Sejarah bumi Mina dalam pensyariatan haji: Satu pemerhatian dan perjalanan
Pengalaman menunaikan haji bukan setakat melunaskan rukun yang sebenar tapi diangkat dengan ilmu dan kefahaman menurut panduan Islam.

BUMI Mina adalah antara tempat paling bersejarah dalam ibadah haji. Mina bukan sekadar kawasan persinggahan jutaan umat Islam ketika musim haji tetapi ia adalah bumi yang menyimpan pelbagai peristiwa agung dalam sejarah Islam dan perjuangan para nabi.
Di bumi inilah terzahirnya pengorbanan, ketaatan, kesabaran serta kemenangan iman terhadap hawa nafsu dan godaan syaitan. Oleh sebab itu, setiap Muslim perlu menghayati makna besar bumi Mina agar ibadah haji yang dilakukan bukan hanya memenuhi rukun dan wajib haji semata-mata tetapi benar-benar membina kekuatan jiwa dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Disinilah kami insan kerdil dijemput hadir bagi merasai sendiri keheningan bumi sejarah ini untuk kami melunaskan rukun haji yang sangat bermakna. Dikelilingi bukit, antara Jabal Qurban dan Jabal Tsabir yang sangat besar sudah tentu menyimpan sejarah perjuangan awal Islam bukan sahaja zaman Nabi Muhammad SAW tetapi juga sebelumnya sejarah Nabi Ibrahim AS.
Mina Madrasah Perjuangan
Bumi Mina terletak di antara Muzdalifah dan Kota Makkah. Kawasan ini menjadi tempat utama para jemaah haji bermalam pada hari-hari Tasyrik serta melakukan ibadah melontar jamrah. Walaupun secara fizikalnya Mina hanyalah sebuah lembah yang dipenuhi khemah-khemah putih, namun dari sudut spiritualnya, Mina adalah madrasah tarbiah yang mendidik manusia tentang hakikat perjuangan hidup sebagai hamba Allah.
Sejarah besar Mina berkait rapat dengan kisah agung Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS dan Siti Hajar. Di bumi inilah Nabi Ibrahim AS diuji dengan perintah yang amat berat daripada Allah SWT iaitu menyembelih anaknya sendiri, Nabi Ismail AS. Peristiwa ini menjadi simbol kemuncak ketaatan seorang hamba kepada Tuhannya. Walaupun hati seorang ayah amat kasih kepada anaknya, namun kecintaan kepada Allah mengatasi segala-galanya. Allah SWT merakamkan kisah ini dalam al-Quran:
“Maka ketika anak itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu?” (Surah al-Saffat: 102)
Nabi Ismail AS pula menunjukkan contoh ketaatan luar biasa apabila baginda reda menerima perintah Allah SWT. Jawapan Nabi Ismail AS menggambarkan kekuatan iman seorang anak soleh:
“Wahai ayahku, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah ayah akan mendapati aku daripada orang-orang yang sabar.” (Surah al-Saffat: 102)
Daripada kisah ini, umat Islam belajar bahawa bumi Mina ialah bumi pengorbanan. Pengorbanan bukan sekadar menyembelih haiwan korban tetapi pengorbanan melawan sifat ego, cinta dunia, kemalasan dan dosa yang menghalang manusia daripada mendekatkan diri kepada Allah SWT. Mina mengajar bahawa kejayaan hidup tidak akan tercapai tanpa kesanggupan berkorban demi agama dan kebenaran.
Ternyata sejarah ini memberi Ibrah kepada kami bahawa tanpa perjuangan dan ketaatan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail dalam mempamerkan ketaatan kepada Allah sangat mengesankan. Bertuahnnya kami berada dibumi ini walaupun sejarah ini telah lama tercatat tanpa kami berada pada episodnya tetapi kami yakin kami bersama dalam perjuangan ini. Telusuri catatan pengalaman dan pemerhatian kami sepanjang berada di Tanah Haram Mina al-Mubarak.
Sejarah Melontar Nabi Ibrahim
Semua mengetahui bahawa Mina juga berkait dengan peristiwa melontar jamrah. Menurut sejarah, syaitan telah datang menggoda Nabi Ibrahim AS agar baginda membatalkan perintah Allah SWT. Namun Nabi Ibrahim AS menolak gangguan syaitan dengan melontarnya menggunakan batu. Peristiwa inilah yang menjadi asas kepada ibadah melontar jamrah dalam haji. Hakikatnya, lontaran jamrah bukan sekadar ritual fizikal tetapi lambang penolakan terhadap godaan syaitan dan hawa nafsu.
Pada zaman moden, ramai umat Islam melihat lontaran jamrah hanya sebagai amalan biasa tanpa penghayatan mendalam. Sedangkan di sebalik setiap lontaran itu terkandung mesej besar bahawa manusia mesti sentiasa menentang sifat sombong, hasad dengki, fitnah, kemungkaran dan segala bentuk kejahatan.
Mina mendidik umat Islam supaya mempunyai kekuatan spiritual untuk melawan bisikan syaitan dalam kehidupan harian. Inilah yang seharusnya diteliti oleh para jemaah haji yang melakukan perintah Allah. Lontaran bukan sekadar satu balingan biasa tetapi kesedaran, keyakinan akan perintah Allah dalam melawan syaitan yan terselindung iaitu Hawa nafsu.
Kami sendiri merasainya tatkala selesai lontaran Jamrah Aqabah jiwa ini terasa semacam suatu kebimbangan. Terasa betapa hati ini diketuk. Seolah-olah hati ini tersentuh usai membaca doa selesai melontar. Benar lontaran itu sejarahnya kepada syaitan tetapi sifat kesyaitanan itu juga harus dihadapi dalam diri sendiri. Lontarlah dengan ilmu dan kefahaman bukan emosi tanpa hala tuju.
Bumi Mina dan Kesatuan Ummah
Bumi Mina juga mengingatkan umat Islam tentang kesatuan ummah. Jutaan manusia dari pelbagai bangsa, warna kulit, bahasa dan negara berkumpul di tempat yang sama dengan pakaian ihram yang serupa. Tiada beza antara kaya dan miskin, pemimpin atau rakyat biasa. Semua tunduk sebagai hamba Allah SWT. Ini menggambarkan bahawa Islam ialah agama persaudaraan dan kesaksamaan.
Di Mina, manusia belajar bahawa kemuliaan sebenar bukan terletak pada pangkat atau kekayaan tetapi pada ketakwaan. Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.” (Surah al-Hujurat: 13)
Oleh itu, pengalaman berada di Mina sepatutnya melahirkan jiwa yang lebih rendah hati dan menghargai perpaduan umat Islam. Dalam dunia hari ini yang penuh perpecahan, permusuhan dan kebencian, semangat Mina perlu diterjemahkan dalam kehidupan masyarakat agar umat Islam menjadi umat yang kuat dan bersatu.
Bumi Mina Medan Mengajar Kesabaran
Selain menjadi lambang pengorbanan dan perjuangan, Mina juga mengajar manusia tentang kesabaran. Ketika musim haji, jutaan manusia berhimpun dalam suasana yang sesak, panas dan mencabar. Namun semua itu sebenarnya latihan membentuk kesabaran dan disiplin diri. Ibadah haji bukan perjalanan pelancongan tetapi perjalanan kerohanian yang memerlukan kekuatan mental dan spiritual.
Kesabaran di Mina juga mengingatkan manusia bahawa kehidupan dunia penuh ujian. Orang yang berjaya ialah mereka yang sabar menghadapi cabaran sambil terus taat kepada Allah SWT. Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Haji yang mabrur tidak ada balasan baginya melainkan syurga.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Haji mabrur lahir daripada hati yang ikhlas, sabar, berakhlak mulia dan bersungguh-sungguh memperbaiki diri. Oleh sebab itu, bumi Mina sepatutnya menjadi tempat muhasabah diri untuk meninggalkan dosa dan membina kehidupan yang lebih baik selepas pulang daripada haji.
Benar ujian kesabaran akan teruji bilamana berada di bumi Mina. Sabar melihat karenah manusia yang tidak tahu mendidik hati, memahami segala kebersamaan, berkasih sayang, hormat menghormati dan macam-macam lagi. Ujian Mina menonjolkam sikap panas barang, tidak mahu mengikuti peraturan, individualistik seolah-olah tidak mengerti bahawa mereka berada di Tanah Haram yang suci ini. Hadir ke Tanah Haram bukan pelancongan biasa, ia adalah sebuah jemputan ilahi untuk tunduk kepada Allah.
Kesimpulannya, bumi Mina mempunyai sejarah besar dalam Islam yang sarat dengan pengajaran tentang pengorbanan, ketaatan, perjuangan, kesabaran dan kesatuan umat. Mina bukan hanya lokasi ibadah tetapi medan tarbiah rohani yang membentuk insan bertakwa.
Setiap Muslim perlu menghayati nilai-nilai besar yang terkandung di bumi Mina agar ibadah haji benar-benar menjadi kekuatan membina jiwa, memperkukuh iman serta mendekatkan diri kepada Allah SWT. Semoga umat Islam yang menjejakkan kaki ke bumi Mina memperoleh haji yang mabrur dan kembali sebagai insan yang lebih baik demi agama, bangsa dan ummah.
Pengalaman dan pemerhatian ini kami kongsikan buat tatapan bakal-bakal haji akan datang. Jangan kita hanya hadir sekadar memenuhkan rukun dan syarat, tiada rasa beza antara bumi Malaysia dan Bumi Haram di Mina ini. Sebab itu kombinasi Zikir dan Fikir itu penting dalam memastikan kemabruran haji akan kekal hingga hujung hayat. Pengalaman menunaikan haji bukan setakat melunaskan rukun yang sebenar tapi diangkat dengan ilmu dan kefahaman menurut panduan Islam.

