Memupuk minat kriptografi dalam kehidupan seharian
Rakyat Malaysia masih tidak menyedari bahawa prinsip perlindungan maklumat ini sebenarnya telah lama wujud dalam budaya kita.

HAMPIR setiap minggu, kita dikejutkan dengan berita kebocoran data peribadi daripada aplikasi kesihatan, bank digital, hinggalah ke sistem kerajaan. Namun, ramai rakyat Malaysia masih tidak menyedari bahawa prinsip perlindungan maklumat ini sebenarnya telah lama wujud dalam budaya kita melalui permainan dan komunikasi simbolik yang digunakan sejak kecil.
Permainan Bahasa F atau pantun berkias mungkin nampak seperti hiburan zaman kanak-kanak tetapi di sebaliknya, ia membentuk asas pemikiran kriptografi iaitu cara menyembunyikan maklumat agar hanya orang tertentu yang memahaminya. Dalam permainan ‘Bahasa F’ misalnya, “Saya mahu pergi ke sekolah” akan diubah menjadi “Safayafa mafahufu perfergifi kefe sefekofolahfah”. Bunyi pelik dan lucu tetapi di sebalik itu tersimpan satu prinsip penting dalam kriptografi iaitu menyembunyikan maklumat menggunakan kunci atau peraturan yang hanya difahami oleh pihak tertentu.
Budaya Melayu tradisional juga kaya dengan komunikasi tersirat iaitu teka-teki, pantun dua lapis, makna tersembunyi dalam ukiran dan corak tenunan. Semua ini merupakan bentuk penyulitan tradisional yang mencerminkan penghargaan masyarakat terhadap makna simbolik, kerahsiaan dan komunikasi selamat iaitu prinsip yang sejajar dengan kriptografi moden.
Sebagai seorang pensyarah dalam bidang matematik, saya melihat bahawa inilah ruang untuk kita mengaitkan semula budaya harian dengan pemikiran saintifik. Ketika masyarakat kini lebih terdedah kepada isu-isu keselamatan maklumat, terutamanya melibatkan transaksi digital dan komunikasi dalam talian, adalah penting untuk kita mencari pendekatan yang kreatif dan relevan untuk memperkenalkan konsep asas kriptografi.
Apa yang menarik, kriptografi moden sebenarnya sangat bergantung kepada matematik. Aritmetik modular, teori nombor, algebra linear dan kebarangkalian ialah antara bidang yang menjadi tulang belakang kepada sistem penyulitan digital. Contohnya, sistem RSA yang digunakan dalam keselamatan transaksi dalam talian adalah berasaskan konsep pemfaktoran nombor perdana dan operasi modulus. Malangnya, topik-topik ini jarang dikaitkan secara langsung dengan aplikasi sebenar dalam kelas matematik.
Saya sering bertanya kepada pelajar: “Pernah tak kamu terfikir kenapa kita belajar nombor perdana? Apa aplikasinya dalam dunia sebenar?” Ramai yang mengaku mereka tidak tahu, hanya belajar kerana ia terdapat dalam sukatan pelajaran. Di sinilah saya mula membawa masuk konteks dunia sebenar, termasuk kriptografi. Reaksi pelajar selalunya berubah iaitu mereka menjadi lebih tertarik dan ingin tahu apabila melihat bagaimana matematik digunakan dalam keselamatan maklumat, transaksi bank dan teknologi harian yang mereka sendiri gunakan.
Malah, saya juga pernah membawa topik perbincangan tentang Bahasa F ke dalam kelas untuk menunjukkan bahawa penyulitan mesej sebenarnya bukan sesuatu yang asing. Saya akan tulis ayat mudah seperti “Saya suka matematik” dan ubahkannya kepada “Safayafa sufukafa mafatefemafatikfik” di papan putih, kemudian meminta pelajar menyahsulit. Daripada aktiviti perbincangan ini, saya kaitkan bagaimana penyulitan berfungsi dan bagaimana prinsip seperti pola, pengulangan dan peraturan matematik digunakan dalam kriptografi moden.
Perbincangan ini juga menjadi titik mula untuk memperkenalkan konsep matematik yang lebih mendalam dalam kriptografi. Walaupun Bahasa F tidak menggunakan nombor perdana secara langsung, ia membuka ruang untuk membincangkan bagaimana kriptografi moden seperti sistem RSA menggunakan teori nombor dan nombor perdana sebagai asas keselamatan digital.
Saya menerangkan bagaimana nombor perdana, bersama konsep aritmetik modular, membentuk tulang belakang kepada sistem penyulitan dalam perbankan dalam talian dan komunikasi rahsia. Melalui pendekatan ini, pelajar dapat melihat bagaimana sesuatu yang mereka anggap remeh atau hanya permainan, sebenarnya berkait rapat dengan matematik tinggi dan aplikasi dunia sebenar.
Pendidikan boleh menjadi pemangkin utama. Aktiviti seperti teka-teki bahasa, penyahsulitan mesej dan permainan kod rahsia boleh dijadikan sebagai pendekatan awal. Kaedah ini bukan sahaja menyeronokkan, malah mampu memupuk kemahiran berfikir secara logik dan sistematik dalam kalangan pelajar. Apabila pelajar mempelajari algoritma kriptografi secara formal di universiti, mereka sudah mempunyai asas kefahaman yang kukuh. Ini akan menjadikan pembelajaran lebih bermakna dan membantu mereka memahami kepentingan keselamatan maklumat secara menyeluruh.
Kriptografi wajar dilihat bukan sekadar bidang teknikal, tetapi juga jambatan antara warisan budaya dan teknologi masa depan. Dengan harapan, lebih ramai bakat muda meneroka bidang penyelidikan kriptografi bukan sahaja untuk tujuan inovasi tetapi juga untuk membina daya saing ilmu dan kemahiran dalam kalangan generasi digital akan datang.
Hakikatnya, kriptografi telah lama wujud dalam kehidupan kita, cuma tanpa nama. Kini, dengan dunia digital yang semakin kompleks, kita boleh menggunakan warisan budaya ini untuk menyemai minat terhadap kriptografi dan membentuk generasi yang celik keselamatan maklumat serta bersedia menghadapi cabaran teknologi masa hadapan.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.