Hijrah permulaan untuk kembali kepada yang asas
Pada permulaan Tahun Baru Hijrah ini, marilah kita mengambil iktibar daripada Mu’akhah yang diasaskan oleh Rasulullah SAW.

PERISTIWA Hijrah Nabi Muhammad SAW merupakan tonggak bersejarah penting dalam Islam, menandakan peralihan ketara umat Islam daripada kelemahan kepada kekuatan dan daripada kezaliman serta penindasan kepada keadilan dan kesaksamaan.
Menerusi hijrah ini, dakwah Islam tersebar luas, membolehkan nama Allah SWT disebut di mana-mana. Namun, di sebalik catatan sejarah dan keajaiban strategi, terdapat satu nilai yang sangat besar yang wajar direnungi semula dalam konteks masyarakat kita hari ini iaitu nilai yang dinamai Mu’akhah.
Hijrah bukan sekadar sebuah perpindahan fizikal daripada Mekah ke Madinah. Ia adalah permulaan untuk meletakkan asas bagi sebuah masyarakat baharu, masyarakat yang berteraskan kasih sayang, keadilan dan tanggungjawab sosial.
Salah satu perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW setelah sampai ke Madinah ialah mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar.
Mereka datang daripada latar belakang yang berbeza, bahkan budaya dan kepentingan hidup yang tidak serupa. Namun atas dasar iman dan ukhuwwah, mereka dipersatukan dengan ikatan yang melebihi persaudaraan darah.
Kaum Muhajirin, yang meninggalkan segala harta dan tanah air di Mekah, disambut oleh kaum Ansar bukan hanya dengan tangan terbuka tetapi dengan hati yang sanggup berkongsi apa sahaja yang dimiliki.
Ada yang menawarkan rumah, ada yang berkongsi ladang dan hasil usaha, dan ada yang sanggup melepaskan hak milik demi kelangsungan saudara baharu mereka.
Semangat Mu’akhah ini bukan semata-mata nilai spiritual tetapi asas kepada kestabilan sosial dan kekuatan ummah yang baharu dibina di Madinah.
Nilai inilah yang sepatutnya menjadi pedoman dalam masyarakat majmuk kita hari ini. Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, etnik, agama dan bahasa.
Dalam suasana sebegini, rasa perbezaan itu kadangkala menjadi punca prasangka dan kerenggangan. Adakalanya kita hidup bersebelahan tetapi tidak benar-benar mengenali.
Ada waktunya kita berkongsi ruang yang sama, tetapi menilai sesama kita melalui lensa stereotaip dan syak wasangka.
Mu’akhah mengajar kita untuk keluar daripada zon selesa dan membina kepercayaan merentasi batas perbezaan. Ia bukan sekadar hidup bersama, tetapi saling menyokong dan memelihara.
Ini bukan suatu idealisme yang tidak realistik kerana ia pernah berlaku dan telah dibuktikan keberkesanannya oleh Rasulullah SAW lebih 1,400 tahun dahulu.
Hijrah juga adalah pengajaran bahawa perpaduan tidak datang dengan sendiri. Ia memerlukan pimpinan yang bijaksana, masyarakat yang bersedia melepaskan ego dan sistem yang memberi ruang untuk nilai-nilai keadilan dan kasih sayang itu tumbuh.
Dalam konteks negara kita, ini bermakna kita perlu kembali kepada yang asas, bukan sahaja dari segi sistem politik dan ekonomi, tetapi juga dalam hubungan sesama insan.
Pada permulaan Tahun Baru Hijrah ini, marilah kita mengambil iktibar daripada Mu’akhah yang diasaskan oleh Rasulullah SAW.
Ia adalah formula yang terbukti mampu menghapuskan jurang sosial, memperkukuh jaringan komuniti dan meletakkan asas kepada masyarakat yang bertamadun.
Kita perlu memulakan fasa baharu ini dengan semangat saling memahami, saling melindungi dan saling mempercayai, walaupun kita datang daripada latar belakang yang berbeza.
Seluruh rakyat Malaysia diseru untuk mengibarkan panji-panji kasih sayang dan kerjasama sesama kita. Inilah cara terbaik untuk menghadapi cabaran zaman dan menghapuskan akar umbi kerosakan dalam negara tercinta ini, baik dari aspek politik, ekonomi, sosial dan yang paling penting, dari sudut akhlak dan agama.
Semoga 1447 Hijrah ini menjadi permulaan kepada penghijrahan hati dan sikap kita semua ke arah yang lebih harmoni dan sejahtera.
Selamat Tahun Baru Hijrah.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.