Vape: Ancaman senyap yang sedang merosakkan generasi muda

Perisa sintetik dan pewarna sintetik yang terdapat dalam vape adalah bahan kimia yang berbahaya dan tidak selamat untuk dihisap masuk dalam paru-paru.

Feature Image

ROKOK elektronik atau vape kini bukan lagi sekadar “wap air” seperti yang digembar-gemburkan oleh industri vape tetapi ia telah menjadi lebih kreatif dan canggih. Semakin banyak laporan di dada akhbar atau di skrin media sosial anda menunjukkan kanak-kanak, remaja dan anak muda ketagihan vape sehingga menjadi seperti “zombie”.

Di mana silap kita, sehingga kita benarkan anak muda, remaja, kanak-kanak Malaysia menjadi mangsa dadah dan vape ini? Siapakah yang patut dipersalahkan? Adakah diri mereka sendiri? Industri vape? Ibu-bapa? Ahli politik? atau Masyarakat umum?.

Kajian saintifik membuktikan mereka yang menghisap vape mempunyai kemungkinan yang tinggi untuk menjadi perokok dan menjadi perokok berganda, iaitu menggunakan rokok dan vape.

Pepatah Inggeris berkata “it takes a village to raise a child”; untuk mendidik seorang anak, sekampung perlu bekerjasama.

Vape mempunyai banyak bahan kimia yang berbahaya. Kanak-kanak dan remaja selalu berkata mereka tertarik dan ketagih untuk vape kerana perisa vape yang menarik. Betul, tidak dinafikan, itulah taktik industri vape untuk membentuk komuniti vape yang baharu, dengan menjual vape dalam pelbagai perisa, bentuk dan strategi pemasaran yang terkini untuk generasi muda, malahan menggunakan ramai selebriti dan pempengaruh untuk mempromosi dan menjual produk vape.

Perisa sintetik dan pewarna sintetik (sintetik bermakna tiruan) yang terdapat dalam vape adalah bahan kimia yang berbahaya dan tidak selamat untuk dihisap masuk dalam paru-paru. Ada bahan kimia seperti vanillin dan pewarna contohnya; hijau, kuning atau merah yang boleh menyebabkan kanser.

Bahan utama yang terkandung dalam cecair vape adalah nikotin. Inilah bahan utama yang menjadikan seseorang ketagihan vape. Kesan nikotin ini terbahagi kepada kesan serta-merta dan berpanjangan. Nikotin boleh menyebabkan sakit kepala, degupan jantung menjadi laju, tekanan darah tinggi, strok, merosakkan sel-sel darah, pelbagai jenis kanser, masalah paru-paru serta menyebabkan tulang rapuh dan banyak lagi.

Jika ada cecair vape yang dijual mempamerkan sebagai “nikotin 0 mg”, usahlah percaya 100 peratus kerana bukti saintifik membuktikan cecair vape yang diisytihar oleh penjual sebagai tiada nikotin, 90 peratus daripadanya mengandungi nikotin, dan dalam jumlah yang berbahaya.

Bayangkan seorang remaja berumur 15 tahun dibawa oleh ibu bapanya ke jabatan kecemasan. Umurnya masih muda, sepatutnya sihat, aktif dan penuh masa depan. Namun malam itu dia kelihatan sangat lemah, tercungap-cungap, batuk berpanjangan, sakit dada dan bacaan oksigennya rendah.

Pada awalnya keluarga menyangka ia mungkin jangkitan paru-paru biasa tetapi selepas diperiksa, satu perkara mula terbongkar, iaitu dia sudah lama menggunakan vape, hampir setiap hari, dengan pelbagai perisa dan pod yang dibeli tanpa benar-benar mengetahui kandungannya.

Inilah antara wajah bahaya vape yang semakin membimbangkan. EVALI atau e-cigarette or vapeing product use-associated lung injury. Dalam bahasa mudah, ia bermaksud kecederaan paru-paru akibat penggunaan vape. Keadaannya boleh menyerupai pneumonia atau jangkitan paru-paru yang teruk seperti sesak nafas, batuk, sakit dada, demam, muntah, cirit-birit dan badan menjadi sangat lemah.

Dalam kes yang serius, pesakit memerlukan oksigen yang tinggi, rawatan rapi dan ada yang perlu dimasukkan ke ICU. EVALI diklasifikasikan sebagai kecederaan paru-paru berkaitan vape, dengan gejala yang boleh melibatkan sistem pernafasan dan juga sistem pencernaan.

Lebih merisaukan, vape hari ini bukan sekadar nikotin dan perisa. Ada cecair vape dan pod yang tidak terkawal boleh mengandungi bahan lain yang jauh lebih berbahaya. Antara yang dibimbangi ialah logam berat seperti plumbum, nikel, kromium dan logam lain yang boleh masuk ke dalam paru-paru melalui wap yang disedut.

Paru-paru kita dicipta untuk menghirup udara bersih, bukan bahan kimia, pewarna, pelarut dan partikel logam halus yang akhirnya boleh mencetuskan keradangan, kerosakan saluran pernafasan dan memberi kesan kepada organ lain dalam badan. Kajian terkini juga terus menimbulkan kebimbangan tentang pendedahan logam berat daripada produk vape, khususnya produk yang tidak terkawal.

Kini muncul pula istilah seperti “piu-piu”, “K-pod”, “zombie vape” atau vape yang dicampur bahan ubat dan dadah. Salah satu bahan yang dilaporkan di rantau ini ialah etomidate, sejenis ubat bius yang sepatutnya hanya digunakan dalam persekitaran perubatan dengan pemantauan rapi.

Apabila bahan seperti ini disalahgunakan melalui vape, kesannya boleh menjadi sangat berbahaya, iaitu eseorang boleh pengsan, hilang kawalan pergerakan, keliru, sawan, mengalami masalah pernafasan, tekanan darah tidak stabil, malah berisiko mencederakan diri atau orang lain kerana tidak sedar sepenuhnya dengan keadaan sekeliling.

Pihak berkuasa kesihatan di negara jiran pernah melaporkan peningkatan rampasan vape mengandungi etomidate dan memberi amaran bahawa bahan ini boleh menyebabkan kesan serius termasuk sawan, kekejangan otot, perubahan pernafasan dan tekanan darah, serta gangguan mental.

Selain etomidate, ada juga kebimbangan bahawa vape boleh menjadi “kenderaan tersembunyi” untuk bahan lain seperti kanabinoid sintetik dan bahan perangsang seperti kokain. Inilah bahaya paling besar kepada anak muda: mereka mungkin menyangka mereka hanya mencuba vape berperisa tetapi sebenarnya tubuh mereka sedang didedahkan kepada bahan yang tidak diketahui dos, kesan dan risikonya.

Ada yang datang ke jabatan kecemasan dengan dada berdebar, panik melampau, halusinasi, sawan, muntah, sesak nafas atau perubahan tingkah laku yang menakutkan keluarga. Produk sebegini tidak boleh dinilai dengan mata kasar, bentuknya mungkin sama seperti vape biasa tetapi kandungannya boleh membawa padah. Bahan seperti etomidate, ketamin, kanabinoid sintetik dan perangsang telah disebut oleh sumber kesihatan awam sebagai antara bahan berbahaya yang boleh mencemari pod vape.

Seorang pesakit telah dibawa ke jabatan perubatan kecemasan yang mana dia meracau dan tidak boleh mengawal diri, hinggakan tiub kencing yang dipasang doktor dicabutnya, mengakibatkan kecederaan salur kencing dan berdarah air kencing. Ini gara-gara vape yang disyaki bercampur dadah halusinogen iaitu mushroom. Berapa banyak lagi mangsa akibat kesan vape perlu datang ke jabatan perubatan kecemasan hingga kita betul-betul bertindak.

Dapatan daripada program Henti, Elak, Basmi Asap Tembakau (HEBAT) dari Kumpulan Penyelidikan dan Kolaborasi Ketagihan Nikotin (NARCC), Universiti Malaya mendapati kanak-kanak dan remaja mula berjinak dengan vape seawal umur sembilan hingga 10 tahun, dan segelintir daripada mereka mengambil lebih daripada 20 “puff” sehari.

Bayangkan betapa banyaknya bahan kimia yang telah meracuni badan mereka sekecil itu dan berapa banyak kerosakan sel dan organ yang telah berlaku yang mata kasar tidak mampu nampak. Malahan, vape juga telah terbukti menyebabkan kesihatan mental terjejas dan mengganggu fungsi otak.

Pembelajaran dan kemampuan bersukan sangat terjejas sehinggakan ada pelajar sekolah rendah dan menengah yang digantung atau dibuang sekolah akibat ditangkap membawa atau menghisap vape dalam kawasan sekolah berulang kali. Ini membuktikan kesan vape adalah terlalu negatif dan tiada langsung kebaikan.

Mereka yang menghisap vape juga terjebak dengan masalah sosial dan menjejaskan selera makan, yang menyebabkan pertumbuhan badan yang tidak sihat. Kanak-kanak dan remaja yang menghisap vape juga didapati menggunakan wang saku mereka untuk membeli cecair vape, bukan membeli makanan di kantin sekolah seperti yang diamanahkan oleh ibu atau bapa mereka.

Dalam umur yang muda ini, mereka perlu diajar berjimat-cermat, bukan membazir duit membuat perkara yang sangat memudaratkan kesihatan dan masa hadapan mereka.

Janganlah kerana kejahilan kita dalam isu rokok dan vape, masa depan mereka tergadai. Ini adalah kerana vape, rokok dan dadah, binasalah masa depan anak-anak dan masyarakat Malaysia.

Ibu, bapa dan penjaga perlu lebih berwaspada dan sentiasa berbincang dengan anak-anak berkenaan aktiviti mereka, dan jangan takut untuk berbincang tentang vape atau rokok. Anak-anak akan mencontohi perkara yang baik dilakukan ibu bapa mereka dan jika ibu bapa merokok atau menghisap vape, mereka juga mempunyai potensi untuk membuat tabiat yang sama.

Jika anda mendapati anak-anak telah terjebak dengan tabiat yang negatif ini, kasihanilah mereka dan bantulah mereka untuk berhenti merokok atau menghisap vape dengan membawa mereka ke klinik kesihatan yang menawarkan khidmat rawatan dan kaunseling berhenti merokok dan vape. Jika bukan ibu bapa atau penjaga yang membantu mereka, siapa lagi yang akan membantu mereka.

Anak-anak yang sihat serta aktif, bebas daripada tabiat rokok, vape dan dadah, adalah aset negara yang perlu dijaga dengan sebaiknya. Kesihatan yang baik bermula daripada rumah, marilah kita bersama-sama menjaga anak-anak kita agar terhindar daripada semua perkara yang tidak bermanfaat dan merosakkan diri.