Mahasiswa UM ‘mengukur’ pantai Langkawi
Menilai lokasi-lokasi kawasan kajian yang spesifik, kawasan penginapan yang bersesuaian dan meninjau potensi kerjasama dengan beberapa agensi tempatan.
KUALA LUMPUR, 29 Mei 2026 – Deruan ombak, angin bayu berhembus serta barisan gunung tersergam megah telah menjadi saksi kepada pengembaraan akademik serta komitmen yang ditunjukkan oleh para pelajar Sarjana Muda Program Alam Sekitar, Jabatan Geografi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.
Sekumpulan pelajar tersebut telah meneroka Langkawi dengan membawa bukan sahaja peralatan kajian lapangan dan bahan penyelidikan, tetapi juga seribu satu rasa ingin tahu, keterujaan dan keinginan untuk merasai pembelajaran di luar dewan kuliah. Program telah berlangsung selama 7 hari 6 malam yang bermula pada 25 April 2026 hingga 1 Mei 2026.
Pemilihan Langkawi sebagai destinasi kajian lapangan telah dipertimbangkan dengan teliti oleh pensyarah pengiring iaitu Dr. Amirah Sariyati Mohd Yahya dan Dr. Nur Syabeera Begum Nasir Ahmad. Lawatan awal ke tapak kajian lapangan telah dilakukan oleh mereka berdua pada 14 dan 15 Disember 2025.
Tujuan lawatan awal dilakukan adalah untuk menilai lokasi-lokasi kawasan kajian yang spesifik, kawasan penginapan yang bersesuaian dan meninjau potensi kerjasama dengan beberapa agensi tempatan. Perancangan yang rapi adalah penting untuk memastikan setiap aktiviti selaras dengan hasil pembelajaran kursus.
Sepanjang tujuh minggu sebelum berangkat, para pelajar dan pensyarah pengiring giat menjalankan persiapan daripada pelbagai aspek. Persiapan termasuklah pengaturan pengangkutan, usaha mencari dana tambahan serta mendapatkan persetujuan daripada beberapa agensi kerajaan yang terlibat.
Selain itu, pelajar juga didedahkan dengan pelbagai ilmu menganalisis data serta beberapa teknik yang perlu diaplikasikan semasa berada di lapangan sebenar. Hal ini adalah seperti penggunaan perisian ArcGIS Pro, “Statistical Package for the Social Sciences” (SPSS) dan kaedah pengukuran profil pantai.

Pengembaraan para pelajar ke Langkawi bermula pada 25 April 2026. Perjalanan mengambil masa kira-kira enam jam untuk mereka tiba di Jeti Kuala Perlis. Seterusnya perjalanan diteruskan dengan menaiki feri menuju ke Jeti Kuah. Peralihan dari tanah besar ke pulau menandakan permulaan persekitaran pembelajaran baharu.
Setibanya di Jeti Kuah, dua buah bas sudah menanti untuk membawa para pelajar menuju ke tempat penginapan mereka iaitu Geopark Homestay. Ketibaan mereka pada malam itu disambut oleh hujan renyai di seluruh pulau dan menamatkan perjalanan hari pertama yang panjang.
Keesokan paginya secara rasmi menandakan permulaan aktiviti akademik. Sebuah sesi seminar yang bertajuk “Executive Talk: Langkawi and Its Coastal Environment” bertempat di Dewan Auditorium Angkatan Pertahanan Malaysia, Jalan Ayer Hangat, Langkawi.
Seminar ini telah melibatkan sekitar 90 orang peserta termasuk 66 orang pelajar, dua orang pensyarah pengiring serta pegawai-pegawai kanan dari pelbagai Agensi Kerajaan seperti Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah (JAS Kedah); Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah Cawangan Langkawi, Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) serta Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA). Program ini telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah, Puan Sharifah Zakiah Syed Sahab.
Para pelajar didedahkan dengan amalan tadbir urus dan pengurusan alam sekitar di Langkawi oleh agensi-agensi yang berkaitan. Mereka juga telah diberi peluang untuk berinteraksi secara langsung bersama para pegawai yang memberi taklimat melalui sesi soal jawab.
Pantai Tanjung Rhu menjadi destinasi para pelajar pada hari seterusnya. Pelajar telah menjalankan kajian morfologi pantai di kawasan persisiran pantai tersebut. Di sini, mereka mempelajari dan mempraktikkan kaedah mengukur profil pantai, frekuensi ombak serta ketinggian ombak dalam kumpulan masing-masing. Melalui penggunaan peralatan lapangan, mereka telah mengaplikasikan teknik-teknik yang telah dipelajari lebih awal semasa kuliah persediaan.
Selesai tugasan di Tanjung Rhu, perhatian pelajar beralih pula ke Pantai Cenang bagi kajian lapangan pengurusan sisa. Pelajar menjalankan aktiviti pengutipan, pengasingan serta menimbang sisa yang terkumpul. Hubungan antara aktiviti pelancongan dan kemampanan alam sekitar di Langkawi daripada aspek penghasilan sisa serta kebersihan pantai cuba dijawab melalui aktiviti ini.

Selain itu, para pelajar dapat menilai secara kritis keseimbangan antara pembangunan pelancongan dan pemuliharaan alam sekitar di salah sebuah destinasi tumpuan utama di Malaysia.
Pada hari keempat iaitu pada 28 April 2026, pengembaraan penuh semangat diteruskan dengan aktiviti “field validation”. Sebelum kajian lapangan di Langkawi bermula, para pelajar telah menyediakan peta litupan tanah bagi seluruh kawasan Langkawi pada tahun 1994, 2004, 2014 dan 2024 melalui penggunaan perisian ArcGIS Pro. Pelajar telah pergi ke beberapa lokasi terpilih seperti Kubang Badak bagi mengesahkan ketepatan data ruangan dan tafsiran penggunaan tanah yang telah mereka hasilkan.
Selain daripada analisis fizikal dan ruangan, pelajar juga didedahkan kepada kaedah penyelidikan sosial. Borang soal selidik yang bertajuk Persepsi Komuniti Setempat Terhadap Aktiviti Pelancongan di Pulau Langkawi, Kedah telah diedarkan di beberapa lokasi termasuk, Dataran Lang dan Pantai Cenang.
Melalui interaksi secara langsung dengan komuniti tempatan, pelajar memperoleh pengalaman dalam komunikasi bagi mendapatkan maklumat daripada responden. Setelah beberapa hari menjalankan aktiviti pengumpulan data di lapangan, para pelajar telah diberikan masa selama sehari untuk bekerja di dalam kumpulan yang telah ditetapkan bagi menganalisis data yang terkumpul. Mereka diminta untuk membincangkan dapatan serta menyediakan pembentangan bagi sebuah sesi simposium mini.
Simposium yang bertajuk “Mini Symposium: Transformation of Theory to Field Analysis” ini telah menjadi kemuncak kepada kajian lapangan di Langkawi ini, di mana setiap kumpulan perlu membentangkan dapatan penyelidikan secara akademik. Suasana sepanjang simposium adalah begitu interaktif dan sarat dengan ilmu-ilmu baharu.
Para pelajar dengan yakin membentangkan analisis data mereka. Pensyarah pengiring dan rakan-rakan mengajukan soalan-soalan berkaitan serta komen yang sangat membina. Sesi simposium bukan sahaja telah mengukuhkan pemahaman akademik, tetapi juga telah membangunkan keyakinan serta pemikiran kritis dalam kalangan pelajar.
Setelah program tamat, pelajar diberi masa oleh pensyarah pengiring untuk menerokai Langkawi sebelum bersedia untuk pulang ke Kuala Lumpur keesokan harinya. Pengembaraan anak-anak muda jurusan alam sekitar ini di Langkawi berakhir pada 1 Mei 2026.
Kajian lapangan yang berlangsung selama tujuh hari enam malam ini telah menunjukkan bahawa pembelajaran tidak terhad hanya kepada buku atau di dalam dewan kuliah. Penerokaan ini lebih daripada sekadar sebuah lawatan akademik dan Langkawi bukan hanya sebuah destinasi pelancongan kepada para pelajar.
Ia merupakan makmal hidup yang penuh dengan ilmu pengajaran, pengalaman serta kenangan yang akan kekal bersama mereka untuk dibawa pulang bersama.
