Penemuan terbaharu rawatan kanser prostat dengan perubatan nuklear
Sempena Bulan Kesedaran Kanser Prostat ini dan seterusnya, perhatian diberikan kepada bagaimana perubatan nuklear dapat mengubah kadar kelangsungan hidup serta kualiti hidup pesakit.

SEORANG pesakit lelaki berusia 72 tahun pada awalnya menyangka kesukaran menikmati aktiviti harian seperti berkongsi hidangan bersama keluarga atau bermain golf bersama rakan adalah sebahagian daripada proses penuaan.
Namun, simptom refluks berterusan dan muntah yang tiada penjelasan akhirnya membawa kepada diagnosis serius iaitu kanser prostat tahap lanjut, yang telah merebak ke bahagian leher, dada dan abdomen.
“Kualiti hidupnya benar-benar terjejas.
“Dia sukar menikmati hidangan, hobi yang dulunya cukup membuatkan dia gembira terpaksa dilupakan dan tekanan emosi yang ditanggung bukan sahaja dirasai dirinya malah turut membebankan keluarga tetapi sebaik sahaja rawatan nuklear yang disasarkan bermula, perubahan yang berlaku amat ketara, simptomnya berkurangan, kembali berselera, dan beliau dia mampu untuk bermain golf semula, ujar Pakar Perunding Perubatan Nuklear di Thomson Hospital Kota Damansara, Dr. Andik Fadilah Abdul Aziz.
Terdapat satu lagi kisah pesakit yang begitu dekat di hati Dr. Andik Fadilah.
“Seorang lelaki pernah terlantar sepenuhnya di katil kerana kanser yang telah merebak ke tulangnya. Namun selepas hanya beberapa kitaran rawatan, beliau mampu untuk bangun dan berjalan semula dengan bantuan tongkat serta kembali menjalani aktiviti harian.
“Pemulihan sebegitu bukan sahaja mengubah hidup pesakit, malah turut memberikan harapan baharu buat keluarga mereka.”
Kisah-kisah ini menjadi bukti bagaimana perubatan nuklear perlahan-lahan merevolusikan lanskap rawatan kanser prostat di Malaysia, memberikan harapan baharu buat pesakit yang menghadapinya pada tahap lanjut.
Beban Tersembunyi Kanser Prostat
Kanser prostat adalah penyakit tersembunyi yang berbahaya.
“Di Malaysia, hampir tiga daripada empat lelaki hanya mengetahui mereka menghidap penyakit ini apabila ia sudah berada pada tahap lanjut, selalunya selepas merebak ke tulang atau organ lain.
“Sebagai perbandingan, situasi di Asia Tenggara adalah sedikit lebih baik, dengan kira-kira empat daripada 10 pesakit didiagnosis pada peringkat lewat manakala di Amerika Syarikat, hanya sebilangan kecil iaitu sekitar seorang daripada 10 dikesan pada tahap tersebut,” kata Dr. Andik Fadilah.
Beliau menambah, “Sayangnya, ramai di sini beranggapan simptom kerap membuang air kencing sebagai perkara biasa akibat pertambahan usia. Namun bila mereka mendapatkan rawatan, pilihan yang ada sudah terhad dan hasilnya kurang memuaskan.
“Kesedaran amat penting. Lelaki perlu lebih peka terhadap simptom sejak awal tetapi pada masa sama, doktor awam dan para profesional kesihatan yang lain juga perlu dibekalkan dengan pengetahuan lebih baik mengenai alat diagnostik terkini.
“Keluarga seperti isteri, anak-anak dan insan tersayang turut memainkan peranan besar untuk mendorong lelaki mendapatkan rawatan perubatan tanpa berlengah.”
‘Merawat Apa yang Kita Lihat, Melihat Apa yang Kita Rawat’
Perubatan nuklear dilihat menonjol kerana ia menggabungkan ketepatan diagnosis dengan keberkesanan rawatan yang disasarkan.
“Saya suka menyebutnya begini, “kita merawat apa yang kita lihat dan kita melihat apa yang kita rawat,” kata Dr. Andik Fadilah.
Berbeza dengan imbasan tradisional yang hanya mampu menunjukkan perubahan pada tulang atau mengesan pembesaran nodus limfa, imbasan antigen membran khusus prostat membolehkan doktor mengesan ketumbuhan bersaiz sekecil 3mm, termasuk pada tisu lembut.
“PSMA ialah sejenis protein yang ditemui dalam jumlah tinggi pada sel kanser prostat iaitu lebih 80 peratus lelaki dengan penyakit tahap lanjut menunjukkan ekspresi PSMA yang tinggi.
“Lebih penting lagi, protein ini juga hadir apabila kanser merebak ke organ lain seperti tulang, nodus limfa, paru-paru atau hati. Dengan menggunakan bahan pengesan radioaktif yang melekat pada PSMA, ibarat kunci yang sepadan dengan mangganya, kita boleh mengesan aktiviti kanser dengan ketepatan luar biasa hampir seperti mempunyai GPS khusus untuk kanser prostat,” katanya.
Aapabila kanser dapat dilihat dengan jelas, ia boleh disasarkan melalui rawatan radioligand therapy (RLT).
“Rawatan ini terus menuju ke sel kanser, sekali gus meminimumkan kerosakan pada tisu sihat. Kebanyakan pesakit biasanya dapat bertahan dengan baik dan prosedur ini hanya mengambil masa sekitar 20 hingga 30 minit, dengan ramai pesakit boleh pulang ke rumah pada hari yang sama.
Pakar yang Berbeza Peranan
Jadi, dimanakah kedudukan pakar perubatan nuklear dalam perjalanan seorang pesakit?
“Pakar urologi ialah pakar dalam saluran kencing dan sistem reproduktif lelaki. Mereka menjalankan biopsi untuk mengesahkan diagnosis kanser prostat dan jika ketumbuhan dikesan pada peringkat awal serta belum merebak, mereka boleh membuangnya melalui pembedahan.
Onkologi pula kebiasaannya mengetuai rawatan sistemik seperti radioterapi, kemoterapi, terapi hormon atau imunoterapi manakala pakar perubatan nuklear berada di persimpangan dan kami menggunakan kaedah pengimejan maju untuk memetakan penyakit dan pada masa sama mampu memberikan rawatan yang sangat disasarkan,” jelas Dr Fadilah.
Secara tradisional, pakar perubatan nuklear hanya dirujuk pada kanser tahap lanjut penyakit. Namun hari ini, peranan mereka boleh bermula jauh lebih awal iaitu daripada proses diagnosis dan penentuan tahap, hinggalah ke pemantauan serta rawatan.
Keselamatan dan Keyakinan
Perkataan ‘nuklear’ sering kali menimbulkan kebimbangan. Namun, Dr. Andik Fadilah pantas menenangkan, “Kami telah menggunakan radioisotop dalam bidang perubatan sejak berdekad lamanya. Dos yang digunakan dalam imbasan adalah sangat kecil dan mempunyai jangka hayat yang singkat, ia akan terurai dalam tempoh kurang daripada sejam.
Sepanjang pengalaman saya, saya tidak pernah melihat pesakit mengalami kesan sampingan akibat bahan radioaktif yang digunakan dalam imbasan.”
Dengan RLT, kebanyakan kesan sampingan secara umumnya dapat ditoleransi.
“RLT direka khusus untuk menyasarkan sel kanser yang ‘menyala’ dengan PSMA, sekali gus membantu menghadkan pendedahan kepada sel sihat,” jelasnya.
Meningkatkan Kelangsungan Hidup dan Kualiti Hidup
Bagi lelaki dengan kanser prostat tahap lanjut (teruk), manfaat perubatan nuklear bukan sekadar dari sudut klinikal tetapi juga bersifat peribadi.
“Terapi radioligan (RLT) tidak menyembuhkan kanser prostat tetapi ia boleh melambatkan perkembangan penyakit
“Pesakit selalunya menunjukkan peningkatan dari segi selera makan, pergerakan dan tahap tenaga. Perubahan ini memberi perbezaan besar, bukan sahaja kepada tempoh kelangsungan hidup tetapi juga kepada kualiti hidup mereka,” Dr. Andik Fadilah.

Akses dan Halatuju
“Pada masa ini, RLT hanya tersedia di hospital yang mempunyai kemudahan penuh perubatan nuklear, sama ada awam mahupun swasta. Akses masih terhad memandangkan hanya terdapat sekitar 50 hingga 60 pakar perubatan nuklear di seluruh negara, namun jumlah ini semakin meningkat.
“Bagi memperluas akses, Persatuan Perubatan Nuklear & Pengimejan Molekul Malaysia (MSNMMI) baru-baru ini melancarkan MyNuCLEaR iaitu direktori carian untuk membantu pesakit dan doktor mengenal pasti pusat yang menawarkan perkhidmatan ini. Kesedaran juga semakin meningkat dan lebih banyak hospital kini dalam persiapan untuk menyediakannya.”
Melangkah ke Hadapan
Dr. Andik Fadilah percaya bahawa perubatan nuklear (PSMA PET/CT scans dan RLT) akan menjadi sebahagian daripada standard rawatan kanser prostat dalam tempoh sedekad akan datang.
“Kita akan menyaksikan lebih banyak pengimbas PET di hospital, lebih ramai pakar dilatih serta tahap kesedaran yang lebih tinggi dalam kalangan doktor rujukan, bukan sahaja untuk kanser prostat tetapi juga bagi jenis kanser lain,” jelasnya.
Seruan untuk Bertindak
Pesanan Dr. Andik Fadilah kepada pesakit dan keluarga amat jelas, “Adalah hak anda sebagai pesakit untuk mengetahui mengenai pilihan rawatan maju seperti pengimejan PSMA dan Terapi Radioligand (RLT). Tanyalah doktor anda.
“Doktor mempunyai tanggungjawab untuk menerangkan dan keluarga memainkan peranan penting dalam mendorong lelaki mendapatkan rawatan tepat pada masanya.”
Beliau menambah bahawa kerjasama adalah kunci, “Pakar perubatan keluarga, pengamal perubatan am, pakar urologi, pakar onkologi dan pakar perubatan nuklear mesti bekerjasama agar pesakit dapat menikmati sepenuhnya manfaat daripada kemajuan ini.”
Perubatan nuklear mungkin masih belum menjadi langkah pertama dalam perjalanan setiap pesakit, namun seperti yang dikongsikan dalam kisah pesakit kanser prostat berusia 72 tahun, ia berpotensi menjadi penemuan yang telah lama dinantikan oleh ramai lelaki.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.