KUALA LUMPUR, 29 Julai 2024 – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin untuk menangguh prosiding kebankrapan tunggakan cukai lebih RM1.7 bilion dan RM37.6 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Perkara itu dimaklumkan peguam mereka, Muhammad Farhan Muhammad Shafee selepas prosiding di kamar mahkamah pada Isnin.
Menurutnya, permohonan itu susulan rayuan pendengaran di Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan di Putrajaya masih belum didengar.
“Namun Timbalan Pendaftar, Kamarul Aris Kamaluddin menolak permohonan itu,” katanya.
Muhammad Farhan memberitahu, anak guamnya itu hanya menerima notis kebankrapan dan belum diisytiharkan bankrap setakat ini.
Jadi kata beliau, pihaknya akan mengemukakan rayuan dalam tempoh terdekat.
Oktober lalu, lima panel hakim Mahkamah Persekutuan memerintah bekas Perdana Menteri itu dan anaknya melunaskan tunggakan cukai bagi tahun 2011 hingga 2017 kepada LHDN.