Gentari dan UTP Perkukuh Usaha Pensolaran Kampus

Image 3 - Gentari x UTP

KUALA LUMPUR, 28 OGOS 2026 – Syarikat penyelesaian tenaga bersih, Gentari, menerusi Gentari Renewables Sdn Bhd, telah menyiapkan Fasa 2 projek solar atas bumbung di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), sekali gus memperluaskan kapasiti tenaga boleh diperbaharui di lokasi universiti tersebut.

Pemasangan terkini ini menambah sistem fotovoltaik (PV) solar berkapasiti 306.8 kilowatt (kW) di Bangunan Penyelidikan dan Pembangunan UTP, melengkapkan sistem solar atas bumbung sedia ada berkapasiti 7.4 megawatt (MW) yang dipasang di Kompleks Canselori dan laluan berbumbung kampus semasa Fasa 1 pada tahun 2022.

Secara keseluruhan, kedua-dua fasa tersebut menjadikan kapasiti solar atas bumbung terpasang UTP mencecah 7.7 MW, sekali gus meletakkan UTP antara kampus universiti di Malaysia yang memiliki kapasiti solar di lokasi yang signifikan. Kedua-dua fasa dilaksanakan menerusi Perjanjian Pembelian Tenaga Solar (SPPA) selama 21 tahun, di mana Gentari bertanggungjawab mereka bentuk, membiayai, memasang dan mengendalikan kemudahan solar tersebut, sekali gus membolehkan penjanaan tenaga bersih untuk menyokong keperluan kampus.

Sehingga kini, sistem PV solar UTP telah menjana lebih daripada 43.5 juta kWh tenaga elektrik bersih, sekali gus mengurangkan kira-kira 29,000 tan karbon dioksida setara (tCOe) pelepasan setiap tahun.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan dan Ketua Negara Malaysia Gentari, Shah Yang Razalli, berkata, “Projek ini menunjukkan apa yang boleh dicapai menerusi kerjasama tenaga boleh diperbaharui jangka panjang yang disokong oleh kepakaran teknikal, pelaksanaan yang berdisiplin dan komitmen bersama. Penyempurnaan Fasa 2 membuktikan kekuatan kerjasama kami dengan UTP, dan kami kekal komited untuk menyediakan penyelesaian tenaga bersih yang menyokong objektif jangka panjang universiti.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UTP, Ir. Mohamed Firouz Asnan, berkata, “Penyempurnaan Fasa 2 menandakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan Kampus Rendah Karbon UTP dan mengukuhkan komitmen kami untuk menerapkan kelestarian dalam operasi kampus, selaras dengan agenda kelestarian UTP yang lebih luas serta menyumbang kepada aspirasi Pelepasan Karbon Sifar Bersih PETRONAS menjelang tahun 2050.”

“Selain memperluaskan kapasiti tenaga boleh diperbaharui kami, inisiatif ini mengukuhkan peranan UTP sebagai makmal hidup untuk pendidikan, penyelidikan dan inovasi, dengan menyediakan peluang pembelajaran berasaskan aplikasi, penyelidikan dan kerjasama industri kepada pelajar serta penyelidik menggunakan infrastruktur tenaga boleh diperbaharui dunia sebenar. Kami menghargai kerjasama dengan Gentari, yang komitmennya yang berterusan telah membantu menterjemahkan aspirasi kelestarian kami kepada hasil yang nyata.”

Projek Fasa 1 yang disiapkan pada April 2022 telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai pemasangan solar atas bumbung tunggal terbesar di negara ini. Merangkumi keluasan 36,000 meter persegi, bersamaan kira-kira lima padang bola sepak, projek tersebut menjadi asas kepada usaha pensolaran kampus UTP secara menyeluruh.