Membentuk pelajar digital yang bertanggungjawab dalam kampus
Universiti kini bukan setakat mengajar para pelajar menggunakan aplikasi digital dalam proses pembelajaran tetapi mendidik mereka menjadi rakyat digital yang bertanggungjawab.

HALA tuju universiti dalam dekad ini lebih mencabar. Universiti kini menjadi medium utama, bukan setakat mengajar para pelajarnya untuk menggunakan aplikasi digital dalam proses pembelajaran malah mendidik mereka untuk menjadi rakyat digital yang bertanggungjawab.
Disebabkan pandemik, kehidupan kampus telah bertukar daripada fizikal sepenuhnya kepada dalam talian. Perubahan ini membuka banyak peluang, malah para pelajar dilihat cekap menggunakan teknologi dalam kehidupan seharian tetapi, mereka sebenarnya belum cukup bersedia untuk penyertaan digital secara beretika, seimbang dan sah di sisi undang-undang.
Jika dilihat dan direnungkan, situasi ini semakin jelas kelihatan dalam dunia maya.
Hasil penyelidikan terbaru di Malaysia, menemukan dapatan yang bercampur, menyokong dua fenomena yang berbeza. Satu kajian yang berskala besar di sebuah universiti mendapati kemahiran digital mahasiswa dan mahasiswi berada pada tahap tinggi.
Namun demikian, komponen kesejahteraan berada tahap sederhana sedangkan indikator ini merupakan elemen teras kepada kewarganegaraan digital.
Walaupun para pelajar lazim menggunakan platform digital, ini tidak bermaksud mereka mempunyai rasa tanggungjawab mahupun daya tahan yang tinggi apabila berdepan dengan situasi-situasi negatif, misalnya, gangguan, kepalsuan maklumat atau kebocoran privasi.
Skala fenomena ini menarik perhatian banyak pihak. Penetrasi internet di kalangan warganegara Malaysia mencapai 96.8 peratus, ini bermaksud hampir semua pelajar berada dalam talian setiap hari samada untuk pembelajaran, berita atau kehidupan sosial, maka mereka terdedah kepada peluang mahupun bahaya.
Jumlah penetrasi yang tinggi ini jelas menggambarkan keperluan mendesak bagi semua universiti untuk menambah fokus dalam pelan perancangan strategik, bukan sahaja memastikan akses digital yang baik, malah memupuk norma kehidupan digital di kalangan pelajar universiti.
Antara normanya ialah menyemak sumber maklumat, menggunakan data yang sahih, melindung privasi peribadi, menghormati pandangan orang lain dan menyuarakan pendapat dengan bertanggungjawab dalam ruang digital yang umum.
Di peringkat antarabangsa, kerangka berkenaan isu ini telah disediakan dan garis panduannya jelas dan tersusun. Menurut Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu, garis panduan yang terbaru meletakkan kerakyatan digital sebagai satu set kecekapan iaitu mencapai, menilai, mencipta dan menggunakan maklumat secara beretika dan bertanggungjawab dari segi sosial.
Seterusnya, pelaksanaan kemahiran kecekapan ini haruslah merentasi kurikulum, bukan sekadar pekongsian ilmu dalam satu sesi bengkel sahaja.
Justeru, bagi para pensyarah di universiti, literasi media, privasi data dan etika digital harus dimasukkan ke dalam tugasan bersesuaian dengan bidang masing-masing supaya ilmu pengetahuan ini dapat disampaikan dengan jelas dan dipraktikkan secara aktif apabila mereka berada dalam dunia maya.
Para pakar yang mengkaji perkaitan antara media sosial dan anak-anak muda, menegaskan bahawa walaupun anak-anak kita berasa selesa berada dalam dunia dalam talian, itu tidak bermakna mereka mempunyai kemahiran yang cukup untuk melayari dunia tanpa sempadan ini.
Di samping itu, meletakkan kesalahan pada satu entiti sahaja samada platform digital atau penggunanya bukanlah pendekatan yang efektif tetapi sebenarnya ia memerlukan kerjasama dan sistem sokongan yang berterusan, termasuklah daripada para pendidik, keluarga dan juga pencipta platform.
Di Malaysia, pelajar-pelajar terikat dengan peraturan dan ikutan budaya di mana ia boleh menyebabkan ketidakjelasan antara ucapan yang boleh diterima dan kelakuan yang boleh dihukum.
Dalam penilaian berkenaan kebebasan internet terbaru, dapatan menunjukkan terdapat peningkatan kepada jumlah capaian, tetapi ia juga memaparkan isu-isu kritikal berkaitan dengan ekspresi dalam talian.
Keadaan ini jelas menyimpulkan bahawa pendidikan kerakyatan digital perlu mengetengahkan literasi undang-undang dan penglibatan sivik yang selamat.
Bagi membentuk pelajar digital yang bertanggungjawab dalam kampus, langkah-langkah yang dicadangkan oleh para pakar boleh dilaksanakan secara berperingkat.
Pertama, berikan tugasan yang turut berfokuskan kepada kelakuan digital yang bertanggungjawab seperti blog reflektif berkenaan dilema etika atau projek berkumpulan yang melibatkan kolaborasi dalam talian yang selamat.
Kedua, sediakan modul panduan yang strategik, termasuk penetapan privasi yang selamat dan sokongan kesihatan mental apabila berhadapan dengan bahaya dalam talian.
Yang terakhir sekali, bekerjasama dengan unit hal ehwal pelajar dan undang-undang untuk memberi nasihat yang jelas apabila insiden dalam talian berlaku. Kajian menunjukkan pendekatan yang pelbagai seperti di atas boleh meningkatkan kecekapan dan juga keyakinan para pelajar di kampus.
Pihak pengurusan universiti juga perlu memberi perhatian serius terhadap isu ini. Tinjauan yang ringkas berkaitan rutin semakan fakta, amalan privasi dan kesediaan bagi membantu menangani buli siber boleh diberikan kepada para pelajar.
Hasil tinjauan sebelum dan selepas ini boleh menyumbang idea kepada perubahan dalam kurikulum dan dasar kampus semasa. Apabila institusi melaksanakan program kerakyatan digital yang merentasi disiplin dan lestari sifatnya, para pelajar bukan sahaja bertindak lebih bertanggungjawab apabila berada dalam talian, malah menjadikan mereka pemikir kritik yang lebih baik dalam bidang masing-masing.
Jelaslah di sini, kepentingan menguruskan situasi ini melibatkan individu dan juga masyarakat. Para pelajar yang belajar melayari dunia digital dengan bertimbang rasa, dapat menjaga kesejahteraan mereka sendiri dan menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih sihat.
Seperti yang dirumuskan oleh banyak penyelidikan, kecekapan digital harus disertai dengan tabiat sivik, iaitu kebolehan berhujah, menentang dan berkerjasama secara dalam talian tanpa menjatuhkan maruah pihak lain.
Bagi universiti, tugasnya ketara iaitu menyediakan para graduan yang boleh berkembang maju secara teknikal dan bertindak dengan bertanggungjawab sebagai rakyat dalam dunia digital yang sentiasa membangun.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.
