Jangan leka bila AI cuba “membantu”
Hari ini penggunaan AI sudah berada di hujung jari melalui telefon pintar dan komputer peribadi.

KECERDASAN buatan atau artificial intelligence (AI) kini semakin menjadi sebahagian daripada kehidupan harian masyarakat. Jika dahulu AI hanya digunakan dalam sektor industri tertentu, hari ini penggunaannya sudah berada di hujung jari melalui telefon pintar dan komputer peribadi.
Ramai pengguna mula menggunakan AI bukan sahaja untuk tugasan kerja atau pembelajaran tetapi juga bagi memudahkan urusan harian yang kecil namun memerlukan masa dan perhatian.
Kemunculan aplikasi seperti ChatGPT, Gemini dan banyak lagi menjadikan AI seolah-olah pembantu peribadi digital yang boleh memberi cadangan segera dalam pelbagai situasi. Salah satu faktor yang menjadikan aplikasi ini cepat diterima ialah kerana ia mudah digunakan, mesra pengguna dan boleh diakses secara percuma untuk fungsi asas.
Pengguna tidak memerlukan kemahiran teknikal yang tinggi, hanya dengan menaip soalan atau arahan dalam bahasa harian, sistem boleh terus memberikan jawapan yang tersusun. Akses juga semakin mudah kerana ia boleh digunakan melalui telefon pintar, komputer dan bagi sesetengah pengguna, integrasi melalui aplikasi komunikasi harian seperti WhatsApp menjadikan AI semakin dekat dengan rutin harian. Mudah kan?.
Salah satu situasi yang semakin biasa ialah penggunaan AI untuk merancang percutian terutamanya dalam kalangan Gen Z. Sebagai contoh, seseorang yang ingin bercuti ke Langkawi selama tiga hari boleh meminta AI menyediakan itinerari lengkap mengikut bajet.
Pengguna hanya perlu menyatakan bilangan hari, jumlah bajet, sama ada bercuti bersama keluarga atau rakan, dan AI boleh mencadangkan tempat lawatan, waktu sesuai bergerak, pilihan makanan dan anggaran kos harian. Jika pengguna ingin percutian yang lebih santai, AI juga boleh menyusun jadual yang tidak terlalu padat supaya perjalanan lebih selesa. Kita tidak perlu lagi bersusah mencari maklumat sendiri di internet; AI sudah sediakan semuanya.
AI juga sering digunakan untuk membantu memilih masa perjalanan yang sesuai. Sebagai contoh, ketika musim cuti sekolah atau perayaan, pengguna boleh bertanya waktu terbaik untuk bertolak ke Johor Bahru bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas. Walaupun maklumat akhir masih perlu disemak melalui aplikasi trafik atau sumber semasa, AI membantu pengguna membuat perancangan awal dengan lebih teratur.
Dalam urusan harian di rumah, masyarakat juga turut menggunakan AI dalam menguruskan rumah seperti memasak. AI digunakan untuk membantu merancang dan menyediakan menu masakan untuk keluarga. Contohnya, ada pengguna yang menaip bahan yang tersedia seperti ayam, telur dan sayur, kemudian meminta AI mencadangkan menu makan malam yang mudah disediakan dalam masa kurang 30 minit. Ini sangat membantu terutama bagi ibu bapa yang pulang bekerja dan mahu menyediakan hidangan dengan cepat tanpa perlu berfikir terlalu lama.
Dalam urusan membeli-belah pula, AI turut membantu pengguna membandingkan pilihan sebelum membeli. Sebagai contoh, apabila ingin membeli telefon baharu untuk anak, pengguna boleh meminta AI membandingkan beberapa model mengikut bajet, kapasiti bateri dan keperluan penggunaan. Ini memberi gambaran awal sebelum pengguna membuat semakan lanjut di kedai atau platform jualan dalam talian. Pengguna juga boleh menggunakan AI untuk mencari tempat pembelian yang sesuai dengan keperluan pengguna.
Dalam komunikasi harian, ramai juga mula menggunakan AI untuk membantu menulis mesej atau e-mel. Sebagai contoh, seseorang yang ingin menulis e-mel rasmi kepada pihak sekolah atau majikan boleh meminta AI menyediakan draf awal dengan bahasa yang sopan dan teratur. Ini sangat membantu terutama bagi mereka yang ingin memastikan mesej jelas tetapi tidak terlalu panjang.
Dalam kalangan pelajar, penggunaan AI juga bukanlah perkara baharu. Teknologi ini digunakan untuk membantu pelajar semasa proses pembelajaran. Antaranya, AI digunakan untuk memahami topik yang sukar. Jika pelajar tidak memahami sesuatu konsep, mereka boleh meminta AI menerangkannya semula dalam bahasa lebih mudah atau memberi contoh yang dekat dengan kehidupan seharian. Ini menjadikan AI satu bentuk sokongan pembelajaran yang fleksibel di luar waktu kelas.
Walaupun AI menawarkan pelbagai kemudahan, pengguna tetap perlu memahami bahawa teknologi ini hanya memberi cadangan berdasarkan maklumat sedia ada dan bukan menggantikan pertimbangan manusia sepenuhnya. Dalam merancang percutian misalnya, harga hotel yang dicadangkan mungkin berubah atau lokasi tertentu mungkin tidak sesuai dengan keadaan sebenar semasa.
Oleh itu, maklumat masih perlu disemak semula melalui sumber rasmi. Budaya semak semula ini sepatutnya diamalkan selari dengan penggunaan teknologi di semua lapisan masyarakat. Ingat! Semak dahulu, baru percaya.

