Klasifikasi dan penilaian tanah kunci kemampanan pertanian negara

Dalam usaha meningkatkan produktiviti pertanian dan memastikan kelestarian sumber tanah, pemahaman terhadap klasifikasi dan penilaian tanah memainkan peranan penting.

Poster Terkini (7)

PERSATUAN Sains Tanah Malaysia (MSSS), dengan kerjasama Jabatan Pertanian Malaysia dan Universiti Malaya (UM) menganjurkan Kursus Klasifikasi dan Penilaian Tanah untuk Pertanian pada 25 dan 26 Februari 2025.

Kursus ini memberi tumpuan kepada pemahaman mengenai klasifikasi tanah dan kaedah penilaiannya, yang amat penting dalam memastikan penggunaan tanah secara optimum bagi sektor pertanian negara.

Jabatan Pertanian adalah agensi utama yang memberi perkhidmatan siasatan tanah dan merupakan custodian bagi maklumat tanah negara. Objektif kursus ini adalah memberi pengetahuan asas kepada peserta mengenai penyiasatan dan penilaian tanah.

Dalam usaha meningkatkan produktiviti pertanian dan memastikan kelestarian sumber tanah, pemahaman terhadap klasifikasi dan penilaian tanah memainkan peranan penting.

Malaysia mempunyai dua pengelasan umum tanah iaitu tanah mineral dan tanah organik serta 12 kumpulan tanah yang dikategorikan berdasarkan pembentukan bahan induk.

Oleh kerana faktor topografi, persekitaran dan bahan batuan induk, terdapat 11 limitasi tanah yang perlu difahami sebelum menentukan kesesuaian tanaman di sesuatu kawasan.

Contoh limitasi ini termasuklah kedalaman lapisan padat, saliran, kecerunan, ketidakseimbangan nutrien, keberbatuan, kemasinan, tekstur, kekayuan, lapisan asid sulfat dan pengaruh aktiviti manusia.

Oleh itu, pengetahuan yang diperoleh daripada kursus ini membantu para peserta memahami potensi dan batasan tanah dalam konteks pertanian, sekali gus membolehkan perancangan pengurusan tanah yang lebih cekap dan berkesan.

Seramai 35 peserta daripada 13 agensi berbeza telah menghadiri kursus ini, termasuk Jabatan Pertanian Sabah, pekebun, pekerja swasta, FGV R&D, RISDA Estates, MARDI, FRIM, Carbon Zero Sdn. Bhd., Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, UNA Corp, CTOS Ecofarm, UM dan ERAS.

Kehadiran peserta daripada pelbagai organisasi ini menunjukkan betapa pentingnya topik ini dalam sektor pertanian dan penyelidikan tanah.

Kursus dua hari ini telah didedahkan dengan tiga jenis tanah yang berbeza limitasinya iaitu kebertauan, saliran dan kedalaman asid sulfat.

Dengan adanya penilaian tanah yang sistematik, kita dapat mengenal pasti kesesuaian tanaman dengan lebih tepat, mengurangkan risiko kegagalan tanaman serta mengelakkan pembaziran sumber.

Sebagai contoh, sesetengah tanah mungkin lebih sesuai untuk tanaman kontan seperti jagung, manakala ada tanah yang lebih sesuai untuk tanaman bernilai tinggi seperti durian dan kelapa sawit.

Tanpa pengetahuan ini, pengusaha tanaman berisiko menanam tanaman yang tidak sesuai dengan batasan tanah yang tersedia, menyebabkan hasil yang rendah dan kos pengurusan yang tinggi.

Selain itu, klasifikasi tanah yang tepat juga membantu dalam merancang langkah-langkah pengurusan tanah yang lestari.

Pemuliharaan tanah dan air, pengurusan baja yang lebih efektif serta teknik pertanian berasaskan ekosistem dapat dipraktikkan dengan lebih baik jika petani memahami sifat tanah mereka.

Ini seterusnya dapat mengurangkan kebergantungan kepada input kimia yang berlebihan, mengekalkan kesuburan tanah dalam jangka panjang serta mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar.

Kursus ini turut memberi peluang kepada peserta untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam bidang masing-masing. Melalui interaksi ini, penyelidik, pegawai pertanian dan pengusaha ladang dapat membangunkan strategi yang lebih berkesan dalam meningkatkan hasil pertanian negara dengan kos pengurusan yang lebih rendah.

Ketua Tenaga Pengajar dan juga Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Tanah, Jabatan Pertanian Putrajaya, Noranizam Mohd Sahil berkata bahawa sehingga kini, Jabatan Pertanian telah mengenal pasti 359 siri tanah di Malaysia.

“Siri tanah digunakan untuk penilaian kesesuaian pertanian dan pengurusan tanah. Maklumat berkaitan tanah di Semenanjung Malaysia boleh didapati di laman web yang dibangunkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia iaitu https://geotanih.doa.gov.my/.

“Laman web ini memudahkan carian jenis tanah dan kesesuaian tanaman bagi setiap lokasi melalui sistem dalam talian,” katanya.

Presiden Persatuan Sains Tanah Malaysia, Prof. Madya Dr. Rosazlin Abdullah berkata, kursus ini selaras dengan objektif persatuan dalam menyebarkan ilmu kepada ahli sains tanah di Malaysia.

“Diharapkan peserta dapat memperkukuh asas ilmu sains tanah mereka melalui kursus ini dan mengaplikasikannya dalam agensi masing-masing,” katanya.

Pegawai Agronomi FGV R&D, Mohd Nizar Khairuddin pula menyatakan bahawa kursus ini memberi banyak manfaat kepada pasukan agronominya.

“Kami akan menggunakan ilmu yang diperoleh ini sebaiknya untuk pengurusan di ladang FGV. Sebagai seorang agronomist, pengetahuan dalam penilaian tanah adalah salah satu faktor dalam pengurusan ladang,” katanya.

Sementara itu, Dr. Rosazlin berkata secara keseluruhannya, pemahaman terhadap klasifikasi dan penilaian tanah adalah aspek yang tidak boleh diabaikan dalam pembangunan sektor pertanian Malaysia.

“Dengan penggunaan tanah yang lebih cekap dan berasaskan data saintifik, kita dapat memastikan pertanian negara terus berkembang secara mampan, meningkatkan daya saing sektor ini di peringkat global serta menyumbang kepada keselamatan makanan negara,” katanya.