Penggubalan undang-undang nafkah ibu bapa cerminan tuntutan zaman
Singapura dan China lebih awal memperkenalkan undang-undang yang membolehkan ibu bapa menuntut nafkah daripada anak-anak yang cuai atau enggan bertanggungjawab.

MALAYSIA sedang menuju status negara menua, apabila bilangan warga emas meningkat dengan ketara dari tahun ke tahun. Statistik menunjukkan peningkatan ketara bilangan warga emas dan dalam tempoh beberapa tahun akan datang, satu daripada lima rakyat Malaysia dijangka berusia 60 tahun ke atas. Perubahan demografi ini membawa cabaran baharu, khususnya dalam memastikan kebajikan ibu bapa yang semakin lanjut usia terus terpelihara dan tidak terpinggir.
Isu pengabaian ibu bapa bukan lagi kes terpencil. Laporan warga emas yang hidup bersendirian, terputus sokongan kewangan dan emosi semakin mendapat perhatian masyarakat. Hakikatnya, ramai antara mereka pernah menyumbang tenaga dan pengorbanan besar demi membesarkan anak-anak, namun berdepan kesukaran apabila memasuki usia senja. Dalam konteks inilah, usaha dan keprihatinan kerajaan untuk meneliti keperluan penggubalan undang-undang nafkah ibu bapa wajar dilihat dari sudut yang positif dan membina.
Dalam Islam, kewajipan menanggung nafkah ibu bapa bukanlah isu baharu. Ia merupakan tuntutan agama yang jelas dan tegas. Allah SWT berfirman: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu tidak menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa…” (Surah al-Isra’, ayat 23).
Para fuqaha’ sepakat bahawa anak yang berkemampuan wajib menanggung keperluan asas ibu bapa seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan rawatan kesihatan, sekiranya ibu bapa tidak berupaya menyara diri. Pandangan ulama dan sarjana Islam di Malaysia juga secara konsisten menegaskan kewajipan ini, selagi anak berada dalam keadaan mampu dan tidak terbeban secara melampau. Namun realitinya, tuntutan moral dan agama sahaja kadangkala tidak mencukupi untuk melindungi golongan rentan ini, khususnya apabila hubungan kekeluargaan renggang atau berlaku konflik dalam keluarga.
Ke arah penggubalan undang-undang nafkah ibu bapa
Atas keprihatinan ini, idea penggubalan undang-undang berkaitan nafkah ibu bapa semakin mendapat perhatian. Beberapa negara seperti Singapura dan China telah lebih awal memperkenalkan undang-undang yang membolehkan ibu bapa menuntut nafkah daripada anak-anak yang cuai atau enggan bertanggungjawab.
Di Malaysia, cadangan sebegini bukan bertujuan ‘menghukum’ anak tetapi sebagai satu mekanisme perlindungan sosial kepada warga emas. Undang-undang ini boleh berfungsi sebagai langkah terakhir apabila usaha kekeluargaan dan rundingan gagal serta apabila ibu bapa benar-benar berada dalam keadaan terdesak.
Penggubalan undang-undang nafkah ibu bapa berpotensi membawa beberapa impak positif. Pertama, ia dapat mengurangkan kes pengabaian warga emas dan mengelakkan mereka bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan atau kebajikan awam. Kedua, undang-undang ini mampu menyemai kesedaran bahawa tanggungjawab terhadap ibu bapa bukan sekadar isu peribadi tetapi juga tanggungjawab sosial. Ia mengukuhkan institusi keluarga sebagai benteng pertama kesejahteraan masyarakat.
Ketiga, dari sudut ekonomi negara, pengurangan kebergantungan warga emas kepada institusi penjagaan atau bantuan sosial jangka panjang dapat mengurangkan beban fiskal kerajaan. Namun begitu, satu perkara penting yang tidak boleh diketepikan ialah aspek kemampuan anak. Undang-undang nafkah ibu bapa tidak boleh dilaksanakan secara keras atau bersifat ‘satu saiz untuk semua’.
Dalam Islam sendiri, kewajipan nafkah terikat dengan kemampuan. Anak yang bergaji kecil, mempunyai tanggungan keluarga sendiri atau berhadapan kos sara hidup tinggi tidak boleh dibebani melebihi keupayaannya. Prinsip ini sejajar dengan kaedah fiqh: “Kesukaran membawa kepada kemudahan”.
Sebagai contoh, seorang anak yang bekerja sebagai kerani dengan pendapatan sederhana dan mempunyai tiga orang anak kecil tidak wajar dipaksa menanggung keseluruhan kos perubatan ibu bapa yang tinggi. Dalam keadaan ini, tanggungjawab boleh dikongsi bersama adik-beradik lain yang lebih berkemampuan atau dibantu melalui mekanisme sokongan sosial.
Pendekatan berimbang dan berperikemanusiaan
Apa yang diperlukan ialah pendekatan undang-undang yang berimbang, berteraskan ihsan dan keadilan. Mahkamah, sama ada sivil atau Syariah (bagi orang Islam), boleh memainkan peranan menilai keadaan sebenar pihak-pihak terlibat merangkumi keperluan ibu bapa, kemampuan anak serta sumbangan yang telah atau mampu diberikan. Undang-undang ini juga wajar disokong dengan pendidikan kesedaran, khidmat kaunseling keluarga dan pengukuhan nilai kekeluargaan, agar tindakan perundangan menjadi pilihan terakhir, bukan jalan utama.
Nafkah ibu bapa bukan sekadar isu undang-undang tetapi cerminan nilai kemanusiaan dan peradaban sesebuah masyarakat. Dalam menghadapi realiti penuaan penduduk dan perubahan struktur keluarga moden, sudah tiba masanya Malaysia mempertimbangkan satu kerangka undang-undang yang melindungi warga emas tanpa menzalimi anak-anak.
Akhirnya, undang-undang mungkin mampu memaksa kepatuhan tetapi kasih sayang, ihsan dan rasa tanggungjawab tetap menjadi asas terbaik dalam memastikan ibu bapa tidak terpinggir pada usia senja mereka.

