Antara ketakwaan dan keikhlasan sebuah ibadah korban
Umat Islam perlu melaksanakan ibadah korban secara tahunan agar manfaatnya dapat dinikmati oleh peserta dan golongan penerima daging korban.

SETIAP tahun umat Islam melaksanakan ibadah korban. Ia dilaksanakan bagi memenuhi tuntutan ibadah. Asasnya, ibadah korban ini telah dirakam dalam sejarah yang panjang. Ia bermula pada zaman Nabi Ibrahim AS.
Peristiwa ini bertitik tolak daripada mimpi Nabi Ibrahim AS yang terakam dalam surah al-Saffat, ayat 102, maknanya: “Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.
Kisah ini menggambarkan ujian berat yang ditanggung oleh seorang bapa. Nabi Ibrahim AS perlu membuat pilihan di antara kasih sayang terhadap anak dan ketaatan serta ketakwaan terhadap Allah SWT. Begitu juga ujian buat anak, di antara kasih sayang terhadap nyawa sendiri, kasih sayang terhadap bapa dan ketaatan terhadap arahan Allah SWT.
Itulah nilai pengorbanan yang tertinggi bagi seorang hamba. Pemakluman tentang mimpi yang dialami kepada anak baginda, disambut dengan tulus dan yakin. Ujian berat ini berjaya dilalui oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dengan baik. Allah SWT kemudiannya menggantikan sembelihan dengan haiwan yang besar. Itulah permulaan pensyariatan ibadah korban haiwan.
Pengajaran besar di sebalik kisah ini juga termasuklah, ujian yang menguji tahap ketaatan manusia dalam melaksanakan perintah Allah SWT. Asasnya, kehidupan manusia tidak sunyi daripada ujian. Ujian ini mampu menggugat ketaatan manusia. Mereka boleh memilih di antara sabar dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT ataupun kemaksiatan dan keingkaran terhadap ujian yang dititipkan. Dalam peristiwa ini, baik Nabi Ibrahim AS ataupun Nabi Ismail AS telah berjaya melepasi ujian keimanan yang sangat kritikal.
Selain itu, ia juga mengisahkan tentang ketaatan seorang hamba kepada Allah SWT. Ketaatan ini dibina melangkaui rasa kasih dan sayang terhadap segala bentuk cinta. Dalam menerima arahan Allah SWT, Nabi Ibrahim AS ikhlas dan taat terhadap perintah Allah SWT walaupun anak lelaki kesayangan Baginda menjadi tuntutan korban. Pengorbanan tersebut mendidik manusia agar meletakkan keutamaan dalam rasa kecintaan kepada Allah SWT mengatasi segala bentuk kecintaan duniawi.
Di samping itu, ia turut menceritakan tentang kasih sayang seorang anak kepada bapanya. Dalam hal ini, Nabi Ismail AS memahami dan patuh kepada wahyu yang diterima oleh bapa baginda walau hanya menerusi mimpi. Baginda faham, bahawa itu merupakan arahan Allah SWT kepada Nabi Ibrahim AS, sebaliknya bukan permintaan bapanya secara langsung.
Bagi menjadi anak yang baik, baginda ikhlas dan redha serta sanggup dikorbankan agar Nabi Ibrahim dapat melaksanakan kewajipan yang ditetapkan. Ujian getir ini berhasil dilalui dengan kemudiannya Allah menggantikan haiwan untuk dikorbankan.
Jelasnya, kewajipan korban ini kemudiannya disyariatkan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Nabi Muhammad SAW bersabda, maknanya: “Sesiapa yang mempunyai kelapangan (berkemampuan) tetapi dia tidak melakukan ibadah korban, maka jangan sekali-kali dia dekati tempat solat kami ini. (HR Ahmad).
Hadis ini menjelaskan tentang galakan melaksanakan ibadah korban bagi mereka yang berkemampuan. Selari dengan itu, setiap tahun, umat Islam akan menyembelih haiwan korban sebagai petanda ketakwaan dan kesyukuran kepada Allah SWT. Ia merupakan ujian terhadap rasa sayang terhadap harta benda di samping bentuk perkongsian rezeki dengan golongan yang memerlukan dan umat Islam lain.
Apa yang jelas, dalam peristiwa awal ini menunjukkan bahawa pengorbanan merupakan inti utama dalam pelaksanaan ibadah korban. Ia adalah hasil daripada dua jiwa, iaitu jiwa yang taat dan patuh dan jiwa yang tulus dan ikhlas dalam melaksanakan arahan Allah SWT.
Gabungan dua jiwa ini menjadi titik tolak dalam pelaksanaan ibadat korban. Ia bukan sekadar kisah menumpahkan darah atau pesta daging segar, sebaliknya ia adalah simbol ketaatan dan ketakwaan seorang hamba.
Sehubungan dengan itu, umat Islam perlu merebut kesempatan ini dalam melaksanakan ibadah secara tahunan agar manfaatnya dapat dinikmati oleh peserta korban dan golongan penerima daging korban. Dalam rezeki yang Allah SWT telah kurniakan kepada kita, masih ada hak dan bahagian rezeki untuk orang lain.

