Menonton filem di pawagam, menggapai harapan menelusuri zaman?
Jika filem yang ditayangkan bertepatan dengan cita rasa penonton maka akan berbondong-bondong lah khalayak penonton.

PAWAGAM merupakan salah satu tempat kunjungan yang popular bagi aktiviti hiburan keluarga terutamanya peminat filem tempatan mahupun dari luar negara. Golongan peminat tegar tidak akan sesekali melepaskan peluang untuk menghadirkan diri di pawagam bagi menonton filem kesukaan mereka tatkala sudah sekian lama menantikan sejurus penerbitannya.
Masing-masing mahu merasai pengalaman yang cuba diangkat oleh sesebuah filem dalam keadaan yang sempurna dari sudut kualiti gambar, unsur bunyi, latar pencahayaan, kesesuaian ruangan dan ketersediaan dalam tontonan demi melahirkan definisi penghayatan yang sebenar.
Suasana amat penting jika seseorang itu cuba untuk memberikan tumpuan perhatian tanpa pengecualian dalam memahami maksud terkandung di sebalik penghasilan dan buah fikiran yang cuba dilayarkan.
Mengimbau kenangan menonton buat pertama kali di pawagam ketika usia menginjak remaja sekitar awal tahun 1990-an, ternyata besar perbezaannya jika dibuat perimbangan dengan suasana kini.
Masih terngiang-ngiang lagi suasana menonton filem Police Story 3 iaitu filem aksi yang dibintangi pelakon yang terkenal dengan seni mempertahankan diri, Jackie Chan.
Lebih menimbulkan kecenderungan apabila Malaysia dijadikan salah satu lokasi set penggambaran untuk beberapa babak filem berkenaan dipelbagai lokasi berbeza dan sudah semestinya filem ini berupaya menarik minat masyarakat Malaysia ketika itu untuk bergerak menonton malah berbangga dengan pemilihan Malaysia sebagai lokasi penggambaran oleh penggiat filem antarabangsa.
Antara pawagam yang terbilang suatu masa dahulu adalah seperti Cathay, Odeon, Capitol, Rex, Federal, Coliseum dan beberapa lagi nama yang seangkatan dengannya.
Kebanyakkannya beroperasi dibangunan khusus tidak seperti hari ini yang rata-ratanya beroperasi di pusat beli-belah bagi manyasarkan tumpuan khalayak ramai di kota-kota besar.
Yang nyata, menonton filem di pawagam bukanlah ringkas seperti hari ini. Ia bukan dianggap sebagai aktiviti biasa tetapi lebih dari itu. Antaranya, persediaan perlu dilakukan dengan cara yang agak sedikit berbeza memandangkan zaman tersebut atur cara teknologi masih belum wujud dalam menyampaikan maklumat filem-filem terbaru di pawagam.
Maka, akhbar adalah jawapan yang mudah untuk membuat rujukan. Hebahan awal berhubung kemunculan filem dipawagam berdekatan diperolehi dari akhbar tempatan. Dapatan maklumat bersandarkan poster filem yang disediakan lengkap dengan nama pawagam dan lokasi mengikut negeri.
Sehinggakan mata kian mengecil menatap untuk memerhatikan waktu tayangan dan pawagam yang dijadualkan, ekoran ruangan yang agak terhad di paparan iklan.
Apabila kita membahaskan perihal pawagam, kita tidak dapat mengalihkan pandangan daripada turut memperluaskan kupasan tentang kemampuan kandungan yang dibawa iaitu filem. Pawagam dan filem sentiasa berangkaian dalam membina naratif tontonan.
Jika filem yang ditayangkan bertepatan dengan cita rasa penonton maka akan berbondong-bondong lah khalayak penonton.
Begitu juga dengan tahap keselesaan pawagam dari sudut perkhidmatan, jarak lokasi, kepelbagaian tawaran atau promosi, harga tiket dan sebagainya. Dinamika corak pola tontonan sentiasa saling mempengaruhi berpandukan dua faktor tersebut jika ditelesuri berdasarkan pengalaman.
Umum mengetahui bahawa aspek kualiti dan kuantiti filem yang diterbitkan mempengaruhi daya gerak pawagam. Kualiti filem secara asasnya dapat diukur melalui sudut jalan cerita, lakonan, kehalusan seni, olahan artistik dan gaya kreativiti mencapai tahap yang diidamkan.
Manakala kuantiti filem dengan pembikinan pelbagai genre yang mengikut selera penonton seperti komedi, adiwira, animasi, seram dan aksi mampu digalas penerbitannya dengan rancak mengikut peredaran semasa.
Tidak terhad dalam mendepani kualiti dan kuantiti tetapi filem juga harus meletakkan sasaran penonton sebagai bukti kecemerlangan dalam menterjemahkan keupayaan menarik minat penonton ke pawagam.
Tanda kecemerlangan filem di Malaysia bukan hanya terletak dengan kejayaan merangkul anugerah di festival atau acara filem semata-mata tetapi jumlah kutipan tiket dipawagam juga merupakan keutamaan sebagai pembuktian sokongan atau penanda aras kejayaan naskah filem.
Namun, mampukan adunan formula kualiti dan kuantiti menjadi kayu ukur yang jujur terhadap penerimaan masyarakat di pawagam.
Menyingkap perihal pawagam berdasarkan pandangan peribadi, pada awalnya pawagam bukan sahaja merupakan tempat untuk menonton filem terkini tetapi juga antara pilihan untuk mendapatkan suasana menonton yang berbeza dari televisyen yang ada di rumah.
Menonton di pawagam juga merupakan antara aktiviti positif bersama rakan taulan sambil menyelinap dari kepenatan di tempat kerja ataupun mencari alasan untuk pergi ke bandar dengan tujuan tertentu. Walaupun memerlukan kos tambahan, namun peluang untuk bergaul dengan rakan-rakan turut menjadikan pawagam tempat tumpuan.
Kini, kesediaan pawagam dalam mempelopori kepelbagaian genre filem sememangnya menjadi keutamaan senada dengan kepesatan dan kemajuan teknologi digital bagi menghasilkan gambar imej bergerak dengan lebih realistik.
Genre-genre yang sangat mendambakan kecanggihan teknologi siaran seperti filem aksi, seram dan animasi terutamanya harus lebih cenderung untuk mempertingkatkan kecerdasan persembahan dan aspek komersial dalam memadai selera penonton yang senantiasa bersifat unik dan matang dalam membuat penilaian.
Filem yang dihasilkan bukan sahaja berpegang pada pertimbangan seni semata-mata tetapi wajar dengan tunjangan dan keupayaan pawagam untuk menyokong kualiti persembahannya dengan teknologi yang mutakhir.
Tidak salah jika dikatakan bahawa pawagam akan senantiasa berevolusi dalam memikirkan pendekatan baharu seiring dengan kepesatan teknologi visual sebagai usaha melonjakkan jumlah penonton.
Pendekatan karya seni dan tawaran kepuasan menonton dipawagam harus seiring bagi mengimbangi sambutan penonton.
Sukar dinafikan bahawa perubahan gaya hidup dan kemajuan teknologi menyumbang kepada peralihan corak tontonan.
Dengan kata mudah, individu mampu untuk menonton pelbagai filem melalui pelbagai platform media digital walaupun sedikit lewat dari tayangan di pawagam. Malah keistimewaan menonton di rumah bersama keluarga manjadikannya lebih selesa tanpa perlu memperuntukan waktu pergi ke pawagam.
Berbeza dengan keadaan dahulu iaitu jika terlepas peluang untuk menonton filem dipawagam maka kita harus menunggu filem berkenaan bersiaran di kaca televisyen tanpa mampu untuk meneka bilakan filem berkenaan akan dijadualkan menerjah di kaca televisyen rumah anda.
Kesimpulannya, pihak industri perfileman dan pihak pawagam harus menggalas cabaran dalam menangani persepsi yang terus menghimpit iaitu berkaitan dengan kesukaran untuk memperoleh bilangan khalayak tontonan yang diidamkan atas pelbagai faktor yang mendasarinya.
Sungguhpun jatuh bangunnya sesebuah filem itu lazimnya dikaitkan dengan olahan cerita atau naratif filem berkenaan secara lantas namun rangka rujukan pawagam juga harus diambil peduli. Ini adalah kerana galur dinamika pawagam seringkali terlihat seiring dengan kecemerlangan industri perfileman.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.