Berani bersuara, tapi beradablah

Kebebasan bersuara itu hak yang dijamin, namun apakah setiap kata yang melintas di fikiran perlu dilontarkan kepada dunia tanpa timbang rasa dan pertimbangan?

Poster Terkini (4)


PADA zaman serba laju ini, media sosial telah menjadi medan terbuka yang menyaksikan ledakan suara daripada pelbagai arah.

Suara marah, kecewa, sinis mahupun suara hati yang tidak sempat disaring oleh akal dan iman. Ruang maya kini berubah wajah menjadi gelanggang tanpa batas, tempat manusia melontar pendapat sewenangnya tanpa memikirkan kesan atau siapa yang bakal terluka.

Benar, kebebasan bersuara itu hak yang dijamin. Namun, apakah setiap kata yang melintas di fikiran perlu dilontarkan kepada dunia tanpa timbang rasa dan pertimbangan?

Dalam warisan Melayu yang penuh santun, kita diajar bahawa nilai budi jauh lebih tinggi daripada keberanian berkata-kata. Bukan semua yang kita rasa perlu dizahirkan dan bukan semua yang kita tahu perlu diumumkan.

Adab mendahului ilmu, hikmah mendahului hujah. Pepatah lama seperti ‘kerana mulut, badan binasa’ atau ‘cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar’ seolah-olah telah luput daripada pegangan sebahagian masyarakat hari ini.

Hakikatnya, kata-kata yang ditulis meskipun tanpa suara tetap mampu mencederakan dan apabila luka itu bersifat batin parutnya jauh lebih dalam dan meninggalkan kesan yang tidak mudah terpadam.

Agama pula sebagai tunjang akhlak tidak pernah membenarkan umatnya berbicara sesuka hati. Rasulullah SAW mengingatkan kita dalam hadis riwayat al-Bukhari (6018), “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka berkatalah yang baik atau diam.”

Dalam ajaran Islam, kebijaksanaan bukan diukur melalui banyaknya bicara tetapi pada sejauh mana seseorang mampu menahan lidah atau dalam konteks hari ini, menahan jarinya daripada menaip perkara yang tidak membawa manfaat.

Menegur itu perlu tetapi biarlah dengan kasih. Melontar pandangan itu wajar tetapi biarlah dengan hikmah. Mengaibkan bukan bentuk nasihat, menghina bukan lambang keberanian dan memalukan orang lain bukan satu bentuk kejujuran yang dianjurkan oleh agama, sebaliknya adalah bentuk kealpaan yang dibalut ego.

Ramai yang tersalah faham bahawa platform peribadi di media sosial memberi lesen untuk bercakap apa sahaja kononnya ‘ini ruang aku, ini hak aku’.

Namun, setiap patah perkataan yang kita pilih untuk dipamerkan di ruang awam sebenarnya menjadi cerminan siapa diri kita. Lebih daripada itu, ia memberi kesan rantaian. Apa yang ditulis boleh menyalakan api kemarahan, mengundang perdebatan toksik, malah menanam benih kebencian dalam hati yang belum sembuh.

Kata-kata buruk yang kita anggap kecil mungkin menjadi sebab seseorang hilang harapan, kepercayaan dan ketenangan. Maka janganlah terlalu bangga dengan tulisan yang mengundang tawa di satu pihak tetapi meninggalkan luka yang dalam di pihak yang lain.

Budaya Melayu mengangkat martabat bahasa dan menyanjung tinggi nilai santun. Dalam adat kita, tutur bicara bukan sekadar alat komunikasi tetapi juga lambang hormat, akal dan hati.

Menegur juga ada seninya iaitu disampaikan dengan lemah lembut, bertempat dan berhikmah. Begitu juga dalam nilai Islam. Kebenaran yang disampaikan tanpa adab hanya akan menjadi suara sumbang yang dibenci.

Alangkah ruginya jika niat menasihati tenggelam dalam nada menghukum. Lebih malang lagi apabila pendapat peribadi yang berbaur kebencian dianggap sebagai keberanian menegakkan prinsip. Tidak semua kebenaran perlu diumumkan secara terbuka apatah lagi dengan niat membakar dan mempermalukan.

Ruang maya sepatutnya menjadi wadah menyemai kasih sayang, tempat memperluas kefahaman dan mempererat silaturahim tetapi jika kita sendiri memilih untuk menjadikannya tempat melampiaskan amarah, siapa yang sebenarnya sedang kita sakiti? Orang lain? Atau diri sendiri yang sedang tenggelam dalam ilusi kebenaran mutlak?

Fikirkan, adakah tulisan ini akan menyembuhkan atau menyakitkan? Adakah kata-kata ini akan membina atau meruntuhkan? Kalau hanya akan membakar, mengapa perlu dicetuskan? Kalau hanya akan memecahbelahkan, mengapa perlu dipertahankan?

Akhir kata, marilah kita kembali kepada asas kehidupan yang sebenar iaitu nilai budi, timbang rasa dan iman yang murni. Kebebasan bersuara bukan lesen mencaci.

Pandangan kita bukan mutlak benar dan tidak semua perbezaan perlu dijadikan medan pertempuran. Biarlah tulisan kita menjadi sumber cahaya, bukan bayang-bayang yang menyesatkan.

Dalam dunia yang sudah cukup bising dengan suara kebencian, jadilah insan yang memilih untuk berdiam ketika perlu dan bersuara hanya apabila kata-kata itu mampu menyembuhkan. Itu bukan kelemahan, itu adalah kekuatan sebenar seorang manusia berakal.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.