Bagaimana wakaf dan zakat boleh menguasakan ESG
ESG berpotensi lebih daripada sekadar pelaporan kelestarian syarikat. Ia berupaya menjadi satu sistem yang didorong oleh nilai-nilai agama.

PIAWAIAN Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) sudah mula berakar umbi merentasi pasaran global, dan Malaysia mendapati dirinya berada di satu persimpangan.
Terkini, penyeliaan ESG menjadi semakin ketat, pelabur luar menuntut portfolio yang lebih ‘hijau’ dan syarikat-syarikat besar tempatan lantang menguar-uarkan laporan kelestarian yang mampan.
Semua ini tampak hebat, namun jauh di dalamnya, ESG terasa kosong, sama seperti pelaporan lain iaitu sekadar satu senarai semak yang perlu dipatuhi dan dipenuhi.
Sebenarnya, ESG berpotensi lebih daripada sekadar pelaporan kelestarian syarikat. Ia berupaya menjadi satu sistem yang didorong oleh nilai-nilai agama.
Hakikatnya, Malaysia berada dalam situasi yang unik. Ia mempunyai institusi kewangan sosial Islam yang sudah berabad lamanya iaitu wakaf dan zakat.
Jika institusi-institusi ini digerakkan dengan strategik, mereka boleh menjadi ‘game changer’ yang boleh mendorong ESG menjadi lebih daripada sekadar satu pelaporan.
Amal yang Berimpak Sosial
Wakaf dan zakat telah lama menjadi tonggak masyarakat Islam. Dari segi sejarah, dana wakaf telah digunakan untuk membina sekolah, hospital dan telaga air. Zakat telah berfungsi sebagai mekanisme pengagihan semula kekayaan untuk mengangkat golongan miskin.
Pada asasnya, ini bukan hanya tindakan amal, ia adalah sistem kebajikan sosial yang strategik dan jika ESG adalah melibatkan hal-hal penjagaan alam sekitar jangka panjang, keadilan sosial dan tadbir urus yang baik, maka konsep wakaf dan zakat adalah ‘teman sejiwa’ yang natural kepada ESG.
Potensi Malaysia yang Belum Dicungkil
Pada 2023, kutipan zakat di Malaysia melebihi RM3 bilion, menurut Jabatan Zakat, Wakaf dan Haji (JAWHAR).
Sementara itu, pihak berkuasa Islam negeri secara kolektif memegang aset wakaf yang dianggarkan bernilai puluhan bilion ringgit seperti petak tanah, hartanah dan pelaburan yang boleh diubah menjadi projek mampan.
Angka-angka kutipan aset ini menggambarkan satu punca kuasa yang tidak mencapai potensi maksimanya. Kebanyakan sumber aset ini kekal terikat dalam penggunaan tradisional atau berpecah-belah merentasi bidang kuasa negeri.
Sebaliknya, kutipan aset wakaf dan zakat inilah yang didambakan oleh rangka kerja ESG. Ia menawarkan sokongan kewangan untuk modal jangka masa panjang, impak berpaksikan komuniti dan ketelusan.
Hubungan antara Wakaf, Zakat, dan ESG
Alam Sekitar (E – Environment): Tanah wakaf boleh digunakan untuk inisiatif hijau iaitu ladang solar, program penanaman pokok atau pertanian mampan. Johor dan Selangor telah pun merintis projek ‘Waqaf Hijau’, termasuk panel solar di hartanah wakaf.
Sosial (S – Social): Zakat boleh berfungsi sebagai jaring keselamatan untuk komuniti yang terjejas oleh perubahan iklim atau perpindahan pekerjaan dalam industri peralihan. Dana boleh disalurkan kepada program kemahiran semula atau skim kewangan mikro untuk usahawan berpendapatan rendah.
Tadbir Urus (G – Governance): Kedua-dua institusi wakaf dan zakat boleh menerima pakai amalan pelaporan dan pendedahan kelestarian persis pelaporan ESG. Langkah ini dapat mengukuhkan kepercayaan orang ramai dan mengukur impaknya terhadap komuniti. Tambahan lagi, penyelarasan dan garis panduan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mengenai kewangan mampan adalah diperlukan.
Apa yang Boleh Dipelajari daripada Penggerak Awal
Di Malaysia terdapat preseden berpotensi daripada penggerak-penggerak awal. Di Johor, rangkaian Hospital Wakaf An-Nur ialah model bagaimana aset endowmen boleh memberikan penjagaan kesihatan yang mampu dimiliki sambil kekal mampan dari segi kewangan.
Di Selangor, inisiatif Wakaf Hijau untuk tenaga solar menunjukkan bagaimana tanah yang diwakafkan secara agama boleh digunakan semula untuk matlamat alam sekitar. Di peringkat antarabangsa, negara seperti Turki telah menggabungkan struktur wakaf dengan pelaburan berimpak moden.
Contoh-contoh ini membayangkan kemungkinan positif yang boleh dicapai jika melalui integrasi yang lebih luas.
Cabaran untuk Diatasi
Sudah tentu, jalan untuk mengintegrasikan zakat, wakaf dan ESG itu bukanlah tanpa halangan. Tadbir urus wakaf berpecah-belah merentasi 14 majlis agama negeri. Kemahiran pengurusan aset profesional tidak sekata. Metrik untuk mengukur impak ESG dalam kewangan sosial Islam masih dalam proses pembangunan tetapi ini adalah waktu yang tepat di mana pemikiran ESG, dengan penekanannya pada ketelusan, akauntabiliti dan hasil dan boleh membantu.
Dengan menyepadukan pematuhan Syariah dengan piawaian ESG, Malaysia boleh mencipta model hibrid yang tulen dan dikenali di peringkat global.
Rangka Tindakan untuk Masa Depan
Terdapat tiga Langkah penting untuk membuka kunci potensi ini:
1. Sepadukan Pelaporan: Menggalakkan institusi wakaf dan zakat mengguna pakai rangka kerja pendedahan gaya ESG, menjadikan impak boleh diukur dan setanding.
2. Integrasi Kewangan: Menggabungkan dana wakaf, peruntukan zakat, dan pelaburan ESG swasta untuk skala projek mampan seperti rumah mampu milik, tenaga boleh diperbaharui atau kemudahan penjagaan kesihatan.
3. Insentif Dasar: Kerajaan persekutuan dan Suruhanjaya Sekuriti boleh mewujudkan insentif cukai atau geran sepadan untuk projek kewangan sosial Islam yang sejajar dengan dimensi ESG, menggunakan modal swasta.
Jika Malaysia mengambil langkah-langkah ini, ia boleh meletakkan dirinya sebagai peneraju global dalam ‘ESG yang didorong oleh iman’, di mana nilai-nilai Islam dan matlamat kelestarian bersatu.
Kesimpulan: Peluang untuk Memimpin
Natijahnya, ESG di Malaysia tidak perlu dipinjam daripada rangka kerja Barat. Dengan memanfaatkan modal moral dan kewangan Islam, negara kita boleh membina model ESG baharu yang sahih, inklusif dan berkesan.
Ketahuilah, ini bukan satu penjenamaan semula amal kepada kelestarian. Ia adalah tentang kita mengiktiraf bahawa kewangan sosial Islam dan ESG adalah dua sisi syiling yang sama.
Jika dilakukan dengan betul, Malaysia boleh menjadi bukan sahaja pengikut aliran ESG tetapi perintis rangka kerja kelestarian berasaskan nilai unik negara sendiri, yang berakar umbi dalam prinsip dan nilai Islam yang berkurun lamanya namun sesuai untuk cabaran abad ke-21.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.