Ada apa pada pusara Allahyarham Nurly Shahirah?
Ziarah kubur, termasuk ke pusara kubur Allahyarham Nurly Shahirah Azman mestilah dilakukan dengan hati yang tunduk, lidah yang berzikir dan niat yang ikhlas.

KUBUR atau pusara Allahyarham Nurly Shahirah jika dilihat secara zahir hanyalah tanah, nisan dan jasad yang terbaring diam menanti kebangkitan.
Namun, gerakan hati yang membawa insan-insan untuk datang menziarahinya adalah sesuatu yang jauh lebih dalam daripada sekadar rutin atau adat.
Ia lahir dari cinta, rindu dan hubungan rohani yang tidak terputus dek jarak dan kematian.
Semestinya perkara ini berlaku dengan kehendak Allah yang mentakdirkan lintasan hati pengunjung yang sendiri rela hadir. Sebagaimana firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (al-Baqarah 109).
Ziarah kubur adalah satu bentuk ibadah yang menghidupkan kesedaran jiwa. Ia membangkitkan rasa insaf, mengingatkan kepada hakikat kehidupan yang fana, manakala alam akhirat adalah kekal.
Firman Allah SWT : “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu…” (Ali ‘Imran 185).
Rasulullah SAW bersabda: “Dulu aku melarang kamu menziarahi kubur, sekarang ziarahlah ia kerana ia mengingatkan kamu kepada kematian.” (HR Muslim, no. 977).
Maka ziarah bukan sekadar hadir fizikal tetapi hadir dengan hati seiringan dengan doa dan cinta sesama insan.
Kata al-Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin: “Cinta kerana Allah tidak akan terputus oleh perpisahan mahupun kematian.”
Hati seorang mukmin itu hidup dengan hubungan yang tulus dan ziarah kubur menjadi jambatan antara dunia dan akhirat.
Imam asy-Syafi’i juga berkata: “Doa seorang yang masih hidup untuk saudaranya yang telah mati, lebih bermanfaat daripada hadiah yang paling berharga.”
Maka tidak hairanlah jika ramai yang ingin menziarahi kubur Allahyarham Nurly Shahirah Azman yang terkorban dalam nahas bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak pada 9 Jun lepas.
Ia bukan kerana batu nisan atau tanah itu sendiri tetapi kerana yang telah kembali ke sisi tuhan itu pernah menyentuh jiwa mereka.
Ziarah itu adalah pengakuan kasih yang abadi keinsanan sesama umat disulami doa dan harapan agar bertemu kembali di syurga yang dijanjikan dan kemungkinan keberkatan dirinya sendiri mendorong berlakunya demikian lantaran istiqamahnya komitmen pada alquran.
Sebagaimana hadis berikut:
Daripada Anas bin Malik RA beliau berkata:
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah mempunyai keluarga (yang istimewa) daripada kalangan manusia.”
Para sahabat bertanya: “Siapakah mereka, wahai Rasulullah?”
Baginda menjawab: “Mereka ialah ahli al-Quran, mereka adalah keluarga Allah dan orang-orang yang istimewa bagi-Nya.
Riwayat Ibn Majah, dalam Sunan Ibn Majah, Kitab: Iqamat al-Solah, Hadis No: 215
Dinilai Sahih oleh: Syaikh al-Albani dalam Sahih al-Jami’ (2165)
Cuba kita fikir sejenak tamsilan manusia biasa jika keluarga kerabat diraja, mesti tertampak keistimewaan. Ini pula Allah Maha Agung, kerabatnya semestinya istimewa dan Allah mentakdirkan ramai yang dapat tahu kisahnya Allahyarham, seolah-olah ada mesej yang perlu kita fikir dan ambil iktibar.
Kubur Allahyarham Nurly Shahirah, walau hanya tanah dan nisan yang tertinggal, tetap menjadi tempat yang memanggil hati-hati yang mencintainya. Ziarah ke sana bukan sekadar mengulang kenangan tetapi sebagai ungkapan rindu yang dibawa dalam doa.
Ia menjadi jambatan jiwa antara dunia yang fana dan alam barzakh yang tenang berkemungkinan berkaitan dengan amalannya yang diterima Allah SWT Sepertimana sabda Rasulullah SAW: “Ziarahlah kubur kerana ia mengingatkan kamu kepada kematian.” (HR Muslim).
Namun, di tanah perkuburan juga hendaklah kita memelihara adab dan tidak melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh syariat. Antara larangan yang sering disebut ulama ialah:
1. Menangis melampau sehingga meratap kerana ia bertentangan dengan sabar dan reda.
2. Meminta hajat kepada si mati sedangkan hanya Allah tempat bergantung.
3. Membaca al-Quran dengan niat riya’ atau adat.
4. Berkelakuan ‘Ghuluw’ melampau seperti mengambil apa-apa berdekatan dengan kubur dengan bersangka itu ada keistimewaan untuk beri apa-apa keuntungan nasib, rezeki, pelaris atau sebagainya.
5. Menjadikan kubur tempat berkumpul tanpa keperluan atau sebagai tempat bergurau dan bergambar tidak sopan.
Ziarah kubur, termasuk ke pusara kubur Allahyarham Nurly Shahirah mestilah dilakukan dengan hati yang tunduk, lidah yang berzikir dan niat yang ikhlas.
Bukan untuk meraikan kuasa viral yang mengkhabarkan pelbagai perkara tetapi untuk menyambung kasih dengan doa dan mengambil pengajaran bahawa setiap kita sedang menuju jalan yang sama iaitu kembali kepada Allah.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.