Perginya permata ilmu falak negara

Negara kehilangan permata falak tanah air, Ustaz Khairul Anuar Yazid pada 10 Jun 2025 bersamaan 4 Zulhijjah 1446H.

Poster Terkini (1)


BULAN Muharram bukan sekadar permulaan tahun baharu Hijrah. Sejak 1443H/2021M, ia turut diangkat sebagai Bulan Falak Malaysia oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), sebagai usaha memartabatkan ilmu falak dalam kehidupan masyarakat.

Namun, sambutan kali ini hadir dalam suasana berbeza, apabila negara kehilangan permata falak tanah air, Ustaz Khairul Anuar Yazid pada 10 Jun 2025 bersamaan 4 Zulhijjah 1446H.

Jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Besi, Putrajaya, dengan anakanda sulungnya menjadi imam. satu detik penuh sayu yang menyaksikan pemergian seorang insan yang telah banyak berbakti dalam senyap.

Pemergian beliau bukan hanya kehilangan seorang pegawai tetapi hilangnya seorang pejuang ilmu, penggerak dasar dan penyambung warisan falak negara.

Allahyarham memulakan khidmat dalam bidang falak sekitar 2005 di Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sebelum menyertai JAKIM pada 2018.

Beliau berkhidmat di Seksyen Falak, Bahagian Penyelidikan dan memikul pelbagai amanah termasuk penyelarasan dasar falak kebangsaan.

Meskipun kesihatannya diuji sejak lebih sedekad lalu, semangatnya tidak pernah luntur.

“Apa yang boleh saya buat, saya akan usahakan selagi hayat dikandung badan. Amanah tetap amanah…” demikian pesan beliau dalam satu mesej kepada penulis beberapa minggu sebelum pemergiannya.

Antara sumbangan besar Allahyarham ialah dalam kajian waktu Subuh di Pantai Timur, khususnya cerapan fajar di Bachok, Kelantan.

Hasil kajian tersebut membawa kepada penyatuan formula waktu Subuh di seluruh negara pencapaian penting dalam sejarah fiqh waktu solat di Malaysia.

Beliau turut menjadi antara watak penting dalam memperhalusi kriteria baharu kenampakan anak bulan oleh negara-negara MABIMS, yang mula digerakkan pada tahun 2016.

Kriteria ini kemudiannya mula digunakan secara rasmi oleh Malaysia pada tahun 2021. Allahyarham memainkan peranan besar memperincikannya di peringkat nasional, bahkan menjadi penghubung penting dalam rundingan serantau.

Allahyarham juga aktif dalam Kajian Pengisbatan Anak Bulan, yang menilai penggunaan teknologi seperti teleskop dan kamera digital dalam cerapan. Hasilnya menjadi asas kepada rujukan hukum dan enakmen negeri.

Tahun 2022 menyaksikan detik tidak dilupakan umat Islam Malaysia apabila Aidilfitri diumumkan jatuh pada Isnin, 2 Mei, sehari lebih awal daripada jangkaan takwim.

Peristiwa ini dikenang sebagai ‘Raya Terkejut’. Di sebalik tabir, Allahyarham antara yang turut memainkan peranan merangka strategi komunikasi bagi meredakan kekeliruan masyarakat.

Setahun kemudian, di akhir Ramadan, isu sama kembali tular pada awal pagi. Pada jam 11 pagi pada hari yang sama, Allahyarham tampil dalam slot khas ‘Tanya JAKIM’ bertajuk ‘Raya Tahun 2022 Tidak Sah?’ bersama dua orang panel lain.

Dalam sesi itu, beliau menjawab segala persoalan awam dengan fakta, saksi dan ketenangan. Nada suaranya lembut namun tegas, hujahnya kukuh, penjelasannya jelas dan meyakinkan. kekeliruan pun reda.

Beliau juga terlibat dalam penyelidikan penyesuaian waktu solat dan berbuka puasa di bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur, isu semasa dalam kehidupan moden.

Malaysia merupakan satu-satunya negara Islam yang memiliki rekod lengkap kenampakan anak bulan bagi setiap bulan selama hampir 25 tahun.

Kajian berterusan yang dilaksanakan oleh JAKIM bersama agensi-agensi lain melalui cerapan konsisten di Teluk Kemang, kini menjadi sumber data rukyah yang amat penting, bukan sahaja untuk negara, bahkan juga untuk rujukan dunia Islam.

Antara kajian fiqh semasa yang turut disentuh Allahyarham ialah penentuan kadar dua marhalah, qaryah dan balad.

Kajian ini menilai semula konsep klasik berdasarkan realiti semasa seperti sempadan bandar dan aplikasi digital dan kini dijadikan rujukan oleh beberapa negeri dalam isu status musafir dan sempadan qaryah.

Sebagai Penyelaras Falak Peringkat Kebangsaan, beliau turut terlibat dalam penghasilan dua dokumen penting negara: Garis Panduan Cerapan Hilal dan Prosedur Operasi Standard Penentuan dan Semakan Arah Kiblat, yang kini menjadi rujukan di jabatan mufti dan IPT.

Ketua Pengarah JAKIM turut menzahirkan rasa kehilangan mendalam atas pemergian tokoh ini. Dalam satu kenyataan beliau menyebut:

“Warga JAKIM kehilangan seorang insan yang sangat berharga, Almarhum Ustaz Khairul Anuar Yazid, seorang pegawai yang bukan sekadar dikenang kerana ilmunya dalam bidang falak tetapi juga kerana akhlaknya yang mulia, sikap rendah hati dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi. Pemergian Almarhum satu kehilangan besar buat JAKIM dan negara.”

Allahyarham bercita-cita melihat falak Malaysia dikenali di peringkat antarabangsa, setanding industri halal dan kewangan Islam. Hasrat itu diterjemah melalui kerjasama dengan Diyanet Turkiye dan pembentangan kajian di Ankara, pentas antarabangsa terakhir beliau.

Beliau sering mengingatkan rakan seperjuangan: bergeraklah bersama. Tanpa pasukan, tiada kekuatan; tanpa kerjasama, kejayaan sukar dicapai.

Kini, beliau telah pergi. Namun, warisannya tetap hidup. Jejak langkahnya terpahat kukuh dalam sejarah falak negara.

Dunia falak Malaysia akan terus mengenang beliau, bukan sekadar sebagai penjawat awam tetapi sebagai permata yang menyinar dalam senyap, guru falak yang sabar membimbing dan jiwa yang memegang amanah hingga ke hembusan nafas terakhir.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.