Semarak cinta sejarah dalam kalangan murid SK Brickfields 2

Mahasiswa Jabatan Sejarah, Universiti Malaya mengambil inisiatif menganjurkan program interaktif dalam usaha menyemai minat terhadap sejarah sejak usia muda.

Poster Terkini (1)

Oleh: DR. SITI NOR AISYAH NGADIRAN
Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Univeriti Malaya

KUALA LUMPUR, 28 Mei 2025 – Sekumpulan mahasiswa Jabatan Sejarah, Universiti Malaya telah mengambil inisiatif menganjurkan program interaktif bersama murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Brickfields 2 pada 19 Mei lalu, dalam usaha menyemai minat terhadap sejarah sejak usia muda.

Program tersebut dilaksanakan di bawah inisiatif Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM), yang menggabungkan pembelajaran akademik dan khidmat masyarakat sebagai pendekatan pembelajaran holistik.

Pengarah Projek, Muhammad Khairul Haniff Abdullah berkata, program itu membuka ruang kepada mahasiswa untuk menyumbang secara langsung kepada pendidikan asas negara melalui pendekatan yang menyeronokkan dan berorientasikan murid.

“Kami ingin menunjukkan bahawa sejarah bukan hanya tentang menghafal fakta tetapi satu perjalanan untuk memahami identiti dan jati diri bangsa. Apabila murid-murid terlibat secara aktif, mereka lebih mudah menghayati nilai sejarah,” katanya.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk aktiviti mencari harta karun bertemakan sejarah, kuiz, aktiviti meneka tokoh sejarah, nyanyian lagu patriotik serta aktiviti Create A Country yang mengasah kepimpinan dan semangat kerja berpasukan.

Program ini turut memperkenalkan semula permainan tradisional seperti congkak, wau, gasing dan batu seremban sebagai usaha menghidupkan semula warisan budaya tempatan serta menggalakkan interaksi sosial yang sihat dalam kalangan murid.

Guru-guru yang terlibat menyatakan bahawa pendekatan luar bilik darjah tersebut berjaya menarik minat murid, sekali gus menjadikan proses pengajaran lebih berkesan dan bermakna.

Berdasarkan penilaian sebelum dan selepas program, terdapat peningkatan ketara dalam tahap pengetahuan sejarah serta keterlibatan murid dalam pembelajaran.

Selain memberi impak positif kepada pelajar sekolah, inisiatif ini juga memperkasakan kemahiran insaniah mahasiswa, khususnya dalam aspek komunikasi, kepimpinan dan pengurusan projek.

Program seumpama ini mencerminkan bagaimana institusi pengajian tinggi dapat memainkan peranan aktif dalam membentuk masyarakat berilmu dan berbudaya, di samping memupuk rasa bangga terhadap sejarah negara dalam kalangan generasi muda.