Tembak haiwan korban: Antara sah daging dan sah korban

Insiden haiwan korban terlepas kawalan, lalu ditembak dengan senapang patah untuk melumpuhkannya atas alasan darurat demi menjaga keselamatan orang ramai.

Feature Image

IBADAH korban merupakan syiar agung umat Islam yang menuntut kesempurnaan lahiriah dan kesucian takwa batiniah. Saban tahun, umat Islam dengan penuh kesedaran mengeluarkan belanja ratusan ringgit, malah beribu ringgit demi menumpahkan darah haiwan ternakan terbaik sebagai tanda kepatuhan kepada Allah SWT.

Walau bagaimanapun, mutakhir ini timbul kecelaruan status hukum yang amat ketara dalam masyarakat terhadap aktiviti pelaksanaan ibadat tersebut. Antaranya insiden haiwan korban terlepas kawalan, lalu ditembak dengan senapang patah untuk melumpuhkannya atas alasan darurat demi menjaga keselamatan orang ramai.

Artikel ini akan cuba membahaskan status hukum korban tersebut bersandarkan neraca usul fiqh serta ketetapan teks muktabar empat mazhab, khususnya manhaj Syafi’iyyah yang menjadi mazhab perdana di Malaysia.

Memisahkan Antara Syarat Sah Daging dan Sah Korban

Sesuatu haiwan yang sah sembelihannya belum tentu layak diiktiraf sebagai sah ibadah korbannya. Bagi sembelihan biasa, syarat minimum hanyalah haiwan tersebut masih mempunyai baki nyawa yang stabil (hayat mustaqirrah) pada permulaan pisau diletakkan.

Al-Khatib al-Syirbini dalam Mughni al-Muhtaj menegaskan jika haiwan mengalami kecederaan awal yang melampau sehinggakan ia berada dalam fasa nazak atau nyawa-nyawa ikan (harakah al-mazbuh) sebelum sempat disembelih, maka sembelihan itu tidak halal dan dagingnya bertukar menjadi bangkai.

Sebaliknya, syarat kelayakan untuk ibadat korban jauh lebih ketat. Bersandarkan hadis sahih, haiwan korban tidak sah sekiranya mempunyai salah satu daripada empat kecacatan utama, iaitu buta yang jelas, sakit yang ketara, terlampau kurus kering dan tempang yang menjejaskan pergerakannya.

Standard kesempurnaan ini wajib dipelihara sehinggalah saat darahnya ditumpahkan demi menghormati kedudukan korban sebagai persembahan terbaik seorang hamba kepada Penciptanya.

Menilai Konteks Sebenar Hadis Unta Liar Dipanah

Berdasarkan ulasan pihak tertentu di media sosial, hadis Rafi’ bin Khadij dijadikan sandaran utama sahnya sembelihan haiwan yang ditembak di kaki walaupun tidak jelas sama ada ia juga dijadikan alasan sahnya korban tersebut. Dalam naratif yang sering dicanang, tindakan memanah digambarkan seolah sengaja dipilih oleh Nabi s.a. w. untuk menjinakkan haiwan terlepas.

Hakikatnya, jika diteliti teks asal riwayat Imam al-Bukhari, tiada sebarang arahan awal daripada Baginda untuk memanah unta tersebut. Ia adalah tindakan spontan seorang sahabat melepaskan anak panah lalu mengenai unta yang sedang melarikan diri sehingga berjaya menghentikannya.

Nabi s.a.w. hanya menyokong dan mengharuskan tindakan itu setelah ia berlaku atas faktor haiwan ternakan tersebut telah bertukar sifat menjadi liar (naddat).

Meletakkan hadis tersebut sebagai hujah penyandaran insiden lembu ditembak dalam ibadat kurban adalah satu bentuk analogi yang tersasar (qiyas ma’al fariq) daripada sudut latar belakang peristiwa (asbabul wurud). Peristiwa ini terbukti berlaku dalam perjalanan pulang daripada medan peperangan setelah pihak tentera Muslimin baru sahaja memperoleh harta rampasan perang (ghanimah).

Ketika itu rantaian logistik ketenteraan berada pada tahap yang sangat kritikal, iaitu para sahabat sedang menghadapi kesuntukan bekalan makanan yang sangat meruncing di samping bimbang diserang balas oleh musuh. Apabila unta ghanimah bertindak melarikan diri, ia merupakan kehilangan sumber tenaga utama tentera Islam untuk meneruskan misi perjalanan.

Dinyatakan juga para sahabat agak keberatan untuk menggunakan pedang perang bagi memotong leher binatang kerana bimbangkan ketajaman pedang tersebut terjejas dalam menghadapi tentera musuh. Berasaskan dharurat logistik perang dan kelangsungan hidup (hifz al-nafs) inilah, kelonggaran syarak diberikan untuk memanah haiwan jinak tersebut di mana-mana anggota tubuhnya demi mengalirkan darahnya bagi memastikan dagingnya terselamat daripada membazir.

Syarat “Fa Thalabuhu Fa A’yahum”: Kewajipan Berikhtiar Sebelum Menembak

Terdapat satu elemen penting, paling kritikal di dalam teks asal matan hadis tersebut, iaitu kalimat “Fa thalabuhu fa a’yahum” yang bermaksud: “Maka para sahabat mengejar unta itu sehinggakan usaha tersebut meletihkan mereka.”

Teks tulen ini membuktikan syarak tidak pernah memberikan lesen mudah untuk terus memanah atau menembak haiwan jinak yang terlepas tali. Kelonggaran (rukhsah) tersebut hanya boleh digunakan selepas wujudnya usaha fizikal yang maksimum iaitu selepas pasukan berkuda sahabat kepenatan dan lemah mengejar untuk mendapatkan unta liar itu.

Merujuk insiden semasa, menembak haiwan korban tanpa mendahulukannya dengan ikhtiar mengejar sehinggakan letih (fa’aiyahum) adalah satu bentuk kegopohan (tafrit). Justeru, menyamakan suasana darurat ketenteraan yang serba kekurangan alat dengan suasana pengurusan korban di dataran korban yang mempunyai peralatan, tali penjerat dan mampu mendapatkan kepakaran agensi penyelamat adalah satu bentuk falasi hukum. Jika logik generalisasi longgar tersebut ditelan bulat-bulat, ia akan melahirkan natijah hukum yang amat janggal.

Sebagai contoh, sekiranya seorang penternak mempunyai seekor lembu korban yang liar di dalam hutan, adakah syarak memfatwakan bahawa dia boleh terus menembak mati lembu tersebut untuk dijadikan haiwan korban yang sah atas alasan tidak mampu menangkapnya secara hidup-hidup?

Sudah tentu tidak, kerana syarak menetapkan tatacara al-zabh (sembelihan) khusus untuk lembu selagi haiwan tersebut berada dalam kategori mampu dikawal (maqdur ‘alaih). Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Fathul Bari menegaskan secara ijmak bahawa haiwan yang berada dalam kawalan manusia tidak boleh dihalalkan melainkan dengan sembelihan rasmi di leher, manakala tindakan melumpuhkan dari jarak jauh hanya sah apabila manusia benar-benar berada dalam fasa lemah total (liman ‘ajaza ‘an zabhihi) daripada mengawalnya secara fizikal.

Syarat kitab “Al-Majmu’ Dan “Tuhfah”: Implikasi Tindakan Fizikal Manusia

Ada pihak yang menyandarkan pandangan al-asah (paling sahih) Imam al-Nawawi di dalam kitab al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab sebagai hujah membenarkan haiwan yang ditimpa kecacatan mengejut untuk diteruskan sembelihan korbannya. Sebenarnya mereka alpa dengan syarat mutlak (syarat taqyid) yang diletakkan oleh Imam al-Nawawi, iaitu syarat selamat daripada kecacatan yang menghalang sahnya korban.

Ia mestilah dikekalkan sehingga masuknya waktu sembelihan dan pada saat sembelihan itu sendiri sedang dilaksanakan. Kelonggaran bagi kecacatan mengejut hanya dimaafkan sekiranya ia berlaku tanpa sebarang unsur kecuaian manusia (fa in lam yakun bi tafritihi), seperti haiwan ditanduk oleh lembu lain secara tiba-tiba ketika mahu direbahkan.

Dalam konteks kes tembakan ini, hujah kecuaian manusia (tafrit) dinilai apabila ia melibatkan perbuatan fizikal manusia (fi’lul adami). Imam Ibn Hajar al-Haitami di dalam Tuhfah al-Muhtaj membezakan antara hukum haiwan korban ditimpa kecacatan disebabkan kecuaian manusia ataupun tidak (wa lau ta’ayyabat bi fi’lihi aw bi tafritihi).

Beliau menegaskan bahawa perbuatan manusia yang mencederakan haiwan secara melampau atau gopoh (ta’addi/taqsir) yang menyebabkan haiwan itu tidak layak sebagai korban, pelaku wajib menyediakan haiwan yang sihat sebagai ganti (lazimahu udhiyyatun salimatun badalaha).

Kita menghormati penjelasan pihak penganjur bahawa tindakan melumpuhkan diambil sebagai pencegahan awal selepas haiwan dilaporkan sempat bertindak agresif. Walau bagaimanapun, rakaman visual menunjukkan pada saat tindakan taktis itu diambil, haiwan berada pada jarak yang agak jauh dan berada dalam fasa berhenti mengamuk (tenang).

Di bawah neraca usul fiqh, apabila ancaman fizikal yang meragut nyawa belum berada pada tahap mendesak (yaqini) pada saat tembakan dilepaskan, haiwan itu diklasifikasikan semula sebagai maqdur ‘alaih. Tindakan mendahului peluru ketika haiwan didapati berada dalam keadaan tenang mematikan hujah dharurat tersebut.

Akibatnya, perbuatan manusia melepaskan tembakan telah mendatangkan kecacatan total (lumpuh/koma) sebelum sembelihan, sekali gus mengaktifkan amaran syarak bahawa status korbannya telah terbatal.

Ketetapan mazhab Syafie ini berdiri seiring dengan prinsip tiga mazhab utama lain. Imam al-Kasani dalam kitab Bada’i al-Sana’i bagi Mazhab Hanafi menjelaskan bagi golongan yang berkemampuan, sebarang kecacatan yang merosakkan kesempurnaan sifat haiwan sebelum sembelihan akan membatalkan kelayakan korbannya serta-merta dan mereka wajib menyediakan haiwan pengganti yang baharu.

Mazhab Maliki menerusi kitab Sharh al-Kabir pula menegaskan haiwan hanya bertukar status menjadi haiwan korban ketika pisau memotong lehernya. Jika ia rebah kaku dan lumpuh akibat ditembak sebelum disembelih, status korbannya gugur secara mutlak dan bertukar menjadi sembelihan daging biasa.

Bahkan, Mazhab Hanbali melalui penegasan Imam Ibn Qudamah di dalam al-Mughni menyatakan sekiranya kecacatan itu terjadi akibat perbuatan fizikal atau kecuaian pemiliknya, haiwan itu tidak layak sebagai korban dan wajib diganti dengan haiwan yang sihat.

Maksud “Fasna’u Bihi Dzalika Wa Kuluh”: Hanya Menjamin Halal Daging, Bukan Sah Korban

Apabila Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Fathul Bari menukilkan riwayat Thabarani daripada potongan lafaz: “Fa ma fa’ala minha hadza faf’alu mithla hadza” dengan tambahan kalimat “Fasna’u bihi dzalika wa kuluh”, ia mengandungi hukum tentang keharusan memakan haiwan yang dipanah pada mana-mana bahagian tubuh dengan syarat ia telah bertukar menjadi liar (mutawahhish).

Teks tulen ini menetapkan garis pemisah yang mutlak. Kelonggaran (rukhsah) menembak atau memanah haiwan yang terlepas—selepas segala ikhtiar mengejar menemui kegagalan (fa thalabuhu fa a’yahum) hanyalah bertujuan untuk mengharuskan daging tersebut dimakan sebagai makanan biasa bagi mengelakkan pembaziran harta. Ia sama sekali tidak berfungsi sebagai lesen syarak untuk melayakkan haiwan yang telah lumpuh ditembak itu sebagai sah ibadah korbannya.

Melalui kanta objektif, kita wajar memuji tindakan dan keputusan bijak pihak penganjur yang mengasingkan daging lembu yang ditembak itu daripada senarai agihan rasmi kupon korban. Walau bagaimanapun, persoalan besar yang masih tergantung tanpa penegasan tuntas ialah status penggantian haiwan tersebut.

Jika lembu tersebut merupakan sumbangan peribadi pihak tertentu, beban tanggungjawab syarak kembali semula ke atas bahu individu terbabit untuk menyediakan lembu pengganti yang baharu demi memastikan tuntutan ibadah peribadinya terlaksana dengan sempurna pada tahun tersebut.

Alasan darurat semata-mata hanya melepaskan pelaku daripada dosa kezaliman terhadap haiwan tetapi ia tidak boleh dijadikan ‘lesen’ untuk mengisytiharkan sesuatu ibadah yang telah rosak strukturnya sebagai selesai tanpa sebarang penggantian.

Kesimpulan: Menjaga Integriti Syariat Melepasi Reputasi Individu

Sebagai kesimpulan, institusi fatwa dan para sarjana agama sewajarnya menyatakan secara terusterang status hukum demi mempertahankan maruah ibadah umat Islam. Kita menghormati niat murni dan keberanian pihak penganjur yang hadir memberikan bantuan dalam situasi cemas.

Namun daripada sudut objektif hukum syarak, niat yang baik tidak boleh menghalalkan kaedah yang merosakkan syarat ibadah. Mempersembahkan jawapan retorik bahawa “dagingnya halal dimakan” semata-mata adalah satu tindakan mengabaikan kegusaran takwa para peserta.

Berdasarkan kesepakatan kaedah usul empat mazhab, dipasak kukuh oleh hujah Imam al-Nawawi, Imam Ibn Hajar al-Haitami dan Syaikh al-Khatib al-Syirbini tindakan menembak lembu korban dalam situasi yang masih boleh dinilai semula telah membatalkan status ibadah korban tersebut secara mutlak.

Pihak yang bertanggungjawab memikul amanah di hadapan Allah SWT untuk menyediakan penggantian haiwan yang baharu bagi memastikan amalan yang dilaksanakan benar-benar membuahkan ganjaran ibadah korban yang sah.

* Penafian Penulis: Rencana ini ditulis atas dasar wacana akademik dan fiqh perbandingan semata-mata, difokuskan secara objektif kepada metodologi pendalilan hukum (istidlal al-ahkam) dan analisis teks turas klasik. Penulisan ini sama sekali tidak merujuk, tidak berniat dan tidak boleh ditafsirkan sebagai merujuk kepada mana-mana individu, tokoh agama, penganjur atau institusi fatwa negeri tertentu secara spesifik di Malaysia. Segala persamaan situasi adalah bertujuan sebagai bahan kajian kes (case study) teoretikal demi kepentingan pendidikan awam, bukannya serangan peribadi atau cubaan memfitnah mana-mana pihak.