Implikasi negatif bahana fitnah
Fitnah dianggap sebagai dosa besar kerana ia boleh merosakkan hubungan antara individu dan memporak-perandakan masyarakat.

FITNAH atau menyebarkan maklumat palsu dan memutarbelitkan fakta merupakan suatu bentuk jenayah moral yang serius.
Dalam Islam, fitnah dianggap sebagai dosa besar kerana ia boleh merosakkan hubungan antara individu dan memporak-perandakan masyarakat.
Rasulullah SAW bersabda: “Akan muncul suatu zaman yang ilmu Islam dihapuskan, muncul berbagai-bagai fitnah, berleluasanya sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah.” (HR Muslim).
Hadis ini menggambarkan betapa besar bahaya dan kesan buruk fitnah yang bukan sahaja mengancam kesejahteraan sosial tetapi juga menjatuhkan integriti individu dan organisasi.
Implikasi negatif bahana fitnah adalah boleh memusnahkan reputasi dan menghancurkan maruah seseorang tanpa bukti kukuh.
Bahkan dalam al-Quran, Allah SWT menegaskan dalam Surah al-Hujurat ayat 12: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?”
Ayat ini mengingatkan kita bahawa perbuatan yang tidak berasas, termasuklah menyebar fitnah adalah haram dan ditegah serta boleh mengundang dosa besar.
Fitnah ibarat bau busuk tidak berbangkai adalah salah satu musibah terbesar dalam masyarakat kerana ia menyerang asas kepercayaan dan kebenaran.
Setiap kali fitnah tersebar, ia mengganggu gugat kedamaian dan keadilan. Hakikat ini mengingatkan kita bahawa fitnah bukan sahaja menjejaskan individu tetapi membawa kerosakan kepada keseluruhan komuniti.
Contoh pendekatan yang terhampir adalah di tempat kerja, budaya fitnah boleh menghancurkan sinergi dan menyebabkan konflik yang merosakkan produktiviti serta moral pekerja. Kesan fitnah yang dilemparkan kepada seseorang, lazimnya sukar dibendung dan sukar dijernihkan.
Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi juga memberi peringatan tentang bahayanya fitnah dalam masyarakat berdasarkan kepada hadith Ali bin Abi Thalib, “Barang siapa menyalakan api fitnah, maka dia sendiri yang akan menjadi bahan bakarnya.”
Beliau berkata, “Fitnah itu seperti api; ia akan terus membakar selagi ada bahan bakar. Apabila kita menyebarkannya, kita menambah bahan bakar untuk kebinasaan sendiri.”
Kata-kata beliau ini jelas menunjukkan bahawa fitnah memerlukan tindakan yang tegas untuk mengelakkan kemusnahan yang lebih besar.
Untuk mengatasi budaya fitnah, integriti mesti dipupuk dalam setiap lapisan masyarakat dan organisasi. Allah SWT berfirman dalam surah an-Nur, ayat 19: “Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersiar dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan di akhirat, dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
Ayat ini memberi amaran keras kepada mereka yang suka menyebarkan berita palsu dan menjatuhkan maruah serta aib orang lain.
Kepentingan menjaga integriti dalam masyarakat dan organisasi adalah amat penting. Ini kerana kepercayaan adalah kunci kepada masyarakat dan organisasi yang stabil. Tanpa integriti, kita kehilangan kepercayaan dan ini membawa kepada kepincangan dalam hubungan sesama manusia.
Bagi memulihkan masyarakat dan organisasi daripada keburukan fitnah, setiap individu perlu memainkan peranan dengan meningkatkan integriti diri dan mengelakkan diri daripada menjadi agen penyebar fitnah.
Terapkan budaya memastikan kesahihan maklumat terhadap apa-apa juga maklumat atau berita yang diterima, sumber dan penyampainya.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 6: “Wahai orang yang beriman, jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya agar kamu tidak mendatangkan musibah kepada suatu kaum dengan perkara yang tidak diingini disebabkan oleh kejahilan kamu sehingga akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu.”
Peringatan tegas ini menunjukkan bahawa kebenaran serta kesahihan maklumat adalah sangat penting untuk menghindari dari celaan fitnah.
Di peringkat organisasi, dasar yang jelas untuk menangani aduan berkaitan fitnah telah pun diwujudkan oleh Unit Integriti Kementerian Perpaduan Negara.
Unit ini ditubuhkan bertujuan untuk memastikan penjawat awam mengamalkan budaya kerja unggul dengan ciri-ciri moral dan etika yang kukuh serta meningkatkan semangat patriotisme.
Organisasi yang mengamalkan dasar integriti yang ketat dan adil lebih berjaya dalam memastikan pekerja kekal produktif dan mempunyai suasana kerja yang harmoni.
Kesimpulannya, fitnah adalah ancaman serius kerana ia berpotensi memusnahkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.
Dengan menanamkan nilai integriti serta mematuhi ajaran agama dalam bertingkah, kita dapat mengelakkan diri daripada menjadi penyebar fitnah.
Daripada Abu Hurairah R.A., bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah berkatalah yang baik atau diam.”
Ajaran ini menjadi panduan penting dalam menjaga keharmonian sosial, di mana tindakan yang beretika, jujur dan penuh integriti adalah kunci dalam membendung fitnah.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.