Krisis Geopolitik: Perspektif Malaysia tangani kejutan minyak

Walaupun subsidi bahan api terus membantu mengurangkan harga di pam, kesan tidak langsung pasaran yang wujud lebih sukar untuk dielakkan.

Feature Image

APABILA harga minyak melonjak, kesannya tidak terhad kepada pasaran global atau perdebatan dasar, ia dirasai dalam kehidupan seharian kita. Di stesen minyak, dalam bil runcit dan dalam peningkatan kos menjalankan perniagaan, rakyat Malaysia kini mengalami kesan riak kejutan yang bermula jauh di luar sempadan negara kita.

Kenaikan harga minyak baru-baru ini adalah amat ketara. Pada akhir Februari 2026, harga minyak mentah global berlegar sekitar US$65 hingga 70 setong, julat yang agak stabil tetapi apabila ketegangan geopolitik yang melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran semakin meningkat, pasaran bertindak balas dengan pantas.

Harga melepasi US$80 pada awal Mac, melonjak melepasi US$90 menjelang pertengahan Mac dan kini berubah-ubah antara US$95 dan US$110 setong. Dalam beberapa minggu, harga minyak telah meningkat sebanyak 50–60 peratus, menghantar gelombang kejutan merentasi ekonomi di seluruh dunia.

Bagi Malaysia, ini adalah situasi yang unik dan kompleks. Kita adalah negara pengeluar minyak dan sebuah ekonomi yang bergantung kepada bahan api fosil. Harga minyak mentah yang lebih tinggi membawa peningkatan pendapatan negara melalui eksport dan dividen, namun pada masa yang sama, ia meningkatkan kos domestik merentasi pengangkutan, logistik dan pengeluaran.

Hasilnya adalah satu paradoks, negara mendapat manfaat dan menderita secara serentak. Dualiti inilah yang menjadikan waktu krisis ini amat mencabar, bukan sahaja untuk penggubal dasar tetapi juga untuk perniagaan dan isi rumah para rakyat.

Daripada perspektif rakyat marhaen Malaysia, kesannya adalah serta-merta, walaupun tidak secara langsung. Walaupun subsidi bahan api, terutamanya untuk RON95 terus membantu mengurangkan harga di pam tetapi kesan tidak langsung pasaran yang wujud adalah lebih sukar untuk dielakkan.

Kos pengangkutan yang lebih tinggi akan diterjemahkan kepada harga makanan dan barangan yang lebih mahal. Perbelanjaan harian meningkat secara senyap, perlahan-lahan membebankan bajet isi rumah. Malah mereka yang tidak kerap memandu turut merasakan tekanan melalui kos sara hidup yang lebih meluas.

Bagi sektor perniagaan pula, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana, tekanannya lebih ketara. Kos logistik meningkat, pembekal melaraskan harga mereka dan margin operasi menjadi lebih nipis. Sektor seperti pengangkutan, runcit dan pembuatan amat terdedah, memandangkan pergantungan mereka pada bahan api sebagai input utama. Banyak firma dibiarkan dengan pilihan yang sukar. Adakah mereka perlu menyerap kos yang lebih tinggi? Atau membiarkan pengguna untuk menyerap kos tersebut? Atau mengurangkan operasi sama sekali?

Sebagai tindak balas, kerajaan Malaysia telah mengambil beberapa langkah berjaga-jaga, ada yang telah dilaksanakan dan ada yang bakal muncul dalam jangka masa terdekat. Ini termasuk mengekalkan subsidi bahan api untuk melindungi isi rumah, memperhalusi mekanisme subsidi untuk menyasarkan mereka yang teruk terkesan dan menyediakan bantuan yang disasarkan melalui pemindahan tunai.

Terdapat juga perbincangan mengenai pengaturan kerja fleksibel, termasuk amalan bekerja dari rumah (WFH) bagi sektor-sektor terpilih.

Dari perspektif rakyat, adalah wajar untuk kita bertanya, adakah tindakan yang diambil kerajaan ini mencukupi? Adalah ia sesuai? Walau bagaimanapun, jawapannya tidak mudah.

Di satu pihak, langkah-langkah ini memberikan kelegaan yang bermakna. Subsidi bahan api sedikit sebanyak membantu kos peralihan daripada harga minyak global kepada kos bahan api domestik. Tanpa subsidi kesan peralihan ini akan lebih teruk, seperti keadaan dalam video-video tular di negara-negara jiran, Thailand dan Filipina.

Bagi kebanyakan isi rumah dan perniagaan kecil, subsidi ini bertindak sebagai penimbal yang penting. Bantuan yang disasarkan juga membantu memastikan sokongan sampai kepada segmen masyarakat yang paling terkesan.

Namun, di satu pihak yang lain, langkah-langkah ini hadir dengan kekurangan. Subsidi menjadi lebih mahal apabila harga minyak mentah global meningkat. Ini memberi tekanan kos kepada kerajaan dan kewangan awam.

Langkah-langkah yang disasarkan tadi, mungkin menyebabkan sesetengah kumpulan berpendapatan sederhana berasa terhimpit. Dasar-dasar seperti bekerja dari rumah, walaupun membantu sektor-sektor tertentu, hanya menawarkan bantuan yang terhad kepada negara, memandangkan sebahagian besar ekonomi kita masih bergantung pada operasi fizikal.

Dalam erti kata lain, adalah terlalu mudah untuk menilai tindakan kerajaan sebagai betul atau salah. Realitinya, penggubal dasar dan orang ramai masing-masing bertindak balas terhadap kejutan luaran (external shock) yang sama.

Punca utamanya, ketidakstabilan geopolitik yang menjejaskan bekalan minyak global adalah di luar kawalan Malaysia. Apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan ialah menguruskan akibatnya, mengimbangi keperluan untuk melindungi rakyat, menyokong perniagaan setempat dan mengekalkan kemampanan fiskal.

Memandang ke hadapan, tumpuan kerajaan perlu beralih daripada langkah-langkah jangka pendek kepada daya tahan jangka panjang. Langkah sementara hanya untuk legeaan sementara, tidak lebih daripada itu. Cabaran yang lebih mendalam terletak pada mengurangkan pendedahan dan kebergantungan struktur ekonomi kita kepada turun naik harga minyak dunia.

Persoalannya ialah bagaimana? Ia perlu bermula dengan memikirkan semula kebergantungan terhadap bahan api fosil itu sendiri. Sistem ekonomi dan sosial Malaysia telah lama dibina berdasarkan bahan api dengan harga yang agak berpatutan.

Mengurangkan kebergantungan ini memerlukan perubahan secara beransur-ansur dan terancang seperti perancangan bandar yang lebih baik, pengangkutan awam yang lebih baik dan corak mobiliti yang lebih cekap. Ini bukanlah penyelesaian segera tetapi ia adalah langkah yang perlu ke arah masa depan yang lebih berdaya tahan.

Pengangkutan awam, khususnya, harus dilihat bukan sahaja sebagai infrastruktur tetapi juga sebagai dasar ekonomi. Sistem pengangkutan yang andal dan mudah diakses mengurangkan pergantungan pada kenderaan persendirian, mengurangkan kos bahan api isi rumah dan mengurangkan kesan kejutan minyak pada masa hadapan.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, terutamanya di luar pusat bandar utama, alternatif sedemikian masih terhad. Jadi, memperluaskannya adalah keutamaan pembangunan dan kos sara hidup rakyat.

Pada masa yang sama, pembaharuan subsidi mesti terus berkembang. Matlamatnya bukan sekadar untuk mengurangkan subsidi tetapi untuk menjadikannya lebih pintar. Melalui sasaran yang lebih baik, lebih cekap dan mampan dari segi fiskal. Bantuan langsung kepada mereka yang paling memerlukannya boleh memberikan perlindungan tanpa memberi tekanan yang berlebihan kepada kewangan negara.

Perniagaan juga mesti disokong bukan sahaja untuk terus beroperasi tetapi juga untuk menyesuaikan diri (adaptability). Insentif untuk kecekapan tenaga, penambahbaikan dalam logistik dan penggunaan teknologi hijau boleh membantu firma mengurangkan pendedahan mereka kepada kos bahan api dari semasa ke semasa. Pelarasan ini mampu mengukuhkan daya tahan melangkaui krisis semasa dan kejutan luaran.

Sama pentingnya ialah peranan fleksibiliti kerja. Penggubalan dasar harus membolehkan firma dan pekerja untuk menyesuaikan diri terhadap konflik ini melalui cara yang sesuai dan khusus bagi sektor mereka. Setiap sektor ekonomi berbeza pengoperasiannya. Oleh itu, pengaturan kerja hybrid dan waktu kerja fleksibel, haruslah khusus dan bukannya satu mandat untuk semua sektor.

Akhirnya, sebagai negara pengeluar minyak, Malaysia mempunyai peluang untuk menggunakan tempoh harga minyak dunia yang tinggi ini secara strategik. Hasil yang dijana semasa tempoh ini boleh disalurkan kepada pelaburan jangka panjang, sama ada dalam infrastruktur, peralihan tenaga atau penampan fiskal. Ini bakal membantu negara menahan kejutan masa hadapan dengan lebih baik.

Akhirnya, kejutan minyak semasa adalah peringatan tentang betapa saling berkaitnya dunia ini. Konflik yang berlaku jauh dari tanah air kita boleh mengubah impak realiti kehidupan seharian kita di rumah. Dalam mengharungi tempoh gawat ini, adalah penting untuk kita sedar bahawa akibat yang terhasil daripada konflik geopolitik ini adalah di luar kawalan kerajaan mahupun rakyat.

Sebaliknya, apa yang penting ialah bagaimana kita bertindak balas terhadapnya. Secara pragmatik, kolektif dan dengan pemahaman yang jelas tentang kesan yang terlibat. Bebannya adalah nyata dan ia perlu dikongsi bersama.

Walaupun tiada dasar yang boleh menghapuskan akibat kejutan minyak ini dengan sepenuhnya, tindakan yang bernas dan terukur daripada semua pihak, dapat memastikan ia kekal terurus.

Dalam kegawatan ini, daya tahan negara tidak dibina dalam sekelip mata tetapi setiap langkah yang diambil hari ini, sama ada oleh kerajaan, penggubal dasar, firma perniagaan atau isi rumah rakyat marhaen, ia bakal membantu membentuk sejauh mana kita bersedia untuk kejutan dan konflik seterusnya.