UiTM Negeri Sembilan pacu ekosistem keusahawanan berteras inovasi tempatan

Menerusi lawatan kerja strategik ke Institut Keusahawanan Negara dan Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation.

Feature Image

KUALA LUMPUR, 29 Januari 2026 — Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau mengambil langkah proaktif memperkukuh pembangunan ekosistem keusahawanan berteras inovasi tempatan menerusi lawatan kerja strategik ke Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI).

Lawatan itu bertujuan memastikan perancangan strategik fakulti selari serta menyokong usaha kerajaan dalam membangunkan ekosistem inovasi dan keusahawanan negara, selain memacu pertumbuhan ekonomi yang inklusif.

Ketua Pusat Pengajian FPP UiTM Negeri Sembilan, Farrah Othman berkata perancangan strategik fakulti bagi tahun 2026 memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan ekosistem inovasi keusahawanan yang mampan dan berimpak tinggi.

Beliau berkata cabaran utama inisiatif berkenaan adalah untuk menggerakkan anjakan paradigma mahasiswa ke peringkat global dengan mengintegrasikan agenda pembuat dasar melalui kerjasama bersama agensi seperti INSKEN dan MRANTI.

“Melalui gabungan usaha antara pembuat dasar dan universiti yang memikirkan semula peranan institusi pengajian tinggi untuk abad ke-21, perubahan yang signifikan dapat direalisasikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, delegasi lawatan, Profesor Madya Dr Siti Sara Ibrahim berkata universiti perlu dilihat sebagai institusi yang berhubung rapat dengan realiti dan cabaran sebenar yang dihadapi komuniti setempat, bukan sekadar ‘menara gading’.

Menurut beliau, impak pendidikan universiti bukan sahaja diukur berdasarkan kecemerlangan penyelidikan dan kedudukan global, malah turut merangkumi sumbangan kepada pembangunan ekonomi negara.

Sepanjang lawatan berkenaan, pelbagai perkara melibatkan program strategik bersama antara universiti, agensi dan masyarakat telah dibincangkan bagi mengukuhkan ekosistem inovasi keusahawanan melalui kerjasama rakan kongsi dan pemegang taruh.

Perbincangan itu turut menekankan keperluan mengenal pasti cabaran tempatan, mengoptimumkan sumber sedia ada serta membangunkan penyelesaian bersama yang berfokus kepada pembangunan ekonomi berasaskan tempat.

Lawatan tersebut juga merumuskan bahawa kerjasama strategik antara universiti dan agensi berkaitan mampu memangkinkan inovasi responsif setempat serta pembangunan ekonomi, sekiranya disokong oleh dasar, pelaburan dan sokongan yang bersesuaian.

Dalam pada itu, kedua-dua agensi mencadangkan agar fakulti menggerakkan perubahan budaya institusi dengan menekankan nilai pemikiran inovasi keusahawanan yang selari dengan nilai akademik, termasuk melalui pembangunan profesional warga akademik dan kakitangan universiti.

Lawatan berkenaan turut disertai beberapa tenaga akademik lain daripada Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Negeri Sembilan dan diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pengukuhan ekosistem keusahawanan demi manfaat negara secara keseluruhan.