Menanam cinta buku dan ilmu asas masyarakat Madani
PBAKL 2026 menjadi wahana membina masyarakat berilmu, memperkukuh budaya membaca serta menyemai kecintaan terhadap ilmu pengetahuan.

PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 kembali lagi. Ia merupakan antara acara intelektual terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara yang menjadi simbol kepada perkembangan budaya ilmu dalam negara. Setiap tahun, pesta buku ini menghimpunkan ribuan pengunjung daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar, guru, pensyarah, penulis, penerbit, ibu bapa dan masyarakat umum.
Penganjuran PBAKL 2026 bukan sekadar medan jual beli buku tetapi lebih besar daripada itu, ia menjadi wahana membina masyarakat berilmu, memperkukuh budaya membaca serta menyemai kecintaan terhadap ilmu pengetahuan. Tema “Malaysia Membaca: Merayakan Buku” yang diketengahkan jelas menggambarkan hasrat menjadikan buku sebagai asas pembinaan tamadun bangsa.
Buku alat penyebaran ilmu
Dalam sejarah ketamadunan manusia, buku sentiasa menjadi alat utama penyebaran ilmu. Tamadun Islam sendiri berkembang melalui tradisi membaca, menulis dan menterjemah karya-karya ilmu. Kita sedia maklum bahawa wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ialah perintah membaca melalui firman Allah SWT dalam Surah al-‘Alaq ayat 1: “Iqra’” yang bermaksud “Bacalah”.
Perintah ini membuktikan bahawa asas pembinaan manusia dan masyarakat bertamadun ialah ilmu pengetahuan. Oleh sebab itu, pesta buku bukan sekadar acara hiburan tahunan tetapi manifestasi usaha mengangkat budaya ilmu sebagai nadi pembangunan negara.
PBAKL 2026 memainkan peranan penting dalam menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia. Ribuan judul buku daripada pelbagai genre dipamerkan termasuk buku agama, akademik, motivasi, sejarah, sastera, ekonomi, politik dan teknologi. Kepelbagaian bahan bacaan ini membuka ruang kepada masyarakat untuk memperluas pemikiran dan meningkatkan pengetahuan mereka.
Dalam dunia moden yang dipenuhi maklumat pantas dan media sosial, budaya membaca buku amat penting bagi melahirkan masyarakat yang mampu berfikir secara kritis dan mendalam. PBAKL menjadi platform untuk masyarakat kembali menghargai buku sebagai sumber ilmu yang sahih dan berkualiti.
Selain itu, pesta buku juga menjadi jambatan yang menemukan masyarakat dengan para penulis dan ilmuwan. Sesi forum, bicara buku, pelancaran karya dan diskusi intelektual memberi peluang kepada masyarakat mendengar pandangan tokoh secara langsung.
Hubungan antara penulis dan pembaca ini sangat penting dalam melahirkan masyarakat yang menghargai pemikiran serta tradisi keilmuan. Dalam konteks ini, PBAKL bukan sekadar tempat membeli buku, tetapi medan percambahan idea dan pertukaran pandangan yang menyuburkan budaya intelektual.
Penganjuran Festival Sastera Kanak-Kanak sempena PBAKL 2026 juga menunjukkan kesungguhan pihak penganjur dalam memupuk budaya membaca sejak usia muda. Pendekatan interaktif yang digunakan membantu kanak-kanak melihat buku sebagai sesuatu yang menyeronokkan dan menarik.
Hal ini amat penting kerana pembentukan budaya membaca perlu bermula sejak kecil. Kanak-kanak yang dibesarkan dengan kecintaan terhadap buku akan lebih mudah menjadi generasi yang berfikiran matang, kreatif dan berpengetahuan luas.
Pada masa sama, pesta buku turut membantu memperkukuh institusi keluarga. Ibu bapa yang membawa anak-anak ke pesta buku sebenarnya sedang mendidik mereka menghargai ilmu. Suasana melihat keluarga memilih buku bersama-sama memberi mesej bahawa membaca ialah budaya hidup, bukannya sekadar keperluan akademik.
Banyak keluarga menjadikan pesta buku sebagai aktiviti tahunan yang mendekatkan anak-anak dengan dunia ilmu. Tradisi ini mampu membina generasi yang lebih cintakan pembacaan berbanding hiburan melampau yang tidak mendatangkan manfaat.
PBAKL pada tahun ini juga memberi sumbangan besar kepada pembangunan industri buku negara. Penerbit, penulis dan pengusaha buku mendapat peluang memperkenalkan karya mereka kepada masyarakat. Industri buku yang berkembang akan melahirkan lebih banyak karya ilmiah dan kreatif yang berkualiti.
Sesebuah negara yang maju bukan sahaja diukur melalui pembangunan fizikal dan ekonomi tetapi juga melalui kekuatan budaya ilmu serta penerbitan buku. Negara-negara maju seperti Jepun, Korea dan Jerman memiliki budaya membaca yang tinggi dan industri penerbitan yang kukuh. Oleh itu, usaha memperkasa pesta buku sebenarnya merupakan sebahagian daripada strategi membangunkan modal insan negara.
Buku dan Era Digital
Dalam era digital hari ini, ada pihak beranggapan bahawa buku semakin hilang peranan kerana masyarakat lebih banyak bergantung kepada media sosial dan kandungan digital. Namun hakikatnya, pesta buku membuktikan bahawa masyarakat masih dahagakan ilmu yang mendalam dan berkualiti.
PBAKL 2026 turut memperkenalkan pendekatan hibrid dengan menyediakan akses kepada hampir sejuta judul buku secara dalam talian. Pendekatan ini menunjukkan bahawa dunia buku mampu berkembang seiring kemajuan teknologi tanpa menghilangkan nilai ilmu dan pembacaan.
Budays Membaca dan Masyarakat bertamadun
Budaya membaca sangat penting dalam membina masyarakat bertamadun kerana ilmu menjadi asas kepada pembentukan akhlak, pemikiran dan kepimpinan. Masyarakat yang malas membaca mudah dipengaruhi berita palsu, fitnah dan pemikiran dangkal. Sebaliknya, masyarakat yang rajin membaca akan lebih matang dalam membuat pertimbangan dan keputusan. Pesta buku menjadi ruang mendidik rakyat supaya menghargai ilmu serta mengembangkan pemikiran yang lebih luas dan terbuka.
Perdana Menteri Malaysia juga pernah menegaskan bahawa budaya membaca perlu disemai dalam jiwa rakyat kerana tiada bangsa mampu maju tanpa penguasaan ilmu yang menyeluruh. PBAKL 2026 dilihat sebagai antara platform penting untuk menghidupkan budaya membaca dalam masyarakat. Hal ini menunjukkan bahawa pembangunan negara bukan sekadar bergantung kepada kemajuan ekonomi, tetapi juga kepada pembangunan intelektual rakyat.
Buku dan Nilai Empati
Tambahan pula, buku mempunyai keupayaan membina empati, nilai kemanusiaan dan pemikiran kritis. Melalui pembacaan, seseorang dapat memahami sejarah, budaya dan pengalaman manusia lain. Buku juga mampu melahirkan masyarakat yang lebih bertoleransi dan matang dalam menghadapi perbezaan pandangan. Dalam dunia yang semakin mencabar dengan pelbagai konflik sosial dan krisis moral, budaya membaca sangat penting bagi membina masyarakat yang seimbang dari segi intelektual dan rohani.
Simbol Perjuangan Masyarakat Berilmu
Sesungguhnya, PBAKL 2026 bukan hanya pesta membeli buku semata-mata tetapi simbol perjuangan membina masyarakat berilmu dan bertamadun. Buku merupakan jambatan kepada ilmu, manakala ilmu pula ialah asas kepada kemajuan sesebuah bangsa. PBAKL perlu terus diperkasakan dengan penglibatan semua pihak termasuk kerajaan, institusi pendidikan, penerbit, media dan masyarakat umum. Budaya membaca tidak boleh bermusim atau sekadar semasa pesta buku berlangsung, tetapi perlu dijadikan amalan sepanjang hayat.
Kesimpulannya, PBAKL 2026 memainkan peranan besar dalam menanamkan cinta buku dan ilmu dalam masyarakat Malaysia. Melalui pesta buku, masyarakat dididik menghargai ilmu, memperkukuh budaya membaca dan membina pemikiran yang lebih matang serta bertamadun.
Sesebuah negara tidak akan mencapai kemajuan sebenar tanpa masyarakat yang mencintai ilmu. Oleh itu, usaha memperkasakan budaya membaca perlu diteruskan agar Malaysia dapat melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan mampu memimpin tamadun masa hadapan dengan lebih gemilang.

