas bagi memastikan OKU dapat mengakses perkhidmatan awam secara mudah dan setara.
Pembangunan kapasiti dan latihan pegawai
Selain aspek dasar dan prasarana, elemen manusia merupakan faktor penentu keberkesanan pelaksanaan keadilan syariah yang inklusif. Menyedari perkara ini, Belanjawan 2026 turut memperuntukkan usaha pembangunan kapasiti dan latihan pegawai institusi Islam serta kehakiman syariah dengan kerjasama NGO dan komuniti OKU.
Latihan ini bertujuan meningkatkan kefahaman, sensitiviti dan empati pegawai terhadap realiti kehidupan OKU, sekali gus mengelakkan pendekatan yang bersifat stereotaip atau tidak peka. Pendekatan berasaskan kerjasama ini sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa yang menekankan penglibatan komuniti terjejas dalam pembentukan dan pelaksanaan dasar awam.
Secara keseluruhannya, inisiatif dalam Belanjawan 2026 ini membawa mesej yang tegas bahawa syiar Islam yang dimartabatkan ialah syiar yang membela golongan rentan dan memastikan tiada sesiapa yang tercicir daripada sistem keadilan. Keadilan syariah tidak seharusnya terhad kepada mereka yang berupaya secara fizikal dan sosial tetapi mesti dapat diakses oleh semua tanpa halangan.
Dengan memperkukuh dasar, SOP, infrastruktur dan kapasiti modal insan, kerajaan bukan sahaja melaksanakan tanggungjawab pentadbiran, malah menterjemahkan nilai rahmatan lil ‘alamin secara praktikal.
Dalam konteks ini, memperjuangkan hak OKU bukan sekadar isu kebajikan, tetapi ukuran sebenar sejauh mana keadilan Islam direalisasikan dalam kehidupan bermasyarakat.

