UM didik golongan muda menyayangi tanah melalui ‘Soil Doctor Programme’

Inisiatif pendidikan yang diadaptasi daripada Soil Doctors Programme yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) di peringkat global.

Feature Image (2)

Oleh: ROSAZLIN ABDULLAH

KUALA LUMPUR, 27 Januari 2026 — Universiti Malaya (UM) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi peneraju dalam agenda kelestarian sains tanah apabila menjadi universiti perintis di Malaysia yang melaksanakan Universiti Malaya Soil Doctor Programme (UMSDP).

Program berkenaan merupakan inisiatif pendidikan yang diadaptasi daripada Soil Doctors Programme (SDP) yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) di peringkat global, dengan matlamat memperkasakan komuniti melalui pengurusan tanah secara mampan.

SDP menumpukan kepada pembangunan keupayaan tempatan dan pemindahan ilmu secara praktikal, termasuk ujian tanah di lapangan, selain menekankan peranan Soil Doctor sebagai ejen perkongsian ilmu bagi membantu komuniti membuat keputusan lebih berkesan berkaitan kesihatan tanah, keselamatan makanan dan adaptasi terhadap perubahan iklim.

Di Malaysia, pelaksanaan SDP diterjemahkan melalui mySOILDOCTOR (mySDP) yang diselaraskan oleh Jabatan Pertanian Malaysia sebagai sekretariat di peringkat kementerian, melibatkan petani yang dilatih menjalankan ujian tanah secara mudah serta membantu komuniti mengenal pasti dan menangani masalah tanah bagi meningkatkan produktiviti tanaman.

Melalui kerjasama strategik antara UM dan Jabatan Pertanian Malaysia di bawah payung mySDP, UMSDP berperanan memperluas capaian program itu kepada golongan belia sebagai kumpulan sasaran baharu dalam ekosistem pendidikan tanah negara.

Dr. Rosazlin berkata, penglibatan Universiti Malaya dalam pelaksanaan Soil Doctors Programme merupakan langkah strategik bagi memastikan ilmu berkaitan tanah tidak hanya tertumpu kepada komuniti petani, sebaliknya turut difahami oleh generasi muda yang bakal menjadi pembuat dasar, penyelidik dan pemimpin masa hadapan.

“Tanah merupakan sumber asas kepada keselamatan makanan dan kestabilan ekosistem. Melalui UMSDP, pendedahan awal dapat diberikan kepada golongan muda mengenai fungsi tanah serta kepentingan penjagaannya dalam mendepani cabaran perubahan iklim,” katanya.

Seiring konsep asal SDP yang berasaskan pendekatan petani kepada petani, UMSDP turut mengadaptasi model mahasiswa kepada mahasiswa dengan melatih pelajar sebagai Soil Doctor untuk berperanan sebagai ejen perkongsian ilmu kepada rakan sebaya.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, UMSDP turut membangunkan Kit Pendidikan Tanah atau Educational Soil Kits yang diadaptasi daripada modul SDP FAO bagi memudahkan pemahaman asas berkaitan kesihatan tanah dalam kalangan pelajar, komuniti setempat dan masyarakat umum.

Seorang wakil pelajar Tahun Ketiga Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Alam Sekitar, Tew Jia Yu berkata pendekatan pembelajaran secara praktikal melalui kit pendidikan itu membantu meningkatkan kefahaman pelajar mengenai hubungan antara tanah, pengeluaran makanan dan perubahan iklim.

Komitmen Universiti Malaya dalam menjayakan UMSDP turut mendapat pengiktirafan apabila program itu dijemput oleh Jabatan Pertanian Malaysia untuk terlibat dalam Sambutan Hari Tanah Sedunia yang berlangsung di KSL Esplanade Hotel, Klang, Selangor baru-baru ini.

Program berkenaan yang mengangkat tema global ‘Tanah Sihat untuk Bandar Sejahtera’ turut memperkenalkan Kit Pendidikan Tanah sebagai medium pendidikan dan kesedaran awam, selain menerima kunjungan Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia yang menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan inisiatif itu.

Universiti Malaya berharap inisiatif perintis berkenaan dapat diperluaskan ke institusi pengajian tinggi lain serta ke peringkat sekolah pada masa hadapan, sekali gus menyumbang kepada pembentukan generasi muda yang lebih peka terhadap kepentingan penjagaan tanah, keselamatan makanan dan mitigasi perubahan iklim.

Sebagai universiti terulung negara, Universiti Malaya komited untuk terus menerajui usaha pengurusan tanah secara lestari demi menjamin keterjaminan makanan negara pada masa hadapan.

* Prof. Madya Dr. Rosazlin Abdullah ialah Pensyarah di Fakulti Sains, Universiti Malaya.