Mengekal makna Aidilfitri dengan bantuan teknologi digital

Penglibatan digital pengguna Malaysia meningkat dengan tinggi pada bulan Ramadan dan Syawal.

Feature Image (3)

HARI Raya Aidilfitri sering didefinisikan sebagai kebersamaan, sama ada memohon kemaafan, menziarahi sanak saudara, menjamu selera dan menyambut bersama komuniti selepas sebulan berpuasa. Walau bagaimanapun, pada hari ini, sambutan hari raya banyak dipengaruhi oleh dunia digital.

Dalam kita tidak sedar, telefon pintar, media sosial dan perkhidmatan dalam talian telah menukar cara bagaimana rakyat Malaysia membuat persiapan hari raya dan seterusnya menyambut perayaan yang bermakna ini.

Malaysia ialah salah satu negara yang paling tinggi ketersalinghubungannya di Asia Tenggara. Laporan terbaru menunjukkan 70.2 peratus daripada populasi di negara ini ialah pengguna media sosial yang aktif, dengan jutaan rakyatnya melibatkan diri setiap hari di platform digital seperti YouTube, Facebook, Instagram dan WhatsApp. Maka, situasi ini menggambarkan pengalaman raya juga dirasai dengan meluas sama ada dalam talian mahupun fizikal.

Pada bulan Ramadan dan seterusnya, bulan Syawal, penglibatan digital pengguna Malaysia meningkat dengan tinggi. Satu kajian pemasaran mendapati bahawa 92 peratus daripada rakyat Malaysia menghabiskan banyak masa dengan peranti mudah alih masing-masing pada bulan Ramadan.

Selain itu, 86 peratus menggunakan media sosial secara aktif semasa berpuasa. Lonjakan digital ini mencerminkan bahawa teknologi telah memenuhi setiap aspek persediaan perayaan, daripada membeli-belah pada bulan Ramadan sehinggalah kepada perancangan balik raya dan komunikasi sesama ahli keluarga.

Tradisi utama bila datangnya Hari Raya Aidilfitri di Malaysia ialah balik kampung dan tradisi ini turut terkesan dengan kerancakan teknologi. Di sebalik perjalanan pulang ke kampung yang penuh dengan emosi, proses pengurusannya telah berubah.

Kala ini, ahli-ahli keluarga memberitahu perancangan pulang sesama sendiri melalui aplikasi pemesejan sahaja, membeli tiket bas atau kapal terbang dalam talian dan menyemak keadaan trafik hanya menggunakan aplikasi peta digital seperti Google Maps dan Waze.

Di samping itu, bentuk ekonomi menjelang perayaan juga didigitalisasi. Merujuk kepada Jabatan Statistik Malaysia, bazar Ramadan dan Aidilfitri menghasilkan lebih daripada RM3.2 bilion jualan pada tahun 2025. Data ini menggambarkan kedua-dua bazar ini mempunyai kepentingan berterusan kepada komuniti dan juga perniagaan kecil.

Walaupun bazar ini dianjurkan secara fizikal, ia turut dipengaruhi oleh teknologi digital. Di platform TikTok dan Instagram, video-video yang selalu dipanjangkan berkongsi isu-isu viral seperti gerai makanan yang mempunyai barisan pembeli paling panjang, kedai baju raya yang dinantikan sejak awal pagi dan sebagainya. Fenomena digital ini menjelaskan bagaimana perhatian dalam talian boleh membentuk kelakuan berbelanja pengguna secara fizikal.

Sambutan perayaan di negara kita dasawarsa ini telah memenuhi ruang digital. Antara aktivitinya ialah ahli keluarga yang tinggal berjauhan bertukar ucapan melalui panggilan video dan pemberian duit raya boleh dilakukan secara digital melalui perbankan mudah alih atau e-dompet. Selain itu, kad ucapan dalam talian dan hantaran di media sosial telah menjadi versi terkini atau moden bagi penghantaran ucapan hari raya.

Namun demikian, teknologi juga menjemput kita untuk berfikir tentang keseimbangan digital. Para pakar kebudayaan digital mengingatkan bahawa teknologi boleh membentuk semula bagaimana kita berinteraksi. Melalui pemerhatian Profesor Sherry Turkle daripada Massachusetts Institute of Technology, Amerika Syarikat, beliau menyatakan bahawa masyarakat dunia masih belajar untuk mengintegrasikan teknologi ke dalam kehidupan masing-masing dengan bermakna.

Penyelidikan beliau mengundang satu persoalan penting untuk direnungkan dalam perspektif perayaan yang kita raikan saban tahun iaitu bagaimana teknologi boleh meningkatkan tradisi perayaan tanpa menggantikan hubungan sesama manusia yang memberi banyak pengertian itu?

Sebenarnya, hari raya membuka ruang kepada kita untuk mempraktikkan satu amalan yang dinamakan kesedaran digital yang penuh atau dalam bahasa Inggerisnya ialah “digital mindfulness”. Walaupun teknologi membantu memanjangkan hubungan dengan orang yang jauh, hakikat perayaan itu masih kekal seperti sebelum ini iaitu mengutamakan kehadiran fizikal dan berkongsi momen raya bersama.

Antara momen yang diraikan ialah menjamu makanan tradisi sambil berbual dan bergelak tawa, menziarahi yang lebih tua dan kemeriahan bersalam-salaman memohon maaf.

Bagi anak-anak muda yang membesar dengan telefon pintar, cabarannya ialah menggunakan peranti ini dengan bijak, bukan membuangnya. Apabila di kampung, berkongsi gambar raya di media sosial boleh menjadi salah satu momen gembira untuk dilakukan pada pagi Syawal, tetapi jangan jadikan ia sebagai alasan untuk tidak berbual-bual dengan sanak saudara yang lain.

Seperti yang dicadangkan oleh pakar teknologi pendidikan, literasi digital hari ini bukanlah sekadar untuk mengetahui bagaimana menggunakan teknologi tetapi untuk memahami bila dan kenapa teknologi digunakan dan juga digunakan dengan penuh rasa tanggungjawab. Perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri mengingatkan kita bahawa teknologi sepatutnya membantu memupuk dan mengamalkan nilai-nilai murni manusia, bukan menutup atau mengatasi nilai-nilai tersebut.

Kehidupan digital dan tradisi perayaan bukanlah dua perkara yang bertentangan. Malah, ia boleh melengkapi sesama sendiri. Contohnya, panggilan video boleh menghubungkan semula mereka yang jauh, platform dalam talian menyokong perniagaan kecil dan penceritaan digital boleh dikembangkan untuk memelihara tradisi kebudayaan bagi generasi muda.

Walaupun Malaysia meraikan Aidilfitri dalam dunia yang semakin tinggi kesalinghubungannya, satu prinsip yang tetap kekal, tidak akan berubah ialah teknologi mungkin boleh membentuk perayaan tetapi hubungan sesama manusia itu yang memberi makna sebenar Aidilfitri.

Mungkin, satu pesanan Hari Raya Aidilfitri yang bermakna dalam era digital ini ialah walaupun kita tinggal dalam dunia kesalinghubungan yang berterusan tetapi hubungan yang paling bermakna ialah hubungan yang terbentuk dari hati ke hati.