AI bukan pengganti kemanusiaan
AI direka untuk meniru fungsi kognitif manusia seperti pembelajaran, penaakulan dan penyelesaian masalah.

BILA kita membincangkan tentang kemajuan, sudah pasti tidak akan lepas daripada topik pembangunan teknologi. Teknologi bukan hanya melibatkan pembinaan mesin dan alatan berteknologi tinggi, namun juga melibatkan pembangunan teknologi perisian kecerdasan buatan (AI).
Berlalu tempoh masa kita dapat melihat terdapat pelbagai teknologi AI yang berada di laman sesawang sama ada digunakan secara percuma atau langganan. Perkembangan pesat teknologi ini dalam beberapa dekad kebelakangan ini telah mencetuskan pelbagai perdebatan tentang peranannya dalam kehidupan manusia.
Bermula daripada fungsi automasi industri hingga kepada sistem sokongan keputusan dalam bidang kesihatan. AI juga semakin menguasai pelbagai aspek kehidupan moden. Namun, persoalan utama yang sering timbul “Adakah teknologi AI bakal menggantikan kemanusiaan atau sekadar menjadi alat pelengkap kepada keupayaan manusia yang terhad?”
Pembangunan teknologi AI adalah direka untuk meniru fungsi kognitif manusia seperti pembelajaran, penaakulan dan penyelesaian masalah kerana dalam pelbagai situasi AI mampu melaksanakan tugas dengan lebih pantas, tepat dan konsisten berbanding manusia.
Dalam sektor perubatan, sistem AI boleh menganalisis imej radiologi dengan kadar ketepatan yang tinggi, membantu doktor membuat diagnosis lebih awal dan tepat manakala, dalam sektor kewangan pula, algoritma AI digunakan untuk mengesan penipuan dan meramal trend pasaran dengan lebih efisien. Ini menunjukkan bahawa AI mempunyai potensi besar untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan dalam pelbagai bidang.
Di sebalik kelebihan yang ditunjukkan sudah pasti terdapat sisi negatif yang Kelebihan AI ini juga meningkatkan kebimbangan terhadap peluang pekerjaan manusia pada masa depan. Hal ini kerana, sistem automasi yang didorong oleh AI berpotensi menggantikan pekerjaan rutin dan berulang, khususnya dalam sektor pembuatan, perkhidmatan pelanggan dan logistik.
Perkara ini akan meletakkan pekerja berkemahiran rendah berisiko tinggi kehilangan pekerjaan. Walau bagaimanapun, sejarah menunjukkan bahawa setiap revolusi teknologi yang berlaku juga akan berupaya mencipta peluang pekerjaan baharu, terutama dalam bidang yang memerlukan kemahiran teknikal dan kreatif yang lebih tinggi.
Di samping isu ekonomi, terdapat juga persoalan etika dan kemanusiaan yang lebih mendalam apabila membinangkan isu AI. Seperti semua sedia maklum, AI tidak mempunyai emosi, empati atau nilai moral seperti manusia. Walaupun robot atau sistem AI boleh membantu tugas-tugas teknikal, namun ia masih tidak mampu menggantikan sentuhan manusia yang memberi makna kepada hubungan interpersonal.
Sebagai contoh, seorang pesakit mungkin lebih memerlukan kata-kata semangat daripada seorang doktor berbanding sekadar diagnosis yang tepat daripada mesin.
Tambahan pula, penggunaan AI juga menimbulkan isu berkaitan privasi dan keselamatan data. Hal ini kerana, sistem AI bergantung kepada jumlah data yang besar untuk berfungsi dengan baik, seumpama beribu komputer bekerja pada suatu masa yang sama sebagai otak penggrerak memproses dan menganalisa segala data.
Tanpa kawalan yang ketat, data peribadi boleh disalahgunakan dan menjejaskan hak individu terlibat. Selain itu, keputusan yang dibuat oleh AI kadangkala menyebabkan kesukaran untuk memahami bagaimana sesuatu keputusan dicapai. Ini boleh menimbulkan ketidakpercayaan dalam kalangan pengguna.
Walaupun terdapat pelbagai cabaran, adalah tidak wajar untuk kita melihat AI sebagai pengganti manusia sepenuhnya. Sebaliknya, AI harus dilihat sebagai alat yang mampu memperkukuh keupayaan manusia. Konsep “human-AI collaboration” atau kolaborasi manusia-AI semakin mendapat perhatian, di mana manusia dan mesin bekerjasama untuk mencapai hasil yang lebih baik.
Dalam konteks ini, manusia akan memainkan peranan penting sebagai pembuat keputusan akhir manakala AI pula bertindak sebagai sistem sokongan dalam menyediakan analisis dan cadangan berpotensi. Namun begitu, untuk memastikan penggunaan AI yang seimbang dan beretika, beberapa langkah perlu diambil.
Pertama, pendidikan dan latihan semula perlu diperkukuh bagi memastikan tenaga kerja dan individu terlibat mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi. Kedua, dasar dan peraturan yang jelas perlu diwujudkan bagi mengawal penggunaan AI, khususnya dari sudut kerahsiaan dan keselamatan. Ketiga, pembangunan AI perlu berteraskan nilai kemanusiaan, memastikan teknologi ini digunakan untuk kebaikan sejagat.
Kesimpulannya, teknologi AI bukanlah berfungsi dalam pengganti peranan manusia tetapi merupakan instrumen yang berpotensi memperkaya kehidupan manusia jika digunakan dengan bijak dan bertanggungjawab.
Kemanusiaan tidak hanya terletak pada keupayaan berfikir tetapi juga pada emosi, nilai dan hubungan sosial yang tidak dapat ditiru sepenuhnya oleh AI.
Oleh itu, cabaran sebenar bukanlah sama ada AI akan menggantikan manusia tetapi bagaimana manusia dapat mengawal dan memanfaatkan AI untuk masa depan yang lebih inklusif dan beretika.

